JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan pemansuhan salah satu daripada dua pilihan raya nasional negara itu bagi mengurangkan kos.
Encik Prabowo mengusulkan reformasi pada sistem Piihan Raya Umum untuk menekankan betapa tingginya biaya politik dalam Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada).
Indonesia negara demokrasi ketiga terbesar di dunia, melaksanakan pilihan raya serentak untuk memilih Presiden serta badan perundangan nasional dan serantau.
Manakala pilihan raya kedua wilayah atau Pilkada diadakan bagi memilih gabenor, wali kota (datuk bandar), dan bupati (ketua daerah).
Encik Prabowo mengusulkannya sebagai langkah menjimatkan kos.
Namun, ia mengundang kritikan hebat daripada golongan prodemokrasi yang melihat langkah itu sebagai usaha menghakis sistem demokrasi negara.
Pada 12 Disember, Encik Prabowo mencadangkan untuk membatalkan pilihan raya kedua, sebaliknya membiarkan badan legislatif serantau memilih datuk bandar dan gabenor, yang menurutnya dapat menjimatkan dana untuk digunakan bagi menaik taraf kemudahan dan menyediakan makanan kepada sekolah.
Cadangan itu dikemukakan hanya beberapa minggu selepas Indonesia mengadakan pilihan raya wilayah secara serentak di seluruh negara, dengan kemenangan besar diperoleh calon yang disokong gabungan Koalisi Indonesia Maju (KIM) yang dipimpin oleh Encik Prabowo sendiri.
Namun, pilihan raya kali ini turut mencatatkan kadar penyertaan pengundi yang terendah dalam sejarah.
Dalam ucapan di ulang tahun ke-60 Parti Golkar itu, Encik Prabowo menegaskan bahawa kos pilihan raya terlalu tinggi.
“Berapa puluh trilion rupiah yang dibelanjakan dalam satu atau dua hari? Kita boleh lihat jiran kita seperti Malaysia, Singapura dan India yang lebih cekap.
“Ahli majlis tempatan melantik gabenor dan bupati mereka. Ia percuma dan sangat berkesan,” katanya.
Encik Prabowo turut mengkritik peranan “konsultan asing” yang menurutnya terlalu mendesak demokrasi ala Barat, yang tidak semestinya sesuai untuk Indonesia.
“Kita tak perlu dengar mereka secara serius. Saya bukan xenofobia, tetapi saya tidak yakin mereka betul-betul ambil peduli tentang kita,” ujar beliau.
Menurut Encik Prabowo, dana yang digunakan untuk pilihan raya seharusnya disalurkan kepada keperluan rakyat seperti “makanan untuk anak-anak, baik pulih sekolah dan pembinaan sistem pengairan”.
Cadangan itu disambut baik oleh beberapa parti propemerintah termasuk Parti Golkar dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB).
Golkar, parti kedua terbesar di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), mencadangkan kajian semula menyeluruh terhadap sistem pilihan raya negara.
“Pilihan raya serentak sangat mahal, bukan hanya dari segi kos pengendalian oleh badan pilihan raya, bahkan juga kos yang perlu ditanggung calon,” ujar Setiausaha Agung Golkar, Encik Sarmuji.
PKB pula menyatakan saranan Encik Prabowo selari dengan usaha parti itu untuk memperbaiki sistem politik Indonesia.
“Sudah tiba masanya kita membaiki sistem politik yang mahal ini,” kata Timbalan Pengerusi PKB, Encik Jazilul Fawaid.
Parti NasDem turut terbuka untuk berbincang mengenai reformasi sistem pilihan raya, dengan cadangan campuran antara pilihan raya langsung dengan tidak langsung.
Cik Irma Chaniago dari Parti asDem mengusulkan:
“Wali kota dan bupati boleh dipilih secara langsung kerana mereka dekat dengan rakyat, tetapi gabenor sebaiknya dilantik oleh Presiden kerana peranannya sebagai wakil pemerintah pusat.”
Di sebalik sokongan daripada parti pemerintah, golongan prodemokrasi melihat cadangan itu sebagai langkah ke belakang bagi reformasi demokrasi Indonesia.
Pada era pemerintahan Presiden Suharto – bapa mentua Encik Prabowo, yang memerintah secara autoritarian selama lebih tiga dekad sebelum digulingkan pada 1998, Indonesia menerapkan sistem pemilihan ketua daerah yang tidak dipilih secara langsung.
Dalam mekanisme itu, ketua daerah seperti gabenor, bupati dan wali kota tidak dipilih langsung oleh rakyat, melainkan melalui Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD).
Indonesia pernah menerapkan sistem Pilkada melalui DPRD.
Pemerintah Indonesia bagaimanapun mengubah mekanisme sistem tersebut pada 2005.
Pensyarah undang-undang perlembagaan di Universiti Indonesia, Cik Titi Anggraini, menekankan bahawa pemansuhan pilihan raya terus adalah “langkah mundur” dan mencerminkan kekecewaan awam terhadap parti politik yang gagal mencalonkan pemimpin bermutu.
“Masalah utamanya bukan pada pilihan raya serentak, tetapi pada amalan politik wang dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang,” ujar Cik Titi.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pilihan raya tidak serentak benar-benar dapat menjimatkan kos, kerana amalan “membeli undi” berkemungkinan tetap berlanjutan.
Penyelidik politik di Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (Brin), Encik Firman Noor, turut memberi amaran bahawa cadangan itu berpotensi membawa Indonesia ke arah “negara separuh autoritarian.”
“Demokrasi memang mahal, itu hakikat di mana-mana. Tetapi tanggungjawab pemerintah bukan untuk melemahkan demokrasi, sebaliknya memperkukuhkannya,” ujar Encik Firman.
Encik Firman turut merujuk kepada jumlah pengundi yang berkurangan dan “kotak undi kosong” dalam pilihan raya pada November sebagai bukti bahawa tindakan elit politik meminggirkan calon popular telah menjauhkan rakyat daripada proses pilihan raya.
Aktivis hak asasi manusia, Encik Usman Hamid, dari Amnesty International Indonesia, menegaskan bahawa cadangan Encik Prabowo bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
“Kos pilihan raya memang tinggi, tetapi saya yakin rakyat tidak akan bersetuju jika hak mereka untuk memilih pemimpin ditarik balik,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa sebarang langkah untuk meminda perlembagaan bagi memperkenalkan semula pilihan raya tidak serentak boleh mencetuskan bantahan besar-besaran.
“Kembali kepada perlembagaan asal Indonesia bermakna merendahkan kebebasan dan melemahkan kedaulatan undang-undang,” tambah Encik Usman.
Walaupun saranan Encik Prabowo bertujuan menjimatkan kos, ia membuka perdebatan mengenai masa depan demokrasi Indonesia.
Golongan prodemokrasi menekankan bahawa kos tinggi pilihan raya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merampas hak rakyat.
Sebaliknya, pembaikan sistem politik melalui pengawalan dana kempen, penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan penghapusan politik wang adalah langkah lebih wajar.
“Rakyat berhak memilih pemimpin mereka. Jangan biarkan demokrasi ini menjadi urusan eksklusif parti politik,” tegas pakar undang-undang perlembagaan, Encik Feri Amsari. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg