JAKARTA: Gempa berukuran 6.1 pada skala Richter melanda pulau utama Indonesia, Jawa Barat, pagi semalam, menurut agensi geofizik negara itu.
Gegaran itu memaksa penduduk sekitar kawasan tersebut melarikan diri dalam keadaan ketakutan.
Badan geologi Amerika Syarikat (USGS) pula mengatakan, gempa itu berukuran 5.8 pada skala Richter. Bencana itu berlaku kurang sebulan selepas kejadian gempa melanda wilayah yang sama, mengakibatkan lebih 300 kematian.
Gempa baru itu melanda sekitar 7.50 pagi semalam, kira-kira 15 kilometer dari Cianjur, pusat gempa bulan lalu, kata USGS.
Menurutnya lagi, terdapat kemungkinan kecil adanya kematian atau kerosakan, berikutan gempa itu, yang melanda pada kedalaman 123 kilometer.
Tidak ada kerosakan yang segera dilaporkan di Cianjur atau Sukabumi, bandar terdekat dengan pusat gempa itu, kata para pegawai agensi mitigasi bencana, semalam.
Tetapi, sekolah-sekolah telah ditutup buat sementara di Sukabumi, menurut stesen televisen tempatan.
"Pusat gempanya adalah di Sukabumi, maka tidak terlalu dirasakan di Cianjur. Belum ada laporan tentang kerosakan sejauh ini," kata Encik Wawan Setawan, seorang pegawai agensi bencana, kepada agensi berita AFP di Cianjur. - Agensi berita