RIYADH: Arab Saudi memintas dan memusnahkan sebuah dron yang didakwa dilancarkan kumpulan Houthi ke arah Makkah, ketika pertempuran dengan kumpulan Yaman itu semakin memuncak.

Pertempuran itu turut mencetuskan amaran kecemasan di beberapa bandar di bahagian barat negara tersebut.

Dron itu dipintas sekitar 6.50 petang pada 15 September sebelum memasuki ruang udara larangan Makkah, ujar jurucakap pakatan tentera pimpinan Arab Saudi, Mejar Jeneral Turki al-Malki.

Serpihan dron berkenaan dilaporkan jatuh di selatan Makkah dan tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan akibat kejadian itu.

Houthi bagaimanapun menafikan bertanggungjawab melancarkan dron tersebut dan menolak dakwaan kumpulan itu cuba menyerang kota paling suci bagi umat Islam.

Anggota kanan Majlis Politik Tertinggi Houthi, Encik Hezam al-Asad, menyifatkan dakwaan bahawa kumpulan itu menyasarkan Makkah sebagai satu pembohongan.

Mejar Jeneral Turki berkata kejadian terkini itu merupakan percubaan kedua Houthi untuk menyasarkan Makkah, selepas kumpulan tersebut didakwa melancarkan peluru berpandu balistik ke arah kota tersebut pada Julai 2017.

Beliau menegaskan keselamatan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta jemaah merupakan “garis merah”, sambil memberi amaran pakatan itu akan mengambil langkah bagi mencegah serangan lanjut.

Ketegangan meningkat selepas Pertahanan Awam Arab Saudi mengeluarkan amaran kecemasan mengenai “risiko bahaya” di Makkah, Jeddah dan Taif pada 15 September.

Penduduk diminta bertenang, segera berlindung di dalam bangunan dan menjauhi tingkap sehingga ancaman berakhir.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak berkumpul atau merakam kejadian ketika amaran kecemasan berkuat kuasa.

Amaran turut dikeluarkan sebelum itu di beberapa bandar di pantai barat Arab Saudi, termasuk Yanbu.

Perkembangan itu berlaku selepas pakatan pimpinan Arab Saudi berkata 13 orang awam cedera dalam serangan peluru berpandu dan dron Houthi ke atas Khamis Mushait, Abha dan Taif.

Tujuh rumah dan dua kenderaan turut dilaporkan rosak.

Di Yaman pula, Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Houthi mendakwa serangan udara Arab Saudi membunuh tiga orang, termasuk dua kanak-kanak, di wilayah Taiz.

Arab Saudi tidak segera mengulas dakwaan tersebut.

Menurut BBC, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut mengutuk serangan yang didakwa dilancarkan Houthi terhadap Makkah dan wilayah Madinah.

Menurut OIC, serangan sedemikian mencetuskan ketakutan dalam kalangan orang awam serta mencabuli kesucian tempat suci dan masjid.

Pertubuhan itu turut menyatakan sokongan kepada langkah Arab Saudi bagi melindungi penduduk, kedaulatan negara dan tempat ibadat.

Peningkatan serangan berlaku ketika pertempuran di Yaman kembali memuncak selepas beberapa tahun keadaan agak reda.

Arab Saudi mengetuai pakatan tentera yang campur tangan dalam perang Yaman pada 2015 bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa selepas Houthi menawan ibu kota Sanaa dan beberapa wilayah lain.

Gencatan senjata yang bermula pada 2022 berjaya mengurangkan sebahagian besar pertempuran, tetapi keadaan itu semakin terhakis dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Pertempuran darat kini berlaku antara Houthi dengan pasukan yang menyokong kerajaan Yaman.

Pihak Houthi juga mencapai kemajuan besar di sepanjang pantai Laut Merah dengan menawan bandar pelabuhan Mokha, serta Pulau Perim yang terletak di Selat Bab el-Mandab.

Selat itu merupakan laluan strategik yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden dan menjadi antara laluan perkapalan serta penghantaran tenaga terpenting dunia.

Kemaraan Houthi di kawasan tersebut menambah tekanan terhadap Arab Saudi kerana negara itu kini lebih bergantung pada laluan Laut Merah bagi eksport minyak, selepas penghantaran menerusi Selat Hormuz terjejas akibat perang Amerika Syarikat-Iran.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula memberi amaran pertempuran terbaharu semakin memburukkan krisis kemanusiaan Yaman, dengan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman dan operasi bantuan berdepan tekanan semakin besar.

Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan kemaraan Houthi, keadaan kemanusiaan, serta ancaman terhadap laluan perkapalan dan bekalan tenaga dunia.

Diplomat turut menggesa rundingan disambung semula bagi mengelakkan konflik itu daripada terus merebak ketika serangan merentasi sempadan antara Arab Saudi dengan Yaman semakin meningkat. – Agensi berita.