GAZA: Penduduk Palestin di Gaza menyambut Aidiladha dalam suasana penuh pilu dan kemusnahan apabila serangan Israel terus melanda wilayah itu walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa secara rasmi.

Di seluruh Gaza, ribuan penduduk menunaikan solat Aidiladha di celah runtuhan bangunan dan kawasan yang musnah akibat perang berpanjangan, manakala ramai keluarga menziarahi tanah perkuburan untuk mengenang ahli keluarga yang terbunuh dalam serangan udara.

Serangan terbaru Israel pada malam sebelum Aidiladha yang disambut pada 27 Mei mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin, menurut sumber perubatan tempatan.

Serangan itu menyasarkan sebuah bangunan kediaman yang menempatkan kedai, bumbung bangunan lain di kawasan komersial paling sibuk di Bandar Gaza, sebuah kenderaan awam serta sekumpulan penduduk di tengah dan selatan Gaza.

Ketika umat Islam di seluruh dunia meraikan Aidiladha, penduduk Gaza pula terus hidup dalam ketakutan dengan bunyi pesawat pejuang Israel yang berlegar di ruang udara sambil melancarkan serangan.

Bagi tahun ketiga berturut-turut, ramai penduduk Gaza mengulangi persoalan penuh pilu: “Dalam keadaan apa Aidiladha kembali kepada kami?”

Penduduk dari kem pelarian Jabalia, Encik Nabil Tareq, berkata beliau hanya mampu menghubungi ahli keluarga melalui telefon kerana keadaan keselamatan terlalu berbahaya untuk melakukan kunjungan Aidiladha.

“Saya memutuskan untuk tidak pergi ke tengah Gaza kerana keadaan keselamatan dan serangan mengejut Israel sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Serangan Israel pada 26 Mei turut mencetuskan suasana berkabung besar-besaran di Gaza selepas seorang komander sayap bersenjata Hamas terbunuh bersama ahli keluarganya.

Puluhan rakyat Palestin mengusung jenazah ketua Briged Al-Qassam, Encik Mohammad Odeh, dalam perarakan pengebumian di Bandar Gaza sehari selepas beliau dibunuh dalam serangan Israel.

Tentera Israel berkata Encik Mohammad Odeh terbunuh dalam serangan sasaran khas pada malam 26 Mei, hanya lebih seminggu selepas penggantinya, Encik Izz al-Din al-Haddad, turut terbunuh dalam satu lagi serangan udara.

Kematian beberapa pemimpin kanan Hamas itu berlaku ketika Israel terus berusaha melemahkan kepimpinan sayap bersenjata kumpulan tersebut walaupun rundingan damai tajaan Amerika Syarikat masih berlangsung.

Beberapa jam selepas pengebumian Encik Odeh, tentera Israel mengumumkan satu lagi serangan ke atas dua anggota Hamas di utara Gaza tanpa mendedahkan identiti mereka.

Pegawai kesihatan Gaza berkata sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk lima kanak-kanak, terbunuh dalam satu serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah bangunan di Bandar Gaza pada malam 26 Mei.

Sumber rapat dengan Hamas berkata komander tempatan Bandar Gaza, Encik Emad Esleem, turut terbunuh dalam serangan itu.

Ahli keluarga Odeh berkata serangan Israel yang membunuh beliau turut mengorbankan isterinya serta anak lelaki mereka.

Jenazah ketiga-tiga mereka dibawa melalui jalan-jalan yang dipenuhi bangunan musnah akibat serangan tentera Israel sepanjang dua tahun perang di Gaza.

Pegawai kesihatan Gaza berkata serangan yang membunuh Encik Odeh turut menyebabkan sekurang-kurangnya tiga lagi maut dan lebih 20 cedera.

Pasukan penyelamat terus menggali runtuhan bangunan di kawasan kejiranan Rimal bagi mencari mangsa yang mungkin masih tertimbus.

Menurut pegawai kesihatan Gaza, lebih 900 rakyat Palestin telah terbunuh sejak gencatan senjata bermula pada Oktober lalu.

Tentera Israel pula berkata empat tenteranya terbunuh dalam tempoh sama akibat serangan kumpulan bersenjata Palestin.

Israel dan Hamas kini masih buntu dalam rundingan tidak langsung mengenai pelaksanaan fasa kedua gencatan senjata yang melibatkan pengunduran tentera Israel serta pelucutan senjata Hamas.

Gencatan senjata yang dipersetujui pada Oktober lalu menyaksikan Israel masih menguasai lebih separuh wilayah Gaza, manakala Hamas hanya mengawal sebahagian kecil kawasan pantai. - Agensi berita