Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi isytihar haji 2026 berjaya
Saudi isytihar haji 2026 berjaya
WHO puji langkah kesihatan selepas musim haji berlangsung selamat, tiada wabak dikesan dalam kalangan 1.7j jemaah
Saudi isytihar haji 2026 berjaya
MAKKAH: Arab Saudi mengumumkan musim haji 2026 berakhir dengan jayanya selepas lebih 1.7 juta jemaah berjaya menunaikan ibadah itu dalam keadaan selamat, lancar dan bebas daripada sebarang wabak penyakit berjangkit.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi berkata persiapan bagi musim haji 2027 sudah mula dilakukan walaupun sebahagian jemaah masih belum pulang ke negara masing-masing.
Menurut angka yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Am Statistik Arab Saudi, seramai 1,707,301 anggota jemaah menunaikan haji pada 2026, termasuk 1,546,655 anggota jemaah dari luar negara dan 160,646 rakyat tempatan.
Kementerian berkenaan berkata tamatnya satu musim haji menandakan bermulanya persiapan bagi musim seterusnya.
“Pelan keselamatan dan operasi akan terus dinilai serta ditambah baik sebaik sahaja ibadah Haji selesai,” menurut kenyataan kementerian itu yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA).
Pihak berkuasa Saudi menggerakkan ribuan anggota keselamatan, petugas kesihatan, sukarelawan dan kakitangan perkhidmatan sepanjang musim haji bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perjalanan ibadah di Makkah, Mina, Arafah dan Muzdalifah.
Anggota keselamatan ditempatkan di kawasan tumpuan utama bagi membantu mengawal pergerakan jemaah, memberi panduan dan memastikan keadaan terkawal sepanjang musim haji.
Kementerian itu berkata semua operasi dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai agensi kerajaan di bawah penyelarasan pasukan keselamatan haji.
“Khidmat kepada tetamu Allah adalah kebanggaan negara dan keutamaan utama kerajaan,” menurut kementerian itu.
Antara inisiatif penting yang diteruskan ialah Program Laluan Makkah yang dilaksanakan buat tahun kelapan berturut-turut.
Program itu dijalankan di 17 lokasi pelepasan di 10 negara bagi memudahkan urusan perjalanan jemaah sebelum mereka tiba di Arab Saudi.
Di pintu masuk udara, darat dan laut pula, pihak imigresen serta kerajaan wilayah membantu mempercepatkan urusan ketibaan jemaah.
Pihak berkuasa Saudi menegaskan keselamatan jemaah kekal sebagai “garis merah” sepanjang musim haji.
Dari lapangan terbang dan pusat pemeriksaan sempadan hinggalah ke jalan raya, pusat pengangkutan dan kawasan ibadah, ribuan rakyat Saudi bekerja tanpa henti untuk membantu jemaah.
Pergerakan jemaah antara Mina, Arafah dan Muzdalifah dilaporkan berjalan lancar, termasuk proses melontar Jamrah dan Tawaf Wada.
Semua operasi haji 2026 dilaksanakan di bawah penyeliaan langsung Menteri Dalam Negeri Arab Saudi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, Abdulaziz bin Saud bin Naif.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyifatkan haji 2026 sebagai kejayaan besar dari sudut kesihatan awam selepas tiada kes wabak penyakit dikesan dalam kalangan jutaan jemaah.
Pengumuman itu dibuat ketika dunia sedang berdepan kebimbangan terhadap penularan beberapa penyakit termasuk Ebola dan Hantavirus di beberapa negara.
Menteri Kesihatan Arab Saudi, Fahad bin Abdulrahman AlJalajel, berkata keselamatan kesihatan semasa haji bukan hanya melibatkan Arab Saudi, malah berkait dengan keselamatan kesihatan global.
“Keselamatan kesihatan haji adalah keselamatan kesihatan dunia,” katanya.
Beliau berkata langkah pencegahan, kesiapsiagaan, tindakan pantas dan kerjasama antarabangsa berjaya melindungi jutaan jemaah sepanjang musim haji.
Menurut kementerian itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, turut mengucapkan tahniah kepada Arab Saudi atas kejayaan mengendalikan musim haji dengan selamat.
Beliau juga memuji petugas kesihatan Arab Saudi yang bekerja sepanjang musim ibadah itu.
Kementerian berkenaan berkata pujian daripada WHO mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap kemampuan Arab Saudi menguruskan salah satu perhimpunan manusia terbesar di dunia.
Pengarah Serantau WHO bagi Mediterranean Timur, Dr Hanan Balkhy, turut memuji penggunaan teknologi moden seperti robotik, dron dan sistem pemantauan kesihatan sepanjang musim haji.
Menurut beliau, pasukan WHO turut memantau risiko penyakit sepanjang musim haji dan hasilnya membuktikan sistem kesihatan Arab Saudi mampu mengurus cabaran besar melibatkan jutaan manusia dari pelbagai negara.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi berkata operasi kesihatan tahun ini antara yang terbesar pernah dijalankan semasa haji.
Lebih 52,000 petugas kesihatan dan 7,700 paramedik dikerahkan sepanjang musim ibadah itu.
Selain itu, lebih 20,000 katil hospital disediakan termasuk 3,800 katil khas di kawasan tanah suci.
Pihak berkuasa kesihatan berkata lebih 2.46 juta perkhidmatan perubatan diberikan kepada jemaah sepanjang musim haji.
Lebih sejuta panggilan juga diterima menerusi talian kesihatan ‘937’.
Pihak Berkuasa Kesihatan Awam Arab Saudi, Weqaya, memantau rapat penularan penyakit antarabangsa termasuk Ebola dan Hantavirus sebelum dan sepanjang musim haji.
Kerajaan Saudi memperketat syarat kesihatan jemaah sebelum ketibaan mereka dan memperluaskan sistem pemantauan di pintu masuk negara serta kawasan Tanah Suci.
Pasukan epidemiologi lapangan, unit tindak balas pantas dan rangkaian makmal canggih turut diletakkan dalam keadaan bersedia sepanjang masa.
Kempen kesedaran pelbagai bahasa juga dijalankan bagi memberi maklumat kepada jemaah mengenai strok haba dan pencegahan penyakit.
“Tiada kes Ebola, Hantavirus atau penyakit wabak lain dikesan dalam kalangan jemaah,” menurut kementerian itu.
Pihak berkuasa Saudi berkata kejayaan itu mengukuhkan peranan Arab Saudi dalam bidang pengurusan kesihatan perhimpunan besar dan membuktikan komitmen negara itu melindungi jemaah serta menyokong keselamatan kesihatan global.
Kementerian itu turut merakamkan penghargaan kepada petugas kesihatan, anggota keselamatan dan semua agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi haji 2026.
Menurut mereka, usaha bersama itu membolehkan jutaan jemaah menunaikan ibadah haji dengan selamat dan teratur. – Agensi berita.
