RIYADH: Arab Saudi memberi amaran akan bertindak “tegas” terhadap Houthi selepas siri serangan peluru berpandu balistik dan dron oleh kumpulan Yaman yang disokong Iran itu mencederakan 13 orang awam di selatan negara tersebut.

Amaran pada 15 September itu dibuat ketika pertempuran antara Houthi dengan tentera pemerintah Yaman yang disokong Riyadh semakin meningkat, sekali gus menimbulkan kebimbangan konflik tersebut boleh merebak lebih luas di rantau itu.

Houthi mendakwa melancarkan serangan “besar-besaran” menggunakan puluhan peluru berpandu balistik dan dron terhadap Pangkalan Udara Raja Khalid di Khamis Mushait, selatan Saudi.

Gabungan tentera pimpinan Saudi mengesahkan serangan peluru berpandu dan dron pada 14 September menyasarkan Khamis Mushait, Abha dan Taif, menyebabkan 13 orang cedera.

Seorang penduduk Khamis Mushait memberitahu agensi berita, AFP, bahawa beliau mendengar “letupan kuat” dan kebakaran berterusan untuk tempoh yang lama selepas serangan itu.

“Sejujurnya, kami langsung tidak dapat tidur,” katanya.

Pertahanan awam Saudi turut mengeluarkan amaran serangan udara di enam wilayah pada awal 15 September sebelum ia kemudian ditarik balik.

Menurut kumpulan itu, Riyadh bertindak balas dengan melancarkan lebih 50 serangan terhadap sasaran Houthi, selepas melakukan serangan udara dalam jumlah hampir sama sehari sebelumnya.

Gabungan pimpinan Saudi berkata ia akan bertindak “tegas bagi melindungi kedaulatan kerajaan” dan mengambil “semua langkah operasi yang diperlukan” untuk menghalang serangan lanjut.

Anggota biro politik Houthi, Encik Hazem al-Assad, pula memberi amaran serangan kumpulan itu akan diteruskan dan dipertingkat selagi Saudi meneruskan tindakan ketenteraan terhadap mereka.

Ketegangan terkini berlaku selepas perang saudara Yaman kembali memuncak pada Julai.

Houthi ketika itu mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Saudi dan mula menyasarkan kapal negara itu di Laut Merah.

Kumpulan tersebut minggu lalu menguasai pantai Laut Merah Yaman dan Selat Bab al-Mandab, satu laluan perkapalan utama yang menghubungkan Eropah dengan Asia.

Kepentingan selat itu semakin meningkat ketika perang lebih luas antara Amerika Syarikat dengan Iran menjejas perkapalan melalui Selat Hormuz.

Houthi turut menyasarkan prasarana minyak Saudi, pengeksport minyak mentah utama dunia, sehingga membantu mendorong harga minyak melepasi AS$100 ($129) setong.

Dalam satu lagi serangan di barat Yaman pada 14 September, lapan anggota tentera pemerintah terbunuh akibat serangan Houthi, tambah dua sumber tentera.

Tentera pemerintah Yaman berkata pada 13 September bahawa mereka berjaya merampas semula beberapa kedudukan daripada Houthi di wilayah Taiz, barat daya negara itu.

Mereka turut melancarkan serangan udara yang membunuh sekurang-kurangnya 10 anggota Houthi, lapor agensi berita rasmi Yaman, Saba.

Pertempuran terkini berlaku ketika konflik lebih luas di rantau itu masih menemui jalan buntu.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 14 September berkata beliau terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Iran.

Menurut Encik Trump, Iran mahu mencapai satu perjanjian dan Amerika akan menentukan sama ada mahu mengadakan rundingan dengan Tehran.

Ketua keselamatan Iran, Encik Mohsen Rezaei, bagaimanapun berkata rundingan tidak akan diadakan sehingga syarat Teheran dipenuhi.

Satu pertemuan yang dicadangkan antara negara Teluk dengan Iran mengenai masa depan Selat Hormuz pula ditangguhkan pada 14 September.

Teheran menuduh Riyadh menggunakan konflik Yaman sebagai alasan untuk menangguhkan rundingan itu.

Iran sejak sekian lama menyokong Houthi, yang menjadi sebahagian daripada rangkaian kumpulan serantau anti-Israel yang disokong Teheran dan dikenali sebagai “paksi penentangan”.

Iran turut dituduh membekalkan senjata dan teknologi kepada Houthi, meskipun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan penganalisis mengenai sejauh manakah Teheran mengarahkan tindakan kumpulan itu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baqaei, menafikan Teheran campur tangan dalam urusan Yaman.

“Iran tidak campur tangan dalam hal ehwal Yaman,” katanya pada 14 September, sambil menyifatkan Houthi sebagai kumpulan yang membuat keputusan berdasarkan kepentingan mereka sendiri.

Putera Mahkota Saudi, Putera Mohammed bin Salman, pula mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, pada 15 September bagi membincangkan perkembangan serantau.

Sehari sebelumnya, Putera Mohammed menerima Ketua Markas Pusat Amerika (Centcom), Laksamana Brad Cooper, di Jeddah bagi membincangkan perkembangan terkini di rantau itu.

Houthi menguasai ibu kota Yaman, Sanaa, pada 2014 sehingga memaksa pemerintah berpindah ke Aden di selatan.

Saudi kemudian mengetuai gabungan tentera untuk campur tangan menyokong pemerintah Yaman pada 2015.

Konflik berpanjangan itu mencetuskan antara krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pertempuran terbaharu sudah memaksa 93,864 penduduk Yaman meninggalkan kediaman mereka.

Ia menunjukkan kesan kemanusiaan konflik itu yang terus meningkat ketika pertempuran kembali memuncak. – Agensi berita.