NEW YORK: Syarikat Samsung Electronics memperkenalkan peralatan teater rumah bersaiz jumbo dalam usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar televisyen terkemuka di tengah-tengah persaingan yang kian sengit.
Peralatan berupa televisyen itu disifatkannya sebagai peralihan ke arah televisyen bersaiz jumbo.
Televisyen 4K berasaskan Paparan Kristal Cecair (LCD) terkini syarikat itu, menggunakan teknologi lampu latar paparan baru untuk menghasilkan pelbagai warna yang lebih tepat dan tulen berbanding model sebelumnya, kata syarikat itu pada 4 Januari.
Samsung juga akan memperkenalkan siri televisyen diod pemancar cahaya organik (Oled) mewah ketika ia terus cuba merebut kedudukan LG Electronics sebagai jenama sejagat terkemuka dalam kategori tersebut, yang menawarkan warna hitam yang lebih pekat dan kontras lebih padu daripada LCD.
Sebahagian televisyen baru keluaran Samsung itu lebih besar daripada apa yang pernah dianggap standard, berukuran sekitar atau lebih 100 inci.
“Skrin bersaiz sangat besar terus menjadi segmen televisyen yang paling pesat berkembang dan pasaran dijangka berganda pada 2026,” kata syarikat itu kepada wartawan pada Disember, menjelang pengumuman pelancarannya pada 4 Januari.
Samsung mendedahkan rangkaian produk tersebut pada satu acara di Las Vegas semasa persidangan teknologi yang menyaksikan pengeluar televisyen mempamerkan produk generasi akan datang mereka minggu ini.
Syarikat Korea Selatan itu telah mendedahkan sebahagian barisan produknya lewat Disember 2025, termasuk pembesar suara baru yang menggunakan Wi-Fi dengan reka bentuk yang membolehkannya bersaing secara lebih langsung dengan jenama Sonos.
Dalam apa yang pasti menjadi trend lazim di pameran elektronik pengguna, Samsung sedang menggembar-gemburkan teknologi yang dikenali sebagai Micro RGB atau Merah, Hijau dan Biru, yang mengubah suai sistem lampu latar dalam televisyen LCD untuk meningkatkan ketepatan warna.
“LCD biasa bergantung pada lampu latar putih atau biru, mengehadkan ketulenan dan realisme warna,” kata syarikat itu dalam taklimat media.
“Samsung Micro RGB menggunakan struktur yang sama sekali baru dengan lampu latar merah, hijau dan biru yang bersaiz lebih kecil,” tambahnya.
Samsung memperkenalkan televisyen Micro RGB 115 inci pada September 2025, tetapi harga sekitar AS$30,000 ($38,580) jauh di luar bajet kebanyakan pengguna.
Bagi 2026, syarikat itu membawa teknologi paparan yang sama kepada saiz lebih kecil antara 55 inci dengan set 130 inci yang sangat besar, walaupun ia belum mendedahkan harganya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg