Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi bentuk pakatan antarabangsa sokong kewangan Palestin, sumbang AS$90j

Sep 26, 2025 | 10:39 AM
Saudi, pakatan antarabangsa, sokong Palestin, perang Gaza
Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud (tengah), tiba untuk menghadiri sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB, New York, Amerika Syarikat, 23 September 2025. Putera Faisal bin Farhan mengumumkan penubuhan Pakatan Antarabangsa untuk Menyokong Kewangan Penguasa Palestin dengan kerajaan Arab Saudi menyumbang $90 juta ($116 juta). - Foto EPA

NEW YORK: Arab Saudi mengumumkan penubuhan Pakatan Antarabangsa untuk Menyokong Kewangan Penguasa Palestin bagi membantu kestabilan kewangan pentadbiran Palestin, dengan sumbangan awal berjumlah AS$90 juta ($116 juta).

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al-Saud, dalam sidang media di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 25 September.

“Kami mahu mewujudkan hala tuju yang jelas dan mekanisme berkesan bagi menyokong rakyat Palestin,” kata Putera Faisal.

“Kewujudan Negara Palestin kini menjadi hakikat yang tidak boleh diputar balik dengan sokongan antarabangsa yang semakin meningkat.”

Menurutnya, mesyuarat peringkat tinggi yang dipengerusikan Arab Saudi bersama Perancis, Kesatuan Eropah, Norway dan negara Arab lain telah memberi tumpuan untuk menterjemahkan ‘Deklarasi New York’ kepada pelan tindakan konkrit.

Antara keutamaan utama ialah menghentikan perang di Gaza, memastikan perpaduan wilayah Tebing Barat dan Gaza, serta memperkasa Pihak Berkuasa Palestin agar bertanggungjawab penuh mentadbir wilayah itu.

“Kami berbesar hati kerana Washington turut memberi tumpuan kepada usaha menamatkan perang di Gaza, yang selaras dengan penubuhan Negara Palestin,” jelas Putera Faisal.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada jalan menuju pemulihan hubungan dengan Israel selagi negara Palestin yang merdeka belum ditubuhkan.

Mesyuarat itu diadakan di Perhimpunan Agung PBB ke-80 dan dihadiri menteri luar dari Mesir, Jordan, Sepanyol, Norway serta beberapa negara lain.

Setakat ini, 159 negara di seluruh dunia telah mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat.

“Kami akan terus bekerja bersama rakan antarabangsa untuk memastikan jalan menuju keamanan yang adil dan berkekalan ini berjaya,” tegas Putera Faisal, sambil menambah bahawa Arab Saudi akan menunaikan tanggungjawab Arab, Islam dan sejagat demi kestabilan rantau Timur Tengah.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Encik Philippe Lazzarini, berkata agensi itu bersedia memainkan peranan utama dalam pembinaan semula Gaza sebaik sahaja gencatan senjata dicapai.

“UNRWA mempunyai lebih 12,000 kakitangan di Gaza yang terus menyediakan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan walaupun keadaan amat sukar,” katanya kepada agensi berita, AFP.

Beliau menegaskan bahawa membawa semula ratusan ribu kanak-kanak ke sekolah selepas perang adalah kunci untuk mengelakkan kitaran keganasan daripada berterusan.

Encik Lazzarini turut mengkritik usaha menggantikan bantuan PBB dengan skim selari seperti Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong beberapa pihak.

“Struktur alternatif itu menjadi perangkap maut. Sejak skim itu bermula, kebuluran semakin meruncing hingga kami terpaksa mengisytiharkan krisis kelaparan,” katanya.

Beliau menyambut baik komitmen Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, yang menyatakan kesediaan mentadbir Gaza selepas perang berakhir.

“Kami bercakap tentang reformasi yang perlu bagi memastikan pentadbiran Palestin lebih berkesan,” ujar Encik Lazzarini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran mengenai kebuluran di utara Gaza serta ratusan serangan terhadap kemudahan kesihatan sejak Oktober 2023.

Walaupun menghadapi tekanan politik, UNRWA kekal menjadi talian hayat utama bagi penduduk Gaza. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg