BALLYMENA: Keganasan tercetus buat malam kedua berturut-turut di sebuah bandar di Ireland Utara selepas serangan bermotif perkauman berlaku susulan penahanan dua remaja lelaki yang didakwa cuba merogol seorang gadis muda.
Ratusan penunjuk perasaan, kebanyakannya bertopeng, turun ke jalanan di Ballymena, melontar bom petrol, botol dan batu bata, manakala pihak polis bertindak balas menggunakan meriam air, menurut laporan wartawan AFP.
Ketegangan bermula malam Isnin lalu (9 Jun) selepas satu upacara nyalaan lilin di kawasan kejiranan di mana serangan seksual serius didakwa berlaku pada hari Sabtu, 7 Jun.
“Keganasan ini jelas bermotif perkauman dan menyasarkan komuniti etnik minoriti serta pihak polis,” kata Penolong Ketua Polis Ryan Henderson pada 10 Jun.
Beliau berkata dalam satu sidang media: “Ini adalah keganasan rasis, tiada lain. Sebarang cubaan untuk membenarkannya atau memberi alasan lain adalah tidak wajar.”
Ketegangan di bandar yang mempunyai populasi besar pendatang itu kekal tinggi sepanjang hari Selasa, 10 Jun. Penduduk tempatan menyifatkan suasana yang berlaku sebagai “menakutkan” dan memberitahu AFP bahawa sasaran utama adalah “orang asing”.
Dua remaja lelaki yang didakwa cuba merogol seorang gadis remaja telah dibawa ke mahkamah pada 9 Jun, di mana mereka meminta jurubahasa bahasa Romania, menurut laporan media tempatan.
Masalah bermula apabila sekumpulan individu bertopeng “memisahkan diri daripada perhimpunan dan mula membina halangan, menyimpan bahan untuk dilontar dan menyerang harta benda”, menurut kenyataan polis.
Beberapa rumah dan premis perniagaan turut diserang, kata Perkhidmatan Polis Ireland Utara (PSNI), sambil menambah bahawa mereka sedang menyiasat insiden sebagai “serangan kebencian”.
Pasukan keselamatan turut menjadi sasaran serangan berterusan dengan bom petrol, bunga api dan batu bata yang dilemparkan oleh perusuh, menyebabkan 15 anggota polis cedera, termasuk beberapa yang perlu dirawat di hospital.
Seorang lelaki berusia 29 tahun telah ditahan dan didakwa dengan kesalahan rusuhan, kelakuan tidak tertib, cubaan merosakkan harta benda dan mengingkari arahan polis.
Empat buah rumah mengalami kerosakan akibat kebakaran, manakala tingkap dan pintu rumah serta kedai turut dipecahkan.
Cik Cornelia Albu, 52 tahun, seorang pendatang Romania dan ibu kepada dua anak yang tinggal bertentangan dengan sebuah rumah yang menjadi sasaran, berkata keluarganya sangat ketakutan.
“Malam tadi sangat kacau kerana terlalu ramai orang datang ke sini dan cuba membakar rumah itu,” kata Cik Albu yang bekerja di sebuah kilang kepada AFP. Beliau berkata kini terpaksa berpindah, namun bimbang tidak dapat mencari tempat tinggal lain kerana dirinya warga Romania.
Seorang wanita berusia 22 tahun yang tinggal bersebelahan dengan rumah yang terbakar di kawasan Clonavon berkata malam itu sangat menakutkan. “Orang ramai menyasarkan orang asing, tidak kira siapa mereka atau betapa tidak bersalah mereka,” katanya kepada AFP, enggan mendedahkan namanya atas faktor keselamatan. “Tetapi penduduk tempatan di jalan ini juga sangat ketakutan di dalam rumah.”
Ireland Utara sebelum ini turut berdepan insiden kekacauan bermotif perkauman pada Ogos 2024 selepas rusuhan serupa berlaku di bandar-bandar England susulan pembunuhan tiga gadis muda di Southport, barat laut England.
Menurut Encik Mark, 24, yang enggan mendedahkan nama penuhnya, kejadian rogol yang didakwa berlaku hujung minggu lalu hanyalah “pencetus”. “Orang asing di sini tidak menunjukkan rasa hormat kepada penduduk tempatan. Mereka datang, tetapi tidak mahu berintegrasi,” katanya.
Seorang lagi lelaki dilihat berada di atas tangga, menggantung bendera Union Jack di hadapan rumahnya sebagai “langkah berjaga-jaga — supaya orang tahu bukan orang asing yang tinggal di sini”.
“Ballymena mempunyai populasi pendatang yang besar, ramai di antara mereka bekerja di bandar ini dan memberikan sumbangan kerja yang baik,” kata Datuk Bandar Jackson Minford kepada AFP.
“Malangnya malam tadi mungkin telah menakutkan ramai orang. Kami sedang giat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan akan mendakwa mereka,” kata Encik Henderson.
Jurucakap Perdana Menteri United Kingdom, Encik Keir Starmer, menyifatkan insiden “kekacauan” di Ballymena sebagai “amat membimbangkan.” - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg