DUBAI: Sebuah pesawat flydubai dalam penerbangan dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) ke Israel terpaksa mendarat di Arab Saudi pada 30 September selepas dua juruterbangnya dilaporkan bergaduh secara fizikal di dalam kokpit sehingga mencetuskan isyarat kecemasan.

Penerbangan FZ1073 dari Dubai menuju Tel Aviv sedang melalui ruang udara Jordan apabila ia menghantar isyarat kecemasan umum sebelum mengubah haluan ke Arab Saudi.

Beberapa minit kemudian, pesawat Boeing 737 itu menghantar satu lagi isyarat kecemasan yang menunjukkan kemungkinan berlaku “campur tangan menyalahi undang-undang”, istilah yang boleh merujuk kepada ancaman keselamatan termasuk rampasan pesawat.

Bagaimanapun, seorang pegawai Israel berkata kejadian itu dipercayai bukan cubaan merampas pesawat.

Sebaliknya, pegawai yang enggan dikenali itu memberitahu Reuters bahawa isyarat kecemasan dihantar selepas dua juruterbang pesawat berkenaan terlibat dalam pergaduhan fizikal.

Belum dapat dipastikan sama ada salah seorang juruterbang sengaja mengaktifkan isyarat kecemasan tersebut.

Menurut laman penjejakan penerbangan Flightradar24, pesawat itu kemudian kembali menghantar isyarat kecemasan umum sebelum mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Tabuk di barat laut Arab Saudi.

Flydubai mengesahkan penerbangan tersebut mengalami satu “insiden” ketika dalam perjalanan ke Tel Aviv, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai apa yang berlaku di dalam pesawat.

“Pesawat telah mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Tabuk dan semua penumpang selamat serta sudah dikenal pasti,” kata jurucakap syarikat penerbangan tambang rendah yang berpangkalan di Dubai itu.

Insiden tersebut turut mencetuskan tindak balas keselamatan Israel, dengan jet pejuang dikerahkan selepas isyarat kecemasan diterima.

Pada masa sama, terdapat laporan penumpang mengenai kekecohan di dalam pesawat yang belum dapat disahkan secara bebas.

Cik Yasmin Abu Kasis, yang anak perempuannya, Miriam, berada dalam penerbangan itu, berkata anaknya mendengar jeritan dan mendakwa seorang lelaki menggunakan pisau, menyebabkan seorang juruterbang berada di lantai serta terdapat darah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa dan flydubai belum mengesahkan dakwaan mengenