Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi sambung semula penerbangan haji Iran selepas 15 tahun

May 19, 2025 | 1:36 PM
Syarikat penerbangan Arab Saudi, Flynas, telah menyambung semula penerbangan jemaah haji Iran dari Lapangan Terbang Antarabangsa Khomeini di Teheran pada 17 Mei.
Syarikat penerbangan Arab Saudi, Flynas, telah menyambung semula penerbangan jemaah haji Iran dari Lapangan Terbang Antarabangsa Khomeini di Teheran pada 17 Mei. - Foto REUTERS

RIYADH: Sebuah syarikat penerbangan Arab Saudi telah menyambung semula penerbangan untuk jemaah haji Iran buat kali pertama sejak 2015.

“Flynas menyambung semula penerbangan jemaah haji Iran dari Lapangan Terbang Antarabangsa Khomeini di Teheran pada 17 Mei,” kata seorang pegawai penguasa penerbangan awam Saudi dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Pegawai itu menambah bahawa penerbangan juga akan berlepas dari bandar timur laut Mashhad, membolehkan lebih 35,000 anggota jemaah haji Iran berkunjung ke Arab Saudi dengan syarikat penerbangan itu.

Penerbangan itu eksklusif untuk ibadah haji, yang bermula pada Jun.

Sebelum ini, rakyat Iran hanya dibenarkan pergi ke Arab Saudi dengan penerbangan sewa dari Iran semasa musim haji.

Penyambungan semula penerbangan adalah satu lagi tanda hubungan hangat antara kedua-dua negara, yang hubungannya terputus secara mendadak sedekad lalu.

Teheran dan Riyadh memutuskan hubungan diplomatik pada 2016 selepas pemerintah itu menghukum mati seorang ulama syiah dan pengkritik pemerintah yang terkenal.

Penunjuk perasaan membakar kedutaan Saudi di Teheran sebagai tindak balas dan hubungan kekal membeku selama bertahun-tahun selepas itu.

Bagaimanapun, pada 2023, kedua-dua negara menormalkan hubungan pada sidang puncak yang dianjurkan oleh China dan telah membina hubungan yang lebih erat sejak itu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pemulihan hubungan diplomatik antara Arab Saudi dengan Iran bukan saja meredakan ketegangan di Teluk, malah membolehkan para jemaah Iran kembali mengerjakan ibadah haji pada tahun itu.

Tujuh tahun permusuhan antara golongan sunni dengan syiah yang telah berakhir itu menyaksikan jemaah Iran turut menyertai jemaah dari saentero dunia menunaikan rukun Islam kelima.

Tetapi pada musim haji 2023, yang berlangsung selepas tiga bulan Riyadh dan Teheran bersetuju untuk membaiki hubungan, suasana tiba-tiba sangat berbeza.

Seorang pengendali pelancongan Iran yang sebelum ini telah beberapa kali mengerjakan haji menyatakan beliau merasai “keselesaan dan keselamatan” di Arab Saudi buat kali pertama.

“Ya, kami telah mengalami gangguan,” kata lelaki berusia 55 tahun itu, yang tidak mahu namanya disebutkan. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg