Rundingan nuklear Iran-AS berakhir tanpa persetujuan, dilanjut minggu depan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rundingan nuklear Iran-AS berakhir tanpa persetujuan, dilanjut minggu depan

Feb 27, 2026 | 9:21 AM

Rundingan nuklear Iran-AS berakhir tanpa persetujuan, dilanjut minggu depan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Rundingan nuklear, Iran-AS, Oman
Delegasi perunding Iran berlepas ke lokasi bagi perbincangan dengan Amerika Syarikat di Geneva, Switzerland, 26 Februari 2026. - Foto REUTERS

GENEVA: Iran dan Amerika Syarikat menamatkan rundingan selama enam jam di Geneva pada 26 Februari tanpa sebarang kemajuan diplomatik ketara.

Namun, kedua-dua pihak juga tidak menemui jalan buntu sepenuhnya berhubung tuntutan Washington agar Teheran menutup sepenuhnya program nuklearnya.

Pegawai Iran serta pengantara Oman memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju meneruskan perbincangan minggu depan dalam usaha mengelakkan peperangan.

Rundingan berlangsung dalam dua sesi panjang pagi dan petang, dan disifatkan sebagai “positif” serta menunjukkan kemajuan, walaupun delegasi Amerika memilih untuk tidak memberi kenyataan awam mengenai status sebenar perbincangan.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata sesi tersebut merupakan yang paling serius setakat ini.

“Ini adalah rundingan paling panjang dan paling serius. Kemajuan yang dicapai adalah baik,” katanya sambil mengesahkan perbincangan teknikal akan disambung di Vienna minggu depan, tanpa memberikan tarikh rasmi.

Menteri Luar Oman, Encik Badr bin Hamad Al Busaidi, yang bertindak sebagai pengantara, berkata kedua-dua pihak akan terlebih dahulu merujuk kepada pemerintah masing-masing sebelum pusingan seterusnya.

Rundingan berlaku ketika ketegangan memuncak dengan kekuatan tentera laut Amerika, jet pejuang serta sistem pertahanan peluru berpandu dikerahkan di sekitar Iran.

Presiden Donald Trump dalam Amanat Negara pada 24 Februari lalu menegaskan Iran tidak boleh memiliki kemampuan menghasilkan senjata nuklear dan mesti menghentikan pengayaan uranium.

Namun Teheran menolak tuntutan itu dan menegaskan programnya bertujuan awam.

Iran berpendapat Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear memberi hak kepada negara itu untuk mengaya uranium bagi tujuan aman seperti perubatan.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, turut menolak dakwaan Washington bahawa Iran adalah penaja pengganasan.

“Jika realiti dilihat secara adil, Iran bukan penyokong pengganasan, sebaliknya antara mangsa utama pengganasan di rantau ini,” katanya.

Menurut diplomat yang dekat dengan perbincangan itu, Amerika menuntut Iran menutup tiga kemudahan nuklear bawah tanah utama di Fordo, Natanz dan Isfahan.

Iran pula mengusulkan tolak ansur untuk menghentikan pengayaan dalam tempoh tertentu bagi membina kepercayaan, tetapi mengekalkan tahap minimum untuk kegunaan perubatan di reaktor lama Teheran yang mudah dipantau.

Teheran turut mencadangkan mencairkan sebahagian uranium diperkaya 60 peratus dan menyimpannya dalam negara, manakala Washington mahu bahan itu dihantar keluar.

Sebagai balasan, Iran menuntut pengurangan sekatan ekonomi yang besar terutama dalam sektor perbankan dan minyak.

Diplomat Barat berkata Amerika hanya bersedia memberi pelonggaran sekatan secara berperingkat dan terhad, satu perkara yang boleh menggagalkan perjanjian.

Turut hadir dalam perbincangan itu ialah Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Encik Rafael Grossi, yang akan bertanggungjawab memantau jika perjanjian dicapai.

Lembaga IAEA dijadual bermesyuarat pada 6 Mac, hampir dengan tempoh 10 hingga 15 hari yang diberikan Encik Trump kepada Iran untuk mencapai perjanjian.

Iran sebelum ini menuduh agensi berkenaan mengambil pendirian bermotifkan politik susulan serangan Israel ke atas negara itu sehari selepas resolusi pemantauan diluluskan.

Penglibatan pasukan teknikal dalam rundingan akan datang menunjukkan perbincangan semakin mendalam, namun tidak menolak kemungkinan serangan tentera.

Pengarah Iran bagi Kumpulan Krisis Antabangsa, Encik Ali Vaez, berkata jurang pendirian semakin kecil tetapi belum cukup untuk perjanjian.

“Terdapat petanda baik. Mereka merapatkan beberapa perbezaan, tetapi belum sampai ke garisan penamat dan masa semakin suntuk,” katanya.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pula terus mengekalkan nada tegar terhadap Washington dan meragukan peluang mencapai persetujuan.

Terdahulu pegawai Amerika memaklumkan antara pilihan dipertimbangkan Encik Trump ialah serangan terhad ke atas tapak tentera dan nuklear bagi memaksa Iran membuat konsesi lebih besar.

Jika gagal, serangan lebih meluas termasuk usaha menukar rejim mungkin dipertimbangkan.

Jurucakap Angkatan Tentera Iran, Jeneral Abolfazl Shekarchi, memberi amaran keras terhadap sebarang tindakan tersebut.

“Sebarang tindakan yang tidak bijak akan menyalakan api peperangan di rantau ini,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg