Topik diikuti
Pergi ke BHku12 maut, lebih 300 cedera dalam serangan lapangan terbang Riyadh
Houthi disyaki walau belum akui tanggungjawab; Washington pertimbang sertai Saudi lancar serang balas
12 maut, lebih 300 cedera dalam serangan lapangan terbang Riyadh
RIYADH: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan lebih 300 cedera dalam serangan ke atas lapangan terbang antarabangsa Riyadh pada 10 Oktober, kejadian paling dahsyat di Arab Saudi dalam lebih sedekad, ketika kumpulan Houthi yang disokong Iran memperhebat kempen ketenteraan sejak musim panas lalu.
Mangsa terbunuh termasuk empat warga Saudi, dua warga Bangladesh dan masing-masing seorang dari Amerika Syarikat, Jordan, Palestin, Syria, Sudan dan Mesir.
Seramai 309 orang cedera.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata Washington sedang mempertimbangkan menyertai serangan Saudi terhadap Houthi, menyusuli perang terhadap Iran yang dilancarkan Amerika dan Israel pada Februari.
Hospital dibanjiri mangsa cedera yang dibawa menggunakan ambulans dan helikopter, dengan sebahagiannya dalam keadaan parah.
Serangan pada 10 Oktober berlaku tanpa amaran daripada sistem keselamatan Saudi.
Dua serangan terdahulu di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid mengorbankan empat orang dan merosakkan sebuah pesawat komersial.
Serangan itu mendedahkan kelemahan pertahanan Saudi ketika negara tersebut melancarkan serangan udara bagi menyokong kerajaan Yaman memerangi Houthi.
Houthi belum mengaku bertanggungjawab, namun pakatan tentera pimpinan Saudi berikrar membalas serangan.
Saudi dan pemerintah Yaman mendakwa melancarkan ratusan serangan di wilayah Houthi, manakala kumpulan itu mendakwa orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak turut terbunuh.
Semua penerbangan ke Riyadh telah dipesong atau dibatalkan pada 10 Oktober dan operasi lapangan terbang digantung sementara.
Ketua media Houthi mendakwa kumpulan itu telah “melumpuhkan” lapangan terbang Riyadh dan mengisytiharkan ruang udara Saudi sebagai zon operasi ketenteraan selepas serangan kerajaan Yaman yang disokong Saudi pada 5 Oktober.
Ditanya mengenai kemungkinan Amerika menyertai serangan Saudi, Encik Trump berkata: “Mungkin. Kami akan menelitinya.”
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, mengecam serangan itu kerana mengabaikan keselamatan orang awam.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, turut mengecam serangan terhadap orang awam dan prasarana awam yang melanggar undang-undang antarabangsa.
Seorang saksi melihat letupan dan beberapa mangsa cedera bergelimpangan di lapangan terbang pada 10 Oktober, sementara lebih 12 ambulans bergegas ke tempat kejadian.
Kedutaan Amerika menggesa rakyatnya menjauhi lapangan terbang dan kawasan sekitar.
Saudi menyertai perang Yaman pada 2015 untuk mengusir Houthi yang menawan Sanaa pada 2014.
Peperangan mengorbankan ratusan ribu rakyat Yaman akibat pertempuran dan kebuluran sebelum perjanjian Saudi-Houthi pada 2022 membekukan konflik.
Gencatan senjata itu batal selepas Houthi menawan kawasan strategik Bab el-Mandeb di Laut Merah.
Pemerintah Yaman melancarkan serangan balas minggu ini, namun kemajuannya terbatas sementara Houthi mengepung Taiz.
Kuwait Airways membatalkan penerbangan penerbangan ulang-alik ke Riyadh akibat masalah keselamatan.
Etihad Airways dan Qatar Airways turut membatalkan penerbangan, sebahagiannya hingga 12 Oktober.
Serangan Houthi sejak 8 Oktober menyebabkan gangguan penerbangan menjelang persidangan tenaga dan pelaburan utama di Riyadh.
Penganjur pada 10 Oktober mengesahkan persidangan diteruskan mengikut jadual sambil memberi jaminan keselamatan peserta. – Reuters.