RIYADH: Arab Saudi memperkenalkan visa umrah kemasukan berulang yang membolehkan jemaah memasuki negara itu beberapa kali dalam tempoh setahun, sebagai usaha memudahkan ibadah umrah dan merancakkan lagi sektor pelancongan Islam.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memaklumkan visa baharu itu sah selama 365 hari dari tarikh dikeluarkan dan membolehkan pemegangnya keluar masuk negara itu beberapa kali, dengan jumlah keseluruhan tempoh berada di Arab Saudi tidak melebihi 90 hari,  menurut agensi berita Gulf yang memetik laporan Agensi Berita Saudi (SPA).

Menurut kementerian, baki tempoh yang tidak digunakan akan dibawa ke lawatan seterusnya selagi visa masih sah.

Bagaimanapun, visa berkenaan tidak boleh digunakan sepanjang musim haji, iaitu bermula pada 1 Zulkaedah hingga 13 Zulhijah, yang dijangka jatuh antara 8 April dengan 19 Mei pada 2027.

“Visa ini memberi lebih fleksibiliti kepada jemaah untuk merancang ibadah umrah pada bila-bila masa sepanjang tahun, kecuali ketika musim haji,” menurut kenyataan kementerian.

Bagi setiap lawatan, jemaah diwajibkan membeli pakej perkhidmatan daripada penyedia yang diiktiraf menerusi platform Nusuk sebelum memohon permit umrah melalui aplikasi yang sama.

Tarikh permit umrah mesti sepadan dengan tempoh pakej yang diluluskan dan jemaah juga perlu memenuhi semua syarat perjalanan serta kemasukan yang ditetapkan sebelum dibenarkan menaiki penerbangan ke Arab Saudi.

Kementerian berkata visa itu akan digantung secara automatik sebaik sahaja jemaah meninggalkan Arab Saudi dan diaktifkan semula apabila semua syarat bagi lawatan berikutnya dipenuhi.

Jemaah yang ingin kembali menunaikan umrah dalam tempoh sah visa perlu membeli pakej baharu yang diluluskan serta mendapatkan permit umrah baharu melalui platform Nusuk.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha Arab Saudi memperluaskan penggunaan sistem digital dalam pengurusan ibadah umrah di bawah agenda Wawasan 2030.

Platform Nusuk kini menyediakan pelbagai perkhidmatan secara dalam talian, termasuk tempahan visa, penginapan, pengangkutan dan permit umrah kepada jemaah dari lebih 120 negara.

Perkembangan itu dibuat selepas Arab Saudi merekodkan peningkatan ketara jumlah jemaah umrah dari luar negara.

Dalam tempoh enam minggu pertama musim umrah baharu yang bermula pada 31 Mei lalu, lebih 1.27 juta anggota jemaah tiba di Arab Saudi.

Pakistan mencatat jumlah tertinggi dengan kira-kira 200,000 anggota jemaah, diikuti Indonesia seramai 170,000 dan Iraq sebanyak 130,000 orang.

Sebanyak 75 peratus daripada jemaah antarabangsa memasuki Arab Saudi melalui penerbangan, manakala selebihnya menggunakan laluan darat dan laut.

Bagi menampung pertambahan jumlah jemaah, Arab Saudi turut memperluaskan kapasiti penginapan di Makkah dan Madinah.

Terbaharu, rangkaian hotel Accor mengumumkan pembinaan hotel Ibis kedua di timur Makkah yang dijadual mula beroperasi pada 2031.

Kementerian Haji dan Umrah berkata visa baharu itu dijangka menjadikan urusan menunaikan umrah lebih mudah, fleksibel dan lancar, selain menyokong sasaran kerajaan untuk menarik lebih ramai pelawat Islam dari seluruh dunia pada tahun-tahun akan datang. – Agensi berita.