Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi rekod lebih 19.5 juta jemaah haji dan umrah pada 2025
Saudi rekod lebih 19.5 juta jemaah haji dan umrah pada 2025
Jumlah jemaah umrah melonjak 114 peratus sejak 2022
Saudi rekod lebih 19.5 juta jemaah haji dan umrah pada 2025
RIYADH: Arab Saudi merekodkan ketibaan lebih 19.5 juta jemaah haji dan umrah dari luar negara sepanjang 2025, sekali gus mencatat peningkatan ketara dalam jumlah pengunjung serta tahap kepuasan jemaah hasil penambahbaikan berterusan terhadap perkhidmatan di bawah program Wawasan Saudi 2030.
Laporan tahunan Program Khidmat Tetamu Allah (Doyof Al-Rahman) bertajuk ‘Kemuliaan dan Impak’ mendedahkan seramai 18.03 juta jemaah umrah dan 1.5 juta jemaah haji mengunjungi Arab Saudi tahun 2025 lalu.
Jumlah jemaah umrah itu meningkat sebanyak 114 peratus berbanding 2022, sekali gus mencerminkan keupayaan sistem pengurusan ibadah yang semakin cekap serta kesiapsiagaan negara itu dalam mengendalikan jumlah jemaah yang semakin bertambah.
Program Khidmat Tetamu Allah merupakan antara inisiatif utama di bawah Wawasan Saudi 2030 yang bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah haji dan umrah, selain memperkayakan pengalaman mereka sejak perancangan perjalanan sehingga pulang ke negara masing-masing.
Menurut laporan itu, walaupun jumlah jemaah terus meningkat, tahap kepuasan mereka kekal tinggi dan melepasi sasaran yang ditetapkan di bawah Wawasan Saudi 2030.
Tahap kepuasan jemaah haji direkodkan pada 91 peratus, manakala kepuasan jemaah umrah mencapai 94 peratus.
Laporan itu menyatakan pencapaian tersebut hasil pelaksanaan pelbagai projek dan inisiatif yang memberi tumpuan kepada peningkatan mutu perkhidmatan, kemudahan serta pengalaman keseluruhan jemaah.
Sepanjang 2025, sebanyak 87 inisiatif dilaksanakan dengan kerjasama lebih 60 agensi kerajaan dan organisasi berkaitan, dengan semua projek berjaya disiapkan mengikut perancangan, sekali gus mencatat kadar pelaksanaan 100 peratus.
Usaha itu meliputi penambahbaikan pengurusan operasi ibadah, penyelarasan logistik, penyediaan kemudahan kepada jemaah serta penggunaan teknologi digital bagi memudahkan urusan mereka sepanjang berada di Tanah Suci.
Laporan itu turut menunjukkan peningkatan ketara dalam pengalaman jemaah yang menziarahi Raudah Al-Sharifah di Masjid Nabawi, Madinah.
Lebih 16 juta pengunjung direkodkan mengunjungi kawasan berkenaan sepanjang tahun lalu, manakala tahap kepuasan meningkat kepada 88 peratus berbanding hanya 57 peratus pada 2022.
Menurut laporan itu, peningkatan tersebut membuktikan keberkesanan usaha berterusan kerajaan Arab Saudi dalam memperkemaskan pengurusan kemasukan jemaah serta menyediakan kemudahan yang lebih selesa bagi membolehkan ibadah dilaksanakan dengan lebih teratur.
Dalam usaha memperkayakan pengalaman rohani dan sejarah Islam, Arab Saudi turut meningkatkan jumlah lokasi bersejarah dan destinasi kebudayaan yang dinaik taraf di Makkah dan Madinah kepada 87 lokasi.
Kesemua lokasi itu menerima lebih 55 juta kunjungan sepanjang 2025, sekali gus membantu jemaah mengenali dengan lebih mendalam sejarah Islam dan warisan dua kota suci berkenaan.
Laporan itu turut menonjolkan perkembangan budaya kesukarelawanan di Arab Saudi apabila seramai 184,569 sukarelawan lelaki dan wanita terbabit dalam membantu mengurus serta memberi perkhidmatan kepada jemaah haji dan umrah sepanjang tahun lalu.
Menurut laporan berkenaan, penyertaan sukarelawan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan selain memastikan kebajikan jemaah terus diberi perhatian.
Dalam aspek pendigitalan pula, Arab Saudi mengeluarkan sebanyak 15.03 juta visa sepanjang 2025 bagi tujuan umrah, lawatan dan kategori lain.
Daripada jumlah itu, 83 peratus merupakan visa umrah, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap ibadah berkenaan.
Pakistan, Indonesia dan Mesir menjadi tiga negara yang mencatat jumlah penerima visa umrah tertinggi, sekali gus menggambarkan hubungan erat Arab Saudi dengan negara-negara Islam yang menjadi penyumbang utama jemaah.
Selain peningkatan jumlah jemaah, Arab Saudi turut memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama dunia.
Makkah berada di kedudukan kelima dunia dalam senarai bandar yang menerima jumlah pelawat antarabangsa tertinggi, manakala Madinah menduduki tempat ketujuh dunia dalam Indeks Prestasi Pelancongan.
Laporan itu menyatakan pencapaian berkenaan mencerminkan kejayaan usaha kerajaan Arab Saudi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, memperluas kemudahan digital serta memperkukuhkan infrastruktur bagi memenuhi keperluan jutaan jemaah yang datang setiap tahun.
Program Khidmat Tetamu Allah menegaskan segala pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan Arab Saudi untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada jemaah haji dan umrah, di samping merealisasikan matlamat Wawasan Saudi 2030 bagi menjadikan pengalaman menunaikan ibadah di Tanah Suci lebih lancar, selamat dan bermakna. - Agensi berita