MAKKAH: Sektor hospitaliti di Makkah dan Madinah terus menunjukkan prestasi kukuh pada awal 2026 walaupun rantau Timur Tengah berdepan gangguan perjalanan dan ketegangan geopolitik, ketika Arab Saudi mempercepat pembangunan prasarana bagi menampung peningkatan jumlah jemaah haji dan umrah.

Laporan Hospitaliti dan Pelancongan Agama Saudi oleh firma perunding hartanah Knight Frank mendapati Makkah kekal sebagai pasaran hotel paling kukuh di negara itu bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2026 ini.

Kadar purata harian bilik hotel di Makkah direkodkan sebanyak 775 riyal Saudi (S$278), manakala hasil bagi setiap bilik tersedia meningkat 4.7 peratus berbanding tempoh sama tahun 2025.

Madinah turut mencatat prestasi memberangsangkan apabila kadar penghunian hotel mencapai purata 76 peratus, sementara kadar bilik meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun.

Prestasi itu dicapai ketika Arab Saudi terus menjadikan pelancongan agama sebagai antara tonggak utama strategi kepelbagaian ekonominya menerusi pelan Wawasan 2030.

Riyadh kini melabur secara besar-besaran dalam sektor hotel, pengangkutan dan pembangunan hartanah di Makkah dan Madinah bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada jutaan jemaah seluruh dunia.

Knight Frank berkata lebih 105,225 bilik hotel kini sedang dibina atau berada pada peringkat perancangan lanjutan di seluruh negara.

Jumlah itu dijangka meningkatkan kapasiti hotel Arab Saudi daripada 176,260 bilik kepada lebih 281,500 bilik menjelang 2030.

“Dua kota suci ini sejak sekian lama menikmati permintaan kukuh, namun pembaharuan peraturan baru-baru ini membuka peluang lebih besar kepada pelabur antarabangsa untuk menyertai pertumbuhan jangka panjang sektor ini,” kata rakan penyelidik Knight Frank bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Encik Amar Hussain.

Beliau berkata perkembangan itu dijangka menjadi antara pemacu utama pelaburan dalam sektor hospitaliti Arab Saudi sepanjang dekad akan datang.

Pelancongan agama terus menjadi asas utama pertumbuhan sektor berkenaan, ujarnya.

Laporan itu mendapati seramai 1.71 juta jemaah menunaikan ibadah haji pada 2026, meningkat 2.2 peratus berbanding tahun 2025, dengan jemaah datang dari 165 negara.

Daripada jumlah itu, kira-kira 1.55 juta ialah jemaah antarabangsa.

Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh dan Nigeria kekal menjadi pasaran utama penyumbang jemaah haji.

Knight Frank turut melaporkan lebih 218,000 bilik hotel, kediaman berjenama dan apartmen servis dirancang di beberapa projek mega di Makkah dan Madinah.

Antaranya termasuk projek Rua Al Haram, Rua Al Madinah, Bandar Jemaah Dar Al Hijrah, Bandar Penetahuan Ekonomi, Masar Makkah dan Thakher Makkah.

Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Diraja bagi Bandar Makkah dan Tapak Suci mengumumkan pembangunan tujuh kawasan baharu di Makkah menerusi Program Daerah Membangun.

Projek bernilai 16.3 bilion riyal Saudi (S$5.8 bilion) itu meliputi kawasan seluas lebih 4.4 juta meter persegi di daerah Jarham, Al-Khalidiyah, Al-Hajlah, Al-Hindawiyah dan Al-Zohour.

Pengumuman dibuat dalam majlis menandatangani perjanjian penganugerahan projek pada 24 Jun yang menandakan fasa baharu pengembangan bandar dan pembangunan hartanah di kota suci itu.

Menurut suruhanjaya berkenaan, projek akan dilaksanakan beberapa syarikat pemaju dan pelaburan termasuk Maad International, AlRajhi United, ZOOD, Mohammad Abdulaziz Al-Habib and Sons Holding Co. dan Jadwa Investment.

“Inisiatif ini bertujuan memperbaiki persekitaran bandar di Makkah, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan mutu kehidupan penduduk dan menyokong pembangunan mampan,” menurut kenyataan suruhanjaya itu.

Arab Saudi menerima 37.2 juta pelawat domestik dan antarabangsa sepanjang suku pertama 2026, dengan jumlah perbelanjaan pelancong mencecah 82.7 bilion riyal Saudi (S$29.7 bilion).

Pelancongan domestik kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan apabila jumlah pelawat tempatan meningkat 16 peratus kepada 28.9 juta orang, manakala perbelanjaan meningkat lapan peratus kepada 34.7 bilion riyal Saudi.

Menurut laporan itu, sektor pelancongan dan perjalanan menyumbang AS$178 bilion (S$227 bilion) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Arab Saudi pada 2025, mewakili kira-kira 46 peratus ekonomi pelancongan Asia Barat.

KDNK sektor pelancongan negara itu berkembang 7.4 peratus tahun lalu, mengatasi purata rantau Asia Barat sebanyak 5.3 peratus dan purata global 4.1 peratus.

Kementerian Pelancongan Arab Saudi sebelum ini melaporkan negara itu menerima kira-kira 123 juta pelancong domestik dan antarabangsa pada 2025, meningkat enam peratus berbanding 2024.

Ketua penyelidikan Knight Frank bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Faisal Durrani, berkata pasaran hospitaliti Arab Saudi kini memasuki fasa pembangunan baharu.

“Pasaran kini memasuki fasa di mana kepelbagaian produk menjadi semakin penting,” katanya.

Menurut beliau, lebih separuh daripada projek hotel masa depan tertumpu kepada hotel mewah dan premium, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan hotel kelas pertengahan dan bajet.

Walaupun pasaran hotel di Riyadh mencatat kelembapan akibat pertambahan bekalan hotel baharu dan penurunan perjalanan perniagaan susulan ketegangan serantau, Knight Frank menegaskan prospek jangka panjang sektor hospitaliti Arab Saudi kekal positif.

Firma itu berkata sektor berkenaan akan terus disokong oleh projek prasarana mega, peluasan lapangan terbang, pelancaran Riyadh Air dan peningkatan penyertaan pelabur asing ketika Arab Saudi berusaha mencapai sasaran menerima 30 juta jemaah haji dan umrah setiap tahun menjelang 2030. - Agensi berita