Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi nafi tarik balik larangan arak jelang Piala Dunia

May 28, 2025 | 12:11 PM
PIALA DUNIA, ARAB SAUDI
Arab Saudi menafikan laporan bahawa ia akan menarik balik larangan ke atas arak yang telah lama dikuatkuasakan menjelang Piala Dunia 2034. - Foto AFP

RIYADH: Arab Saudi menafikan laporan bahawa ia akan menarik balik larangan ke atas arak yang telah lama dikuatkuasakan menjelang Piala Dunia 2034.

Beberapa media antarabangsa melaporkan bahawa pihak berkuasa Saudi merancang membenarkan penjualan arak di kawasan tarikan pelancong.

Laporan itu pertama kali muncul di blog mengenai arak pada tetapi tidak memetik sumber.

Ia mendakwa larangan sejak 73 tahun itu akan ditarik balik ke atas minuman keras di tempat berlesen termasuk hotel mewah, pusat peranginan bertaraf lima bintang dan tumpuan pelancong.

Pada 26 Mei, seorang pegawai Saudi menafikan laporan itu kepada Reuters.

Sumber termaklum yang mengetahui perkara itu memberitahu Arab News: “Dakwaan ini tidak mempunyai sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa yang berkaitan dan tidak menggambarkan dasar atau peraturan sedia ada di Arab Saudi.”

Meskipun minuman keras masih diharamkan, namun terdapat kelonggaran beberapa norma sosial sejak Putera Mahkota Mohammed bin Salman melancarkan strategi Wawasan 2030 sembilan tahun lalu.

Inisiatif berkenaan bertujuan melupuskan pergantungan kepada hasil minyak dan meningkatkan reputasinya di seluruh dunia.

Sejak itu, festival muzik, pertunjukan fesyen dan pawagam telah dibenarkan di Arab Saudi.

Larangan ke atas wanita memandu juga ditarik balik pada 2017 dan terdapat pengurangan pengasingan jantina di beberapa ruang awam.

Pada 2024, kedai arak pertama di Riyadh dibuka, untuk keperluan diplomat bukan Islam.

Sebelum itu, ia hanya boleh didapati melalui pasaran gelap atau surat diplomatik.

Sumber berkenaan berkata langkah itu bertujuan mengekang penghantaran diplomatik tanpa kebenaran, dan mengawal penggunaan arak di bawah peraturan yang ketat.

Pada Disember, Arab Saudi telah diumumkan sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Jiran Teluknya, Qatar menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 2022.

Walaupun ia tidak membenarkan penjualan arak di stadium semasa kejohanan itu, ia dijual di zon peminat khas.

Duta Arab Saudi ke Britain, Putera Khalid bin Bandar bin Sultan Al Saud, berkata pada Februari bahawa arak tidak akan dijual sepanjang kejohanan 2034 itu.

“Negara kita mempunyai cuaca yang kering. Setiap orang mempunyai budaya mereka sendiri, dan kami gembira untuk menampung orang dalam sempadan kami, tetapi kami tidak mahu mengubah budaya kami untuk orang lain,” tambahnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg