RIYADH: Arab Saudi berkata jemaah haji boleh menjangkakan suhu purata mencecah 44 darjah Celsius semasa musim haji 2024.
Pada 2023, ia turut menyaksikan ribuan kes tekanan haba.
“Iklim pada musim haji 2024 ini akan menyaksikan peningkatan suhu purata satu setengah hingga dua darjah, melebihi suhu normal di Makkah dan Madinah,” kata ketua pusat meteorologi negara, Dr Ayman Ghulam, pada sidang media pada 5 Jun.
Ramalan itu menunjukkan “kelembapan relatif 25 peratus, kadar hujan menghampiri sifar, suhu purata maksimum 44 darjah”, katanya dipetik Alarabiya News.
Ibadah haji, yang bermula pada 14 Jun, merupakan salah satu daripada lima rukun Islam dan wajib dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup oleh semua umat Islam yang berkemampuan untuk melakukannya.
Berdasarkan angka rasmi pihak berkuasa, pada 2023, lebih 1.8 juta umat Islam mengerjakan haji.
Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, lebih 2,000 orang mengalami tekanan haba, selepas suhu meningkat kepada 48 darjah Celsius.
Pihak berkuasa mengambil langkah untuk mengurangkan kesan haba dan ia termasuk menyediakan khemah berhawa dingin dan sistem kabus.
Dr Ghulam memberitahu sidang akhbar pada 4 Jun, bahawa terdapat “keperluan untuk bekalan air yang mencukupi, bagi menampung penggunaan harian apabila suhu meningkat”.
Di samping itu, beliau menambah bahawa makanan untuk jemaah haji juga perlu diangkut dalam peti sejuk supaya tidak rosak. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg