Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi sedia 1.3j katil bagi jemaah haji 2027
Tahap kepuasan jemaah haji naik 93%; jumlah jemaah umrah luar negara lonjak lebih dua kali ganda kepada 18j dalam tempoh 3 tahun
Saudi sedia 1.3j katil bagi jemaah haji 2027
JEDDAH: Arab Saudi menyediakan lebih 1.3 juta katil bagi menampung jemaah haji musim 2027, selain mengeluarkan kira-kira 400 bangunan daripada senarai penginapan kerana gagal memenuhi piawaian keselamatan dan mutu perkhidmatan.
Langkah itu sebahagian daripada persiapan awal kerajaan Arab Saudi bagi memastikan jutaan jemaah yang mengunjungi Makkah dan Madinah mendapat kemudahan penginapan selamat, selesa dan mencukupi.
Menteri Pelancongan Arab Saudi, Ahmed Al Khateeb, berkata kira-kira 4,000 bangunan penginapan di kedua-dua kota suci itu sudah disediakan, menawarkan keseluruhan 400,000 bilik.
Selain itu, kemudahan penginapan sementara menyediakan kira-kira 560,000 katil tambahan bagi memenuhi permintaan tinggi sepanjang musim haji.
Beliau mengumumkan perkembangan tersebut pada Persidangan dan Pameran Haji edisi keenam di Jeddah pada 9 November, yang membincangkan persiapan menghadapi musim haji 1448 Hijrah bersamaan 2027.
Menurutnya, semua bangunan yang ditetapkan sebagai tempat penginapan jemaah sudah menyelesaikan proses pelesenan pada 8 November, jauh lebih awal sebelum musim haji bermula.
Encik Al Khateeb berkata jumlah bilik penginapan yang tersedia di Makkah dan Madinah begitu besar sehingga setanding dengan kapasiti penginapan yang hanya terdapat di kira-kira 10 peratus negara di dunia.
Walaupun kapasiti penginapan terus diperluas, kerajaan Arab Saudi mengambil tindakan tegas terhadap bangunan yang tidak memenuhi syarat keselamatan.
Encik Al Khateeb berkata kira-kira 400 bangunan dikeluarkan daripada senarai penginapan selepas pemeriksaan mendapati kemudahan berkenaan gagal memenuhi piawaian ditetapkan.
Pemeriksaan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Haji dan Umrah serta pasukan Pertahanan Awam, di bawah penyeliaan Jawatankuasa Tertinggi Haji.
Antara aspek diperiksa termasuk keadaan struktur bangunan, laluan keluar kecemasan, kesiapsiagaan menghadapi kebakaran dan kesesuaian kemudahan untuk menempatkan jemaah.
Menurutnya, Kementerian Pelancongan yang mengambil alih tanggungjawab menyelia penginapan haji sejak tahun 2025 lalu memberi tumpuan kepada dua perkara utama, iaitu memastikan jumlah penginapan mencukupi dan meningkatkan mutu perkhidmatan.
Beliau menegaskan penginapan yang tidak selesa boleh menjejaskan pengalaman jemaah walaupun kemudahan pengangkutan dan lapangan terbang beroperasi dengan baik.
Sementara itu, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al Rabiah, mengumumkan tahap kepuasan jemaah terhadap perkhidmatan haji meningkat kepada 93 peratus bagi musim 2026.
Pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan meningkatkan kemudahan pengangkutan, penginapan dan perkhidmatan di kawasan ibadah.
Menurut beliau, kejayaan tersebut hasil penyelarasan lebih 60 agensi kerajaan dan badan pelaksana yang terlibat dalam pengurusan haji.
Keseluruhan operasi turut disokong kira-kira 600 pelan kerja tahunan bagi memastikan setiap aspek perjalanan ibadah berjalan lancar.
Pejabat Pengurusan Projek Haji bertanggungjawab menyelaraskan pelan berkenaan, mengelakkan pertindihan tugas dan memantau pelaksanaan melalui Pusat Kawalan dan Perintah.
Dr Tawfiq berkata peningkatan mutu perkhidmatan turut didorong Program Pengalaman Jemaah yang diperkenalkan pada 2019.
Program itu bertujuan memudahkan akses ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, mempertingkat perkhidmatan serta memperkayakan pengalaman keagamaan dan kebudayaan jemaah.
Beliau berkata tahap kepuasan jemaah umrah juga sudah melepasi sasaran 90 peratus yang ditetapkan kerajaan.
Dr Tawfiq turut mendedahkan bilangan jemaah umrah dari luar Arab Saudi meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh tiga tahun.
Jumlah itu melonjak daripada kira-kira 8.4 juta pada 2022 kepada 18 juta pada 2025, menunjukkan peningkatan ketara permintaan untuk menunaikan umrah.
Pada tempoh sama, jumlah pengunjung ke Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah, meningkat daripada sekitar enam juta kepada hampir 16 juta orang.
“Pencapaian ini dapat direalisasikan hasil pembangunan perkhidmatan secara berterusan dan usaha bersama semua pihak berkuasa yang berkaitan,” kata Dr Tawfiq.
Beliau berkata kerajaan terus memantau beberapa petunjuk prestasi utama, termasuk jumlah jemaah umrah, kemudahan perjalanan antarabangsa dan tahap kepuasan pengunjung.
Selain memperbaiki kemudahan ibadah, kerajaan turut membangunkan kawasan bersejarah, tapak warisan Islam dan tempat kebudayaan di Makkah serta Madinah.
Usaha itu bertujuan memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada jemaah yang mengunjungi kedua-dua kota suci.
Persidangan di Jeddah turut menghimpunkan Presiden Penguasa Am Penerbangan Awam, Abdulaziz Al Duailej; Pengarah Keselamatan Awam, Leftenan Jeneral Mohammed Al Bassami; serta Datuk Bandar Makkah, Musaed Al Dawood.
Perbincangan tertumpu kepada kerjasama antara agensi, peningkatan kecekapan operasi dan persiapan awal menghadapi musim haji 2027.
Dengan jumlah jemaah umrah terus meningkat dan tahap kepuasan haji mencapai 93 peratus, Arab Saudi kini memberi tumpuan kepada usaha memperluas kapasiti penginapan tanpa mengabaikan keselamatan.
Menurut Encik Al Khateeb, penyediaan penginapan yang mencukupi sahaja tidak memadai jika bangunan gagal memenuhi piawaian keselamatan dan mutu perkhidmatan yang ditetapkan. – Agensi berita.