Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi buka taman tema bernilai AS$1b

Jan 12, 2026 | 11:39 AM
Taman, Tema, Saudi
Steam Town merupakan salah satu daripada enam kawasan bertema dalam taman tema baharu Six Flags Qiddiya City di Arab Saudi. - Foto Six Flags Qiddiya

RIYADH: Arab Saudi kini menempatkan roller coaster tertinggi, terpanjang dan terpantas di dunia selepas pembukaan taman tema Six Flags Qiddiya City, menandakan taman tema pertama syarikat Amerika Syarikat itu di luar Amerika Utara.

Pembukaan taman tema bernilai AS$1 bilion ($1.35 bilion) itu dilihat sebagai pencapaian penting bagi kerajaan Arab Saudi, khususnya selepas beberapa projek mega futuristik negara itu berdepan kelewatan dan lebihan kos.

Six Flags Qiddiya City merupakan komponen operasi pertama bagi Qiddiya, sebuah kompleks hiburan dan sukan berskala besar yang dibangunkan di tebing pergunungan gurun, kira-kira 40 minit dari ibu negara Riyadh.

Apabila siap sepenuhnya, Qiddiya dijangka merangkumi litar Formula 1, stadium Piala Dunia, pusat seni persembahan serta pelbagai kemudahan sukan dan kebudayaan bertaraf dunia.

Qiddiya dimiliki oleh Dana Pelaburan Awam (PIF), dana kekayaan berdaulat Arab Saudi yang menjadi tunjang utama pelaksanaan agenda pembaharuan ekonomi negara itu di bawah kepimpinan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Kompleks ini adalah antara lima projek mega yang bertujuan mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi dengan memberi tumpuan kepada sektor baru seperti pelancongan, hiburan dan sukan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak.

Namun, tekanan fiskal akibat harga minyak yang lebih rendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini memaksa pihak berkuasa menyemak semula keutamaan perbelanjaan dan menyesuaikan perancangan, lebih-lebih lagi ketika Arab Saudi bersiap menjadi tuan rumah acara global seperti Expo 2030 dan Piala Dunia 2034.

Pada 2025, PIF mendedahkan ia terpaksa membuat pelarasan nilai sebanyak AS$8 bilion menjelang akhir 2024 susulan kelewatan dan lebihan kos beberapa projek mega, termasuk projek futuristik Neom.

Walaupun fasa pertama Qiddiya sepatutnya dibuka pada 2022, pihak berkuasa Arab Saudi kekal optimistik bahawa pembukaan taman tema itu mampu menarik pelancong serta menggalakkan rakyat tempatan berbelanja dalam negara berbanding ke luar negara.

“Model ekonomi Qiddiya bergantung kepada perbelanjaan pengunjung,” kata Encik Abdullah Al-Dawood, Pengarah Urusan Qiddiya Investment Company, dalam satu rancangan bual bicara tempatan. Menurutnya, projek itu dijangka mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan dan menyumbang 2.5 bilion riyal Saudi (S$858 juta) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini. Sumbangan itu dijangka meningkat kepada 44 bilion riyal serta 85,000 pekerjaan menjelang 2030 apabila komponen lain Qiddiya mula beroperasi.

Sejak dibuka pada malam Tahun Baru, taman tema Six Flags Qiddiya City telah menarik ribuan pengunjung tempatan, dengan tiket dewasa berharga 325 riyal Saudi.

Tarikan utama taman tema itu ialah Falcon’s Flight, roller coaster yang didakwa Six Flags sebagai paling tinggi, terpanjang dan terpantas di dunia, dengan kelajuan maksimum mencecah 250 kilometer sejam (km/j).

Seorang pengunjung, Encik Omar Al-Arabi, yang pernah menetap di California dan kerap mengunjungi taman tema Disney dan Universal Studios, membawa tiga anaknya ke Qiddiya baru-baru ini. “Walaupun sesak, masa menunggu bagi kebanyakan permainan hanya sekitar 15 hingga 20 minit. Cuma Falcon’s Flight mengambil masa lebih sejam,” katanya. “Apa yang saya suka, Six Flags tidak cuba bergantung kepada lesen atau jenama terkenal. Segalanya dibina dari awal, relevan dengan budaya dan sesuai dengan persekitaran tempatan.”

Pihak berkuasa Saudi melihat pembukaan Qiddiya sebagai bukti keupayaan negara itu menunaikan janji pembangunan berskala besar. Namun, penganalisis berpandangan persoalan mengenai skop dan daya maju ekonomi projek mega lain masih kekal. “Pegawai Saudi pasti lega dengan kejayaan ini, terutama ketika projek lain menerima perhatian negatif,” kata Cik Kristin Smith Diwan, sarjana kanan Institut Negara Teluk Arab yang berpangkalan di Washington. “Namun, sebuah taman tema adalah satu perkara, membina bandar futuristik adalah perkara lain. Pembukaan Six Flags tidak semestinya meredakan keraguan global terhadap Neom.”

Dalam jangka panjang, Qiddiya City disasarkan menjadi destinasi hiburan, sukan dan kebudayaan bertaraf global, dengan pembukaan tarikan baru setiap beberapa bulan sehingga projek itu beroperasi sepenuhnya pada 2034, selari dengan penganjuran Piala Dunia FIFA oleh Arab Saudi. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg