RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi telah menyediakan langkah untuk menjadikan ibadah haji lebih selesa bagi jemaah yang tiba di negara itu.
Agensi akhbar Saudi, SPA, mendokumentasikan ketibaan jemaah haji dari pelbagai negara, di Masjid Nabawi, menonjolkan penjagaan menyeluruh yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Umum bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Langkah itu termasuk penyediaan air zamzam dingin sepanjang masa. Diuruskan oleh Jabatan Air Zamzam, operasi itu melibatkan pengangkutan 300 tan air zamzam setiap hari – dari sumbernya di Makkah ke Masjid Nabawi.
Air itu menjalani ujian rapi di makmal dan disalurkan kepada ribuan alat pendingin yang diletakkan di serata masjid, lapor SPA.
Halaman Masjid Nabawi juga dilengkapi dengan 250 pelindung matahari yang besar, setinggi 15 meter dan seberat 40 tan setiap satu, untuk memberi perlindungan kepada sehingga 228,000 anggota jemaah.
Ia menampilkan reka bentuk tembaga bersalut emas yang kompleks dan dilengkapi dengan sistem saliran air.
Untuk melawan panas terik, 436 kipas telah dipasang, yang mencampurkan udara sejuk dengan wap air untuk mewujudkan persekitaran yang lebih dingin untuk jemaah haji.
Lantai masjid dan halamannya ditutup dengan marmar putih jenis yang jarang didapati, diimport khusus untuk dua masjid suci itu.
Lantai memantulkan cahaya matahari dan mengekalkan kelembapan, meningkatkan keselesaan jemaah.
Kepingan marmar dipasang dengan tepat menghadap kiblat, dan diselenggara dengan teliti dan dipasang semula semasa kerja-kerja pembesaran masjid.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg