Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengaruh Jokowi, Prabowo jadi penentu pilihan raya wilayah

Perikatan parti politik Presiden Prabowo dijangka menang besar apabila keputusan diumum secara rasmi pada 16 Dis
Dec 9, 2024 | 5:30 AM
Pejalan kaki melintasi papan ucapan tahniah kepada calon pemimpin Jakarta, Encik Pramono Anung dan Encik Rano Karno, yang setakat ini mendahului keputusan pilihan raya Gabenor Jakarta berdasarkan kiraan pantas, di Jakarta pada 29 November. 
Pejalan kaki melintasi papan ucapan tahniah kepada calon pemimpin Jakarta, Encik Pramono Anung dan Encik Rano Karno, yang setakat ini mendahului keputusan pilihan raya Gabenor Jakarta berdasarkan kiraan pantas, di Jakarta pada 29 November.  - Foto AFP

JAKARTA: Keputusan penuh pilihan raya serentak di wilayah Indonesia dijangka diumumkan pada 16 Disember.

Namun data kiraan pantas telah memberikan gambaran awal tentang landskap politik negara yang sedang berubah.

Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) kali ini bukan sahaja mencerminkan pengaruh besar Koalisi Indonesia Maju (KIM) pimpinan Presiden Prabowo Subianto, malah menguji kekuatan pengaruh saingannya – Cik Megawati Sukarnoputri dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang kini menjadi pembangkang utama.

Rakyat Indonesia keluar mengundi untuk memilih 37 gabenor, 93 wali kota atau datuk bandar dan 415 bupati atau ketua daerah pada 27 November.

Pilihan raya serentak itu berlangsung selang lebih sebulan selepas pelantikan Encik Prabowo pada 20 Oktober dan walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya Umum mempunyai masa sehingga 16 Disember untuk mengeluarkan keputusan rasmi, keputusan kiraan pantas biasanya agak tepat.

Beberapa wilayah penting seperti Jakarta, Jawa Barat, Jawa Timur, Jawa Tengah, Sumatera Utara, dan Bali muncul sebagai medan pertempuran utama dalam perebutan kuasa antara dua blok besar itu.

Calon-calon yang mendapat sokongan penuh Encik Prabowo dan mantan presiden, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, mencatat kemenangan besar di banyak wilayah utama.

Di Jawa Barat, Encik Dedi Mulyadi dan Encik Erwan Setiawan, calon parti Gerindra dari KIM, memperoleh 61.14 peratus undi, jauh meninggalkan pesaing lain.

Begitu juga di Jawa Timur, Cik Khofifah Indar Parawansa, disokong sepenuhnya oleh 15 parti dalam KIM, meraih 59.22 peratus menunjukkan populariti kuat beliau di kawasan yang bersejarah sebagai medan pertempuran politik.

Namun, kejutan berlaku dalam pertandingan tiga penjuru bagi jawatan gabenor di ibu kota Jakarta.

Calon PDI-P, Encik Pramono Anung, mendahului dengan 50 peratus undi berbanding Encik Ridwan Kamil daripada KIM yang hanya meraih 39 peratus.

Jakarta adalah satu-satunya wilayah yang persaingan bagi jawatan gabenor akan diteruskan ke pusingan kedua awal 2025, sekiranya tiada calon yang memperoleh lebih separuh undian.

“Kemenangan ini menunjukkan kebolehan PDI-P untuk terus bertahan walaupun menghadapi tekanan besar,” kata Dr Ian Wilson, penyelidik politik Indonesia di Universiti Murdoch.

Jakarta, sebagai ibu kota dan pusat politik serta ekonomi, menjadi simbol penting yang mampu mengubah naratif politik nasional.

Berdasarkan kiraan pantas undi, calon yang mendapat sokongan penuh Presiden Prabowo Subianto (kanan) dan mantan presiden, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo (kiri), dilaporkan mencatat kemenangan besar di banyak wilayah utama.
Berdasarkan kiraan pantas undi, calon yang mendapat sokongan penuh Presiden Prabowo Subianto (kanan) dan mantan presiden, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo (kiri), dilaporkan mencatat kemenangan besar di banyak wilayah utama. - Foto REUTERS

Faktor Jokowi

Encik Jokowi yang kini bersekutu dengan Encik Prabowo, memainkan peranan besar dalam kempen KIM.

Kehadiran beliau di kawasan strategik seperti Jawa Tengah dan Sumatera Utara dipercayai membantu meningkatkan sokongan kepada calon-calon KIM.

