Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump tingkat tekanan ke atas Iran di atas segala serangan Houthi Yaman

Houthi lancar serangan ketiga, sasar kapal pemusnah Amerika
Mar 18, 2025 | 12:55 PM
Sebuah jet pejuang Amerika Syarikat meluncur dari kapal induk pesawat Amerika dalam operasi terhadap Houthi di lokasi yang tidak disebutkan.
Sebuah jet pejuang Amerika Syarikat meluncur dari kapal induk pesawat Amerika dalam operasi terhadap Houthi di lokasi yang tidak disebutkan. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengancam untuk mendesak Iran agar bertanggungjawab atas sebarang serangan yang dilakukan oleh pemberontak Houthi di Yaman, dalam peningkatan kempen tekanannya terhadap pemerintah di Teheran.

Pemimpin Republikan itu mengeluarkan amaran berkenaan di wadah media sosialnya, Truth Social, pada 17 Mac.

“Jangan ada sesiapa yang tertipu! Beratus-ratus serangan yang dilakukan oleh Houthi, kumpulan perusuh jahat dan samseng yang berpangkalan di Yaman, yang dibenci oleh rakyat Yaman, semuanya berpunca daripada, dan dicipta oleh Iran,” tulis Encik Trump.

“Sebarang serangan atau respons susulan Houthi akan dibalas dengan kekuatan yang hebat, dan tidak ada jaminan pasukan itu akan berhenti di situ,” tambahnya.

Houthi telah mengetuai beberapa siri serangan terhadap kapal Israel dan kapal komersial lain di Laut Merah, sebagai bantahan terhadap perang Israel di Gaza dan sekatan bekalan kemanusiaan ke wilayah Palestin.

Pakar secara meluas mengakui bahawa Iran membantu mempersenjatakan Houthi, yang dianggap sebagai sebahagian daripada “paksi penentangan” tidak rasmi yang disokong Iran.

Meskipun Encik Trump sebelum ini telah mendesak Iran agar menamatkan sokongannya terhadap Houthi, kenyataannya pada 17 Mac menandakan peningkatan yang ketara – membayangkan kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran sendiri.

“Setiap tembakan yang dilepaskan oleh Houthi akan dipandang, dari masa ini ke hadapan, sebagai tembakan yang dilepaskan daripada senjata dan kepimpinan Iran, dan Iran perlu bertanggungjawab dan menanggung akibatnya!” tegas Encik Trump.

Komen itu dibuat pada masa yang sukar secara diplomatik untuk Encik Trump dan rakan sejawatannya di Iran.

Encik Trump telah mendesak Iran untuk menghapuskan senjata nuklear pada 2018, semasa penggal pertamanya di Rumah Putih.

Amerika telah menarik diri daripada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) – perjanjian yang akan menyaksikan Iran menyekat cita-cita nuklearnya sebagai pertukaran untuk pelepasan sekatan.

Pada awal Mac, Encik Trump menghantar surat kepada pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran bahawa Amerika boleh bertindak balas “secara ketenteraan” jika perjanjian nuklear tidak dicapai.

Namun pada 18 Mac, Houthi dilaporkan telah melancarkan serangan ketiga terhadap kapal induk pesawat Amerika Syarikat (AS), USS Harry S. Truman, di Laut Merah.

Jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Sarea, dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen pada 18 Mac, berkata bahawa mereka telah menyasarkan sebuah kapal pemusnah Amerika.

Katanya, Houthi akan meneruskan serangan ke atas semua sasaran musuh di Laut Merah dan Laut Arab sehingga pencerobohan terhadap negara mereka berhenti.

“Dalam beberapa jam lalu, Angkatan Bersenjata Yaman telah berjaya menyasarkan kapal pengangkut pesawat Amerika USS Harry Truman di utara Laut Merah dengan dua peluru berpandu jelajah dan dua dron, serta menyasarkan kapal pemusnah Amerika dengan satu peluru berpandu jelajah dan empat dron.

“Sasaran kapal pengangkut pesawat ini adalah yang ketiga dalam tempoh 48 jam yang lalu,” katanya.

Kumpulan Houthi Yaman yang disokong Iran sebelum ini berulang kali melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke arah Israel dan kapal di laluan perkapalan antarabangsa di perairan berhampiran Yaman sejak November 2023 sebagai sokongan kepada rakyat Palestin dalam perang Israel dengan Hamas.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, pada 16 Mac memaklumkan bahawa Amerika berikrar akan terus menyerang kumpulan Houthi di Yaman sehingga mereka menghentikan serangan terhadap kapal dagang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg