WASHINGTON: Rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran di Islamabad berdepan kebuntuan besar selepas kedua-dua pihak dilaporkan gagal mencapai persetujuan mengenai tempoh penggantungan program pengayaan uranium Tehran.

Menurut laporan media antarabangsa The New York Times dan The Wall Street Journal dan pegawai kedua-dua negara, Iran menawarkan untuk menggantung aktiviti tersebut sehingga lima tahun, namun pentadbiran Presiden Donald Trump menolak cadangan itu dan menuntut tempoh lebih panjang iaitu 20 tahun.

Perbezaan ini dilihat sebagai titik pertikaian utama dalam rundingan, walaupun terdapat perkembangan positif apabila Washington tidak lagi menuntut penggantungan kekal seperti sebelum ini.

Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik JD Vance, mengakui jurang perbezaan masih besar antara kedua-dua pihak. “Kita berbincang tentang jaminan jangka panjang bahawa Iran tidak akan membina senjata nuklear, bukan hanya untuk sekarang atau beberapa tahun akan datang,” katanya.

Sumber yang terlibat dalam rundingan turut mendedahkan bahawa kedua-dua pihak hampir mencapai persetujuan sebelum rundingan terganggu oleh perbezaan mengenai jaminan keselamatan, pelepasan sekatan dan skop keseluruhan perjanjian.

Rundingan di Hotel Serena, Islamabad itu merupakan pertemuan langsung pertama antara kedua-dua pihak dalam tempoh lebih 10 tahun dan dianggap sebagai hubungan tahap tertinggi sejak Revolusi Islam Iran pada 1979.

Delegasi Amerika Syarikat dan Iran, masing-masing diketuai oleh Encik Vance dan Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, berunding secara berasingan dengan bantuan pengantara dari Pakistan.

Perbincangan berlangsung lebih 20 jam, dengan pegawai menggambarkan suasana sebagai bercampur antara harapan dan ketegangan.

Seorang sumber berkata kedua-dua pihak “hampir mencapai persetujuan” sebelum rundingan menemui jalan buntu.

Selain tempoh penggantungan, beberapa isu lain turut menjadi penghalang, termasuk tuntutan Amerika Syarikat agar Iran menghentikan sepenuhnya program nuklearnya serta mengurangkan keupayaan pengayaan uranium.

Iran pula dilaporkan menuntut perjanjian yang lebih luas, termasuk pelonggaran sekatan ekonomi dan jaminan keselamatan.

Bekas Menteri Luar Iran, Encik Mohammad Javad Zarif, menegaskan bahawa Washington tidak boleh memaksakan syarat. “Anda tidak boleh menentukan syarat kepada Iran,” katanya.

Kebuntuan rundingan berlaku ketika Amerika Syarikat melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran sebagai langkah meningkatkan tekanan ekonomi. Tindakan itu bertujuan menghalang Teheran daripada memperoleh hasil eksport minyak serta memaksa pemimpin negara itu menerima syarat Washington.

Pada masa sama, Iran memberi amaran akan bertindak balas jika tekanannya berterusan. Jurucakap tenteranya menegaskan bahawa keselamatan pelabuhan di Teluk Parsi tidak lagi terjamin sekiranya kepentingan Iran terus diancam.

Walaupun rundingan terkini gagal mencapai keputusan, pegawai kedua-dua pihak menyatakan perbincangan masih diteruskan, termasuk kemungkinan mengadakan pusingan kedua dalam masa terdekat.

Encik Trump turut memberi bayangan bahawa Tehran masih berminat untuk mencapai persetujuan. “Mereka mahu mencapai perjanjian,” katanya di Rumah Putih, tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, menegaskan bahawa garis merah Amerika Syarikat tetap tidak berubah. “Presiden Trump dan pasukan perunding telah menjelaskan pendirian Amerika Syarikat dengan sangat jelas,” katanya. – Agensi berita.