Topik diikuti
Pergi ke BHkuNegara Arab, dunia Muslim kecam dakwaan serangan Houthi ke atas Makkah
Negara Arab, dunia Muslim kecam dakwaan serangan Houthi ke atas Makkah
RIYADH: Negara Arab dan Islam mengecam dakwaan cubaan serangan dron Houthi ke arah Makkah, sambil menyatakan sokongan kepada Arab Saudi dan menegaskan bahawa keselamatan kota suci serta jemaah tidak boleh dijadikan sasaran dalam konflik serantau.
Kecaman itu menyusuli pengumuman Arab Saudi bahawa sistem pertahanan udaranya memintas dan memusnahkan sebuah dron pada 15 September sebelum ia memasuki ruang udara larangan Makkah.
Riyadh mendakwa dron itu dilancarkan Houthi dari Yaman dan menyasarkan kota suci tersebut. Houthi bagaimanapun menafikan bahawa dron mereka menyasarkan Makkah.
Kementerian Luar Saudi menyifatkan kejadian itu sebagai “serangan pengganas yang pengecut” dan menegaskan kerajaan berhak mengambil semua langkah yang diperlukan untuk mempertahankan dua masjid suci, jemaah serta wilayahnya.
Menurut kementerian itu, kejadian tersebut merupakan cubaan kedua menyasarkan Makkah selepas satu serangan pada 27 Julai 2017.
Arab Saudi turut menggesa masyarakat antarabangsa mengambil pendirian tegas terhadap serangan Houthi ke atas wilayahnya, termasuk ancaman terhadap prasarana awam dan ekonomi serta keselamatan laluan perkapalan.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang mewakili 57 negara Islam, antara badan yang mengeluarkan kecaman keras terhadap serangan itu.
OIC mengecam apa yang disifatkannya sebagai “serangan keji” Houthi terhadap Arab Saudi, termasuk serangan yang menurutnya menyasarkan Makkah dan wilayah Madinah.
“Serangan ini menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam yang tidak bersalah, mencabuli kesucian tempat suci dan masjid serta mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia,” kata OIC.
Liga Dunia Islam (MWL) turut mengecam tindakan itu, dengan Setiausaha Agungnya, Sheikh Dr Mohammed bin Abdulkarim Al-Issa, berkata sebarang tindakan yang membahayakan umat Islam dan tempat suci mereka bertentangan dengan nilai agama serta prinsip kemanusiaan.
Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Encik Jasem Mohamed AlBudaiwi, pula berkata serangan terhadap Makkah menunjukkan perlunya masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas untuk melindungi orang awam dan kesucian tempat ibadah.
Liga Arab menyatakan “solidariti penuh” dengan Arab Saudi dan menyokong langkah Riyadh untuk melindungi wilayah serta keselamatannya.
Qatar menyifatkan cubaan serangan itu sebagai tindakan pencerobohan yang tidak boleh diterima, manakala Kuwait dan Jordan turut menyatakan sokongan kepada Arab Saudi dalam mempertahankan kota suci.
Kuwait berkata sebarang serangan terhadap Makkah mencabuli kesucian kiblat umat Islam dan menyinggung perasaan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Mesir dan Bahrain turut mengecam dakwaan serangan itu, dengan Bahrain menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil pendirian tegas terhadap serangan Houthi.
Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, menyifatkan cubaan serangan itu sebagai tindakan “pengecut dan berdosa”, sambil menegaskan sokongan negaranya terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Arab Saudi.
Pada masa sama, beliau berkata dialog dan diplomasi kekal sebagai satu-satunya jalan mampan untuk mencapai keamanan serta mengelakkan ketegangan serantau daripada terus meningkat.
Presiden Maldives, Encik Mohamed Muizzu, berkata sebarang tindakan yang mengancam keselamatan dan kesucian Makkah “sama sekali tidak boleh diterima”.
Beliau turut memuji tindakan pantas pasukan pertahanan udara Saudi memintas dron tersebut sebelum ia menghampiri kota suci itu.
India pula berkata ia “amat prihatin” dengan perkembangan tersebut dan mengulangi kecamannya terhadap sebarang serangan ke atas wilayah berdaulat Arab Saudi atau tindakan yang membahayakan orang awam dan prasarana.
Malaysia mengambil pendekatan yang turut menekankan keperluan mengelakkan keadaan daripada bertambah buruk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau memandang serius laporan mengenai dron yang dipintas berhampiran Makkah.
“Sebarang cubaan mengancam keselamatan dan kesucian kota paling suci dalam Islam sama sekali tidak boleh diterima,” katanya, sambil menyeru supaya semua pihak mengamalkan sikap berwaspada serta mengutamakan dialog.
Pemerintah Palestin turut menyatakan solidariti dengan Arab Saudi dalam menghadapi ancaman terhadap keselamatan, kedaulatan dan kestabilannya.
Presiden Palestin menyifatkan tindakan menyasarkan Makkah, yang menjadi arah kiblat umat Islam, sebagai perbuatan berbahaya yang mencabuli kesucian tempat suci Islam serta mengancam keselamatan penduduk dan jemaah.
Gelombang kecaman itu berlaku ketika ketegangan antara Arab Saudi dengan Houthi semakin meningkat susulan pertempuran di Yaman dan serangan rentas sempadan.
Riyadh menegaskan keselamatan Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, selain keselamatan jemaah, rakyat serta penduduk Arab Saudi, kekal sebagai perkara yang tidak boleh dikompromi. - Agensi berita
