RIYADH: Lapangan terbang utama Arab Saudi diserang lagi oleh pemberontak Houthi pada 11 Oktober, sehari selepas serangan ke atas lapangan terbang itu meragut nyawa sekurang-kurangnya 12 orang. 

Ini menambah tekanan kepada ekonomi terbesar di Timur Tengah itu ketika ia bersiap menjadi tuan rumah acara besar yang bertujuan meningkatkan pelaburan asing.

Penguasa Penerbangan Awam Arab Saudi berkata seorang penduduk warga Pakistan terbunuh dan 11 yang lain cedera dalam serangan 11 Oktober ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh.

Serangan itu menyebabkan kerosakan material yang masih dinilai, tambahnya.

Pemberontak Houthi segera mengaku bertanggungjawab, dengan berkata serangan itu sebagai tindak balas terhadap “pencerobohan Saudi”.

Gabungan pimpinan Arab Saudi yang memerangi militan Houthi sokongan Iran di Yaman berkata pertahanan udara telah memintas sebuah peluru berpandu berhampiran lokasi yang sama di ibu negara Arab Saudi itu.

Kejadian itu susulan serangan ke atas Lapangan Terbang Raja Khalid pada 10 Oktober yang membunuh sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.

Satu projektil juga jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Fahd di Dammam, Arab Saudi, yang turut diakui Houthi sebagai salah satu serangan mereka. 

Penguasa penerbangan awam Arab Saudi mengesahkan serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Fahd di Dammam lewat 11 Oktober.

Ia menambah bahawa “penilaian kerosakan dan pemeriksaan keselamatan kemudahan lapangan terbang sedang dijalankan”.

Seorang saksi yang berada dalam pesawat yang sedang bergerak perlahan di Dammam memberitahu berkata pada sekitar 8.30 malam waktu tempatan, 11 Oktober, beliau melihat sebuah projektil jatuh di kawasan landasan berhampiran beberapa pesawat yang diparkir, lalu mencetuskan kebakaran. 

Saksi itu berkata pesawat tersebut kembali ke pintu pelepasan.

Penumpang turun dan diarahkan meninggalkan lapangan terbang.

Laman web penjejak penerbangan Flightradar24 menunjukkan beberapa penangguhan dan pembatalan penerbangan ketibaan dan berlepas pada 11 Oktober di lapangan terbang Dammam, yang ketiga terbesar di kerajaan itu.

Dalam ucapan yang disiarkan televisyen pada 11 Oktober, jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Saree berkata kumpulan itu turut menyerang dua kemudahan gergasi minyak Arab Saudi, Saudi Aramco.

Pejabat media kerajaan Arab Saudi dan Aramco tidak menjawab permintaan untuk mengulas.

Letupan di lapangan terbang Riyadh pada 10 Oktober menyebabkan perjalanan di lapangan terbang itu hampir terhenti.

Ia juga memaksa hab kewangan ibu negara itu beralih kepada kerja jarak jauh buat masa ini, dan mendorong eksekutif BP dan Shell menarik diri daripada sebuah acara tenaga utama di bandar itu minggu ini.

Pada 11 Oktober, kerajaan Britain memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak membuat perjalanan ke Jeddah dan Dammam, serta semua lapangan terbang Arab Saudi kecuali Madinah, melainkan perjalanan yang penting. 

Ia mencadangkan mereka mempertimbangkan untuk meninggalkan Arab Saudi melalui jalan darat ke negara jiran.

Pihak berkuasa menunjukkan bahawa Kongres Petroleum Dunia ke-25 dan acara berkaitan, yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 15 Oktober, akan diteruskan.

Bandar itu juga dijadualkan menjadi tuan rumah Future Investment Initiative, perhimpunan pelabur utama Riyadh, lewat Oktober. – Agensi berita.