“Populariti Encik Jokowi memberikan kelebihan besar kepada calon-calon yang disokongnya,” kata Dr Alexander R. Arifianto, Zamil Kanan dan Penyelaras Program Indonesia di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Namun, pengaruh Encik Jokowi tidak mutlak.

Dr Wilson menjelaskan: “Walaupun Jokowi memberi impak, kekuatan sebenar KIM terletak pada keberkesanan jentera parti gabungan yang bekerja serentak di seluruh negara.”

Hal ini terbukti dalam keputusan di Jawa Tengah, yang menyaksikan Encik Ahmad Luthfi, calon KIM, mencatat kemenangan dengan 58.24 peratus meninggalkan calon PDI-P, Encik Andika Perkasa, dengan 41.76 peratus.

Di Sumatera Utara, Encik Bobby Nasution, menantu Encik Jokowi, turut dijangka menang besar dengan 63.01 peratus undi.

Kejayaan itu menonjolkan strategi gabungan KIM yang berjaya memanfaatkan pengaruh keluarga Jokowi dan sokongan parti koalisi.

PDI-P: Kemenangan di Jakarta

Walaupun menghadapi kekalahan di banyak wilayah, PDI-P menunjukkan keupayaan untuk bertahan di kawasan penting.

Jakarta menjadi kemenangan strategik yang penting.

Encik Pramono, calon PDI-P, bukan sahaja mendahului di Jakarta malah juga mendapat sokongan daripada tokoh politik seperti Encik Anies Baswedan.

“Hubungan politik antara Pramono dengan Anies adalah strategi PDI-P untuk menarik sokongan lebih luas, termasuk daripada kumpulan minoriti dan nasionalis,” kata seorang sumber dari kem Encik Anies.

Di Bali, kubu tradisional PDI-P, pasangan Encik Wayan Koster dan Encik I Nyoman Giri Prasta mengekalkan dominasi dengan 61.44 peratus undi.

Kejayaan itu membuktikan bahawa PDI-P masih memiliki kawasan kuat yang tidak dapat ditembusi oleh KIM, walaupun dengan sokongan penuh Encik Prabowo.

Pilihan raya kali ini juga menonjolkan cabaran untuk kedua-dua blok utama.

KIM, walaupun dominan di peringkat nasional, menghadapi kesukaran di Jakarta.

“Pengundi Jakarta lebih berpendidikan dan lebih peka terhadap isu politik nasional serta tempatan. Mereka tidak mudah dipengaruhi oleh slogan-slogan ringkas,” kata Dr Arifianto.

Kegagalan Encik Ridwan Kamil untuk menarik sokongan cukup menunjukkan kelemahan dalam strategi KIM di kawasan bandar.

Di pihak PDI-P, kekalahan di wilayah seperti Jawa Timur dan Sumatera Utara menunjukkan cabaran untuk kekal relevan di luar kawasan tradisional mereka.

Kekalahan di Banten, di mana PDI-P bekerjasama dengan Golkar, juga menimbulkan persoalan tentang keupayaan mereka untuk membentuk pakatan strategik yang berkesan.

Pengukuhan pengaruh Prabowo-Jokowi

Keputusan awal pilihan raya serentak ini menggambarkan pengukuhan pengaruh Encik Prabowo dan Encik Jokowi melalui KIM, namun turut menonjolkan cabaran mereka di kawasan strategik seperti Jakarta.

Sebaliknya, PDI-P membuktikan mereka masih mampu bertahan di kawasan penting walaupun berada dalam kedudukan sebagai pembangkang.

Keputusan penuh pilihan raya akan menjadi petunjuk penting untuk dinamik politik Indonesia dalam beberapa tahun akan datang.

Kemenangan besar KIM berpotensi memberikan laluan lebih mudah kepada Encik Prabowo untuk melaksanakan agenda ekonomi beliau.

Namun, kemenangan PDI-P di Jakarta dan Bali menunjukkan bahawa blok pembangkang masih memiliki pengaruh yang signifikan dan mampu menjadi pencabar utama dalam landskap politik negara.

Seperti yang disimpulkan oleh Dr Wilson: “Kekuatan gabungan besar ini (KIM) bergantung pada sejauh mana ia dapat terus menguruskan pakatan yang pelbagai ini.

“Di pihak lain, PDI-P perlu segera merangka strategi untuk memastikan masih relevan di tengah arus politik yang semakin mencabar.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg