RIYADH: Arab Saudi secara rasmi mula menerima ketibaan jemaah haji 2026 melalui pintu masuk udara, darat dan laut, dengan pelaksanaan sistem perkhidmatan bersepadu bagi memastikan perjalanan lancar dan teratur.

Kementerian Haji dan Umrah dalam satu kenyataan pada 18 April memaklumkan, operasi kemasukan jemaah dikendalikan di bawah penyeliaan Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, Putera Abdulaziz Saud.

“Kami memastikan setiap proses kemasukan dan pemindahan jemaah ke penginapan berjalan lancar melalui kerjasama pelbagai agensi berkaitan,” ujar kenyataan kementerian itu.

Lapangan terbang di seluruh negara mula menerima penerbangan jemaah dari beberapa negara termasuk Pakistan, Turkey, Afghanistan, Malaysia, India, Bangladesh dan Thailand, dengan kira-kira 30 penerbangan diproses secara tersusun.

Kumpulan pertama jemaah turut disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz di Madinah, dengan jemaah dari Pakistan menjadi antara yang terawal tiba.

Kerajaan Arab Saudi memperuntuk kuota sebanyak 179,210 anggota jemaah kepada Pakistan pada 2026.

Daripada jumlah itu, sekitar 118,000 tempat diperuntukkan di bawah program pemerintah, manakala selebihnya melalui pengendali swasta.

Di Jeddah, kumpulan pertama jemaah dari Bangladesh turut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, manakala penerbangan dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan dari Turkey melalui Lapangan Terbang Ankara Esenboga juga selamat mendarat di Madinah.

Kementerian memaklumkan tahap kesiapsiagaan di pintu masuk dipertingkatkan melalui penambahan petugas, pengaktifan laluan khas jemaah serta penyediaan kemudahan sambutan.

“Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan proses kemasukan jemaah,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, penyelarasan antara agensi turut diperkukuh lagi, bagi memudahkan urusan imigresen, menyediakan panduan serta sokongan pelbagai bahasa, selain memastikan pemindahan jemaah ke Makkah dan Madinah berjalan lancar tanpa gangguan.

Arab Saudi turut meneruskan pelaksanaan Inisiatif Laluan Makkah untuk tahun kelapan berturut-turut, kini melibatkan 17 pintu masuk di 10 negara termasuk tambahan terkini seperti Senegal dan Brunei Darussalam.

Daya usaha itu membolehkan semua proses penting seperti pengeluaran visa, kawalan pasport dan pemeriksaan kesihatan diselesaikan di negara asal sebelum berlepas.

“Jemaah tidak perlu menunggu lama sebaik sahaja tiba kerana semua urusan telah diselesaikan lebih awal,” tambah pihak berkuasa.

Bagasi jemaah turut dikod mengikut lokasi penginapan di Arab Saudi, membolehkan mereka terus menaiki bas khas ke destinasi, tanpa perlu menunggu di kawasan tuntutan bagasi.

Sejak dilancarkan pada 2017, inisiatif itu telah memberi manfaat kepada lebih 1.25 juta anggota jemaah.

Kementerian Dalam Negeri memaklumkan penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) dan sistem logistik pintar membantu mempercepat proses kemasukan serta meningkatkan mutu perkhidmatan.

Menteri Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik, Encik Saleh Al Jasser, berkata sistem pengangkutan negara kini beroperasi di bawah strategi bersepadu berasaskan teknologi.

“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Arab Saudi dalam menambah baik prasarana dan perkhidmatan untuk tetamu Allah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah menyelesaikan kerja tahunan menaikkan bahagian bawah kiswah Kaabah setinggi tiga meter, sebagai sebahagian persiapan menyambut ketibaan jemaah haji 2026 dan telah selesai dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa.

Proses tersebut dilaksanakan oleh pasukan khusus terdiri daripada 34 tukang mahir dan berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira dua jam.

Menurut pihak berkuasa, kain sutera kiswah diangkat dengan teliti sebelum kain kapas putih selebar dua meter dipasang mengelilingi keempat-empat sisi Kaabah.

“Langkah ini merupakan prosedur penyelenggaraan standard yang dilaksanakan setiap tahun bagi melindungi kiswah daripada rosak,” tambah kenyataan rasmi.

Langkah itu juga bertujuan mengurangkan risiko geseran akibat kesesakan ketika ibadah tawaf, yang melibatkan jutaan anggota jemaah sepanjang musim haji.

Pihak berkuasa menegaskan, semua kerja dilakukan mengikut protokol ketat bagi memastikan kelancaran ibadah tidak terjejas, sekali gus mengekalkan kesucian dan keutuhan struktur Kaabah.

Projek itu melibatkan sekitar 4,700 jam kerja, merangkumi 31 pakej utama dan lebih 305 kegiatan termasuk pemeriksaan struktur, kerja marmar serta penggantian sambungan pengembangan bagi menampung pergerakan dan perubahan suhu.

“Semua kerja dilaksanakan tanpa menjejas kelancaran ibadah jemaah,” kata pihak berkuasa.

Langkah tersebut dilihat sebagai sebahagian usaha berterusan Arab Saudi dalam memastikan pengalaman ibadah haji yang lebih selesa, selamat dan cekap, selaras dengan matlamat pembangunan nasional di bawah Wawasan 2030. – Agensi berita.