RIYADH: Kerajaan Arab Saudi pada awal Ogos memperkenalkan pengajaran Bahasa Mandarin di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Daya usaha itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang ditandatangani antara Arab Saudi dengan China pada 2023, yang bertujuan meningkatkan kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara.
Ini turut mencerminkan usaha Saudi dalam memperluas horizon pendidikan untuk generasi muda sejajar dengan visi Saudi 2030.
Program itu disokong oleh 175 tenaga pengajar Bahasa Mandarin yang sudah mula mengajar di sekolah-sekolah di Arab Saudi pada pertengahan Ogos 2024.
Guru-guru itu telah menjalani latihan praperkhidmatan di Universiti Normal Tianjin, China, dari 29 Julai hingga 2 Ogos, sekali gus enunjukkan persediaan rapi dalam melaksanakan kurikulum bahasa yang baru itu.
Perkembangan tersebut sejajar dengan visi Saudi 2030, yang menyaksikan kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan sektor pendidikan sebagai sebahagian daripada usaha mempersiapkan generasi muda Saudi bagi masa depan yang lebih berdaya saing di peringkat sejagat.
Menteri Pendidikan Saudi, Encik Yousef Al-Benyan, menekankan pelaburan besar kerajaan dalam sektor pendidikan, termasuk pengajaran Bahasa Mandarin, sebagai langkah untuk memperkasa generasi muda dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Pengajaran Bahasa Mandarin di Arab Saudi bukan sekadar usaha pendidikan, malah mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin berkembang antara China dengan Arab Saudi.
China kini adalah kuasa ekonomi utama di dunia, dan perdagangan serta kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara semakin kukuh.
Dalam konteks ini, penguasaan bahasa Mandarin memberikan kelebihan besar kepada generasi muda Saudi.
Menurut Kementerian Pendidikan Saudi, pengajaran Bahasa Mandarin di sekolah akan meningkatkan peluang pelajar Saudi untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
Ini terutamanya dalam syarikat yang mempunyai hubungan dengan China, atau untuk melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka di China.
Daya usaha itu jelas merupakan langkah penting dalam memperkuat hubungan strategik antara Arab Saudi dengan China.
Bukan hanya dalam bidang ekonomi, malah dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.
Dengan membuka peluang untuk belajar bahasa Mandarin, Arab Saudi menyediakan generasi mudanya untuk berkomunikasi secara lebih berkesan dengan China.
Mereka juga boleh mengambil bahagian dalam dunia perdagangan dan perniagaan sejagat yang semakin bergantung kepada hubungan dua hala.
Keputusan kerajaan Saudi untuk memperkenalkan pengajaran bahasa Mandarin disambut baik oleh banyak pihak, termasuk ibu bapa dan pelajar.
Cik Hanan Alharbi, seorang ibu dari Riyadh, menyatakan bahawa beliau sangat positif terhadap keputusan itu, dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah mempromosikan kebudayaan sejagat dan memperkaya kemahiran bahasa para pelajar Saudi.
Menurutnya, dengan guru-guru yang berasal dari China, pelajar Saudi bukan sahaja belajar bahasa malah juga mendapat pemahaman yang lebih mendalam tentang budaya Cina.
Memperkenalkan bahasa Mandarin di sekolah-sekolah Saudi bukan sahaja membuka pintu kepada peluang ekonomi, bahkan juga memperkayakan pelajar dengan pengetahuan tentang kebudayaan yang berbeza.
Menurut seorang ibu dari Tianjin, Cik Taotao Wang, daya usaha itu bukan hanya tentang pembelajaran bahasa, malah juga mengenai pertukaran budaya antara dua negara yang mempunyai tradisi dan nilai berbeza.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai satu cara untuk “mencari keindahan dalam perbezaan kita dan berkembang bersama”.
Tambahan pula, pengajaran bahasa Mandarin di sekolah memberikan pelajar Saudi peluang berkomunikasi secara langsung dengan rakan sebaya mereka di China.
Dengan semakin ramai orang China yang berkunjung dan berniaga di Arab Saudi, penguasaan bahasa Mandarin akan memudahkan komunikasi dua hala, seperti yang dijelaskan oleh Cik Alice Xiong, guru dari wilayah Guangdong, China.
Menurutnya, ia adalah situasi saling menguntungkan, atau win-win, untuk kedua-dua negara, kerana pertukaran bahasa dan budaya akan memperkukuhkan hubungan antara generasi muda dari kedua-dua negara.
Arab Saudi bukan satu-satunya negara yang melaksanakan daya usaha pendidikan yang melibatkan pengajaran bahasa asing.
Di China, kursus Bahasa Arab semakin meluas di universiti-universiti dan sekolah-sekolah antarabangsa.
Ini menunjukkan kesungguhan kedua-dua negara dalam memperkukuh pertukaran budaya dan komersial.
Cik Xiong turut menekankan bahawa pengajaran Bahasa Arab di China kini semakin berkembang, memberi peluang kepada rakyat China untuk memahami budaya Arab dengan lebih mendalam.
Sistem pengajaran Bahasa Mandarin di sekolah-sekolah Saudi akan dilaksanakan secara berperingkat.
Beberapa sekolah dipilih untuk menjadi perintis program itu sebelum ia diperluas ke semua sekolah sehingga ke tahap Menengah 3 menjelang 2029.
Pendekatan berperingkat itu akan membolehkan Kementerian Pendidikan Saudi menilai keberkesanan program, serta membuat penambahbaikan yang diperlukan sepanjang tempoh pelaksanaan.
Sistem itu juga membolehkan pelajar membiasakan diri dengan pembelajaran bahasa yang baru secara beransur-ansur, memastikan mereka mampu menguasai bahasa tersebut dengan baik.
Dengan pelaksanaan yang baik dan penilaian teliti, program itu dijangka memberikan hasil positif bagi pelajar dan negara secara keseluruhannya.
Pengenalan Bahasa Mandarin di sekolah Arab Saudi adalah daya usaha yang membawa kesan besar bukan sahaja dari segi pendidikan malah juga dari segi hubungan ekonomi dan budaya antara Saudi dengan China.
Dengan peluang yang terbuka melalui pengajaran bahasa ini, generasi muda Saudi bukan sahaja akan memperkaya diri mereka dengan kemahiran bahasa yang berguna, bahkan juga lebih bersedia bersaing dalam era globalisasi. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg