TOKYO: Perkhidmatan kereta api ‘peluru’ Shinkansen di Jepun telah dihentikan atau mengalami kelewatan akibat salji lebat pada pagi 8 Februari.
Menurut pengendali rel, East Japan Railway, perkhidmatan kereta api di laluan Joetsu Shinkansen itu telah dihentikan antara stesen Takasaki dengan Nagaoka pada sekitar 5.40 pagi disebabkan kerosakan pada titik persimpangan di Stesen Jomo-Kogen.
Perkhidmatan kereta api di laluan Tohoku Shinkansen juga dihentikan buat sementara waktu, di antara stesen Sendai dengan Morioka, selepas gangguan berkaitan salji ditemui sekitar 5.40 pagi, lapor The Japan News.
Selain itu, perkhidmatan kereta api di laluan Yamagata Shinkansen dihentikan sejak kereta api pertama yang berlepas di antara stesen Fukushima dengan Shinjo terjejas akibat kesukaran mengalihkan salji.
Menurut Central Japan Railway (JR Tokai), perkhidmatan kereta api di laluan Tokaido Shinkansen beroperasi pada kelajuan yang dikurangkan antara Mikawa-Anjo dengan Shin-Osaka, menyebabkan kelewatan lebih daripada 30 minit. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg