Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Russia tuduh Barat mahu luaskan perang Ukraine ke Asia-Pasifik

Oct 30, 2023 | 3:42 PM
BARAT CUBA LUASKAN PERANG UKRAINE: Berucap di Forum Xiangshan di Beijing pada Isnin, Menteri Pertahanan Russia, Encik Sergei Shoigu, menuduh pihak Barat meluaskan perang Ukraine ke Asia Pasifik.
BARAT CUBA LUASKAN PERANG UKRAINE: Berucap di Forum Xiangshan di Beijing pada Isnin, Menteri Pertahanan Russia, Encik Sergei Shoigu, menuduh pihak Barat meluaskan perang Ukraine ke Asia Pasifik. - Foto REUTERS

BEIJING: Menteri Pertahanan Russia, Encik Sergei Shoigu, berkata pihak Barat mahu meluaskan konflik di Ukraine ke rantau Asia-Pasifik, lapor media negara Russia, memetik komen yang dibuat pada forum pertahanan Beijing pada Isnin.

Bercakap di Forum Xiangshan, acara diplomasi ketenteraan terbesar China, Encik Shoigu berkata Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) sedang menutup tindakan menumpukan pasukan di rantau Asia-Pasifik dengan “keinginan menonjol untuk berdialog”, lapor agensi berita TASS Russia.

Encik Shoigu berkata negara-negara Nato mempromosikan perlumbaan senjata di rantau itu, meningkatkan kehadiran tentera mereka dan kekerapan serta skala latihan ketenteraan di sana.

Tentera Amerika Syarikat akan menggunakan pertukaran maklumat dengan Tokyo dan Seoul dalam pelancaran peluru berpandu untuk menghalang Russia dan China, kata Encik Shoigu.

Beliau juga menuduh Washington cuba menggunakan perubahan iklim dan bencana alam sebagai alasan untuk “campur tangan kemanusiaan”.

Kemunculan blok keselamatan baru seperti Quad dan Aukus, katanya, melemahkan peranan Asean dan usaha bukan percambahan nuklear di rantau ini.

Quad adalah kumpulan dialog yang dianggotai oleh Australia, India, Jepun dan Amerika, sementara Aukus pula kerjasama keselamatan antara Australia, Britain dengan Amerika.

Pada masa sama, katanya, tindakan Russia untuk membatalkan pengesahan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Menyuluruh tidak bermakna perjanjian itu telah berakhir, dan Russia tidak menurunkan ambang penggunaan senjata nuklear.

“Kami hanya berusaha untuk memulihkan persamaan dengan Amerika, yang belum meratifikasi perjanjian itu,” agensi berita RIA Russia memetik Encik Shoigu sebagai berkata, “Kami tidak bercakap tentang kemusnahannya”.

Encik Shoigu berkata Moscow bersedia untuk perbincangan mengenai penyelesaian pascakonflik krisis Ukraine mengenai “kewujudan bersama” selanjutnya dengan Barat, tetapi negara-negara Barat perlu berhenti mencari kelemahan strategik Russia.

Mengatakan syarat-syarat untuk rundingan sedemikian belum disediakan, Encik Shoigu berkata:

“Ia juga penting untuk memastikan hubungan sama rata antara semua kuasa nuklear dan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memikul tanggungjawab khas untuk menegakkan keamanan dan kestabilan sejagat.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg