Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi, Houthi saling berbalas serangan, laluan minyak dunia berdepan ancaman
Lima maut dalam serangan rentas sempadan Saudi-Houthi
Saudi, Houthi saling berbalas serangan, laluan minyak dunia berdepan ancaman
RIYADH: Arab Saudi dan Houthi di Yaman saling melancarkan serangan baru merentasi sempadan pada 17 September, sedang konflik yang semakin meluas meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan minyak dunia apabila dua laluan perkapalan strategik – Selat Bab el-Mandeb dan Selat Hormuz – berdepan gangguan serentak.
Pertempuran terbaru turut memburukkan krisis kemanusiaan Yaman, dengan lebih 100,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman dan ribuan lagi menaiki bot menyeberangi Laut Merah untuk mencari perlindungan di Djibouti.
Televisyen yang dikendalikan Houthi melaporkan Arab Saudi melancarkan serangan udara di wilayah Hajjah berhampiran sempadan Saudi di pesisir Laut Merah, selain kawasan sekitar Taiz yang terletak lebih jauh ke selatan.
Di Arab Saudi, seorang warga Yaman terbunuh selepas terkena serpihan sebuah dron Houthi yang dipintas di Taif, barat negara itu.
Pertahanan Awam Arab Saudi berkata dua lagi cedera dalam kejadian itu, manakala beberapa bangunan dan kenderaan mengalami kerosakan.
Ia merupakan kematian pertama yang diumumkan Riyadh akibat serangan Houthi sejak pertempuran terbaru meningkat pada 8 September.
Lebih 80 orang sebelum ini dilaporkan cedera dalam beberapa serangan Houthi.
Ketegangan turut meningkat selepas Arab Saudi menuduh Houthi cuba menyerang Makkah dengan dron pada 15 September.
Houthi menafikan dakwaan tersebut, dengan pemimpinnya, Encik Abdel-Malik al-Houthi, menyifatkannya sebagai satu pembohongan dan menegaskan kumpulan itu tidak akan menyasarkan kota paling suci bagi umat Islam tersebut.
Di Yaman, Houthi mendakwa pesawat perang Saudi menyerang tiga menara telekomunikasi di Taiz.
Media Houthi pula melaporkan seorang awam terbunuh di Abs, barat laut Yaman, manakala tiga kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam serangan pasukan pemerintah Yaman yang disokong Riyadh.
Pertempuran terbaru berlaku selepas gencatan senjata yang sejak 2022 mengurangkan pertempuran antara Houthi dengan Arab Saudi runtuh pada Julai lalu.
Sejak itu, Houthi melancarkan kemaraan pantas di sepanjang pesisir barat Yaman dan menawan beberapa kawasan strategik, termasuk pelabuhan Mokha serta kawasan berhampiran Selat Bab el-Mandeb.
Bab el-Mandeb menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan menjadi antara laluan perdagangan serta penghantaran tenaga paling penting di dunia.
Kepentingannya semakin meningkat selepas perang Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran menyebabkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz terjejas.
Perkembangan terbaru di Hormuz menambahkan lagi kebimbangan terhadap keselamatan bekalan minyak.
Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran berkata sebuah kapal tangki minyak berbendera Togo terbakar selepas terkena serangan ketika cuba melakukan apa yang disifatkan Tehran sebagai pelayaran secara haram melalui Selat Hormuz.
Kapal itu dilaporkan berhenti selepas kebakaran tercetus.
Keadaan itu menimbulkan risiko kepada dua laluan utama yang digunakan untuk membawa minyak dan barangan dari rantau Teluk ke pasaran dunia.
Selat Hormuz merupakan laluan utama eksport tenaga negara Teluk, manakala Laut Merah dan Bab el-Mandeb menjadi antara laluan alternatif penting apabila penghantaran melalui Hormuz terganggu.
Kemaraan Houthi di sepanjang pesisir Laut Merah kini meningkatkan kebimbangan bahawa laluan alternatif itu juga boleh terjejas.
Houthi sebelum ini mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi ketika pertempuran dengan Riyadh meningkat.
Kumpulan yang disokong Iran itu menguasai Sanaa dan sebahagian besar kawasan berpenduduk padat di barat Yaman sejak perang saudara negara itu tercetus pada 2014.
Amerika setakat ini menolak permintaan Arab Saudi supaya Washington memainkan peranan ketenteraan secara langsung dalam pertempuran menentang Houthi.
Houthi dan Amerika mencapai gencatan senjata pada 2025 selepas Washington melancarkan serangan selama kira-kira dua bulan terhadap kumpulan tersebut.
Amerika kini berusaha mengelakkan dirinya daripada kembali terlibat secara langsung dalam konflik Houthi-Saudi, meskipun ketegangan serantau semakin meningkat.
Kesan paling segera daripada pertempuran terbaru bagaimanapun dirasakan penduduk Yaman.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 100,000 orang sudah kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran di sepanjang pesisir barat negara itu.
Ribuan penduduk pula mengambil risiko menaiki bot merentasi perairan Bab el-Mandeb menuju Djibouti bagi menyelamatkan diri.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) berkata 2,776 orang sudah menyeberang dari Yaman ke Djibouti sejak awal September, manakala lebih 104,000 orang kehilangan tempat tinggal di dalam Yaman dalam tempoh sama.
Ramai daripada mereka melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa dan hanya sempat membawa sedikit barangan, sedang pusat perlindungan berdepan tekanan untuk menyediakan makanan, air bersih, rawatan kesihatan dan tempat tinggal.
Pertempuran terbaru itu sekali gus menghidupkan semula kebimbangan bahawa perang saudara Yaman boleh kembali kepada pertempuran besar, sedang kemaraan Houthi menuju kawasan strategik di Laut Merah mengubah konflik yang sebelum ini sebahagian besarnya tertumpu di Yaman menjadi ancaman lebih luas terhadap keselamatan serantau dan laluan perdagangan dunia. - Agensi berita
