KAHIRAH: Arab Saudi sedang meningkatkan persiapan menerima lebih dua juta anggota jemaah yang dijangka tiba pada akhir Mei untuk menunaikan ibadah haji.
Agensi kerajaan dan swasta bekerjasama melaksanakan rancangan operasi bagi memastikan umat Islam akan menunaikan ibadah haji dengan mudah dan selesa di dalam dan sekitar kota suci Makkah, lapor Gulf News.
Agensi berwibawa menjangkakan anggota jumlah jemaah haji pada 2024 lebih tinggi, berikutan penyertaan sekitar 30 juta umat Islam dari dalam dan luar Arab Saudi mengerjakan umrah, di Masjidil Haram, tapak paling suci bagi umat Islam, di Makkah, pada Ramadan lalu, yang berakhir pada 9 April.
Seramai 33 juta umat Islam menunaikan solat di Masjid Nabawi, tempat kedua paling suci bagi umat Islam, di Madinah semasa Ramadan.
Pada bulan yang sama, ia turut menyaksikan ketibaan sembilan juta penumpang di Lapangan Terbang Putera Mohammed bin Abdulaziz di Madinah.
Ramai jemaah biasanya melawat Madinah sebelum atau selepas musim haji.
Pada 2024, seramai 3,500 kakitangan Kementerian Haji Arab Saudi ditugaskan menjaga jemaah yang tiba dan berlepas dari Madinah.
Sejumlah besar tapak bersejarah Islam telah diubah suai, dan disediakan juga pemandu pelancong untuk menerima pengunjung.
Kira-kira 1.8 juta umat Islam dari seluruh dunia menunaikan haji pada 2023.
Arab Saudi telah memulakan persiapan awal untuk haji 2024 ini, yang dijadualkan bulan depan di bawah strategi baru untuk jemaah haji di luar negara.
Sehubungan itu, tiada tempat khusus akan diperuntukkan lagi untuk sesebuah negara.
Sebaliknya, tempat untuk negara berbeza diperuntukkan bergantung pada masa kontrak dimuktamadkan.
Mekanisme baru itu bertujuan memudahkan persiapan haji, satu kewajipan Islam yang wajib dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup oleh umat Islam yang mampu dari segi fizikal dan kewangan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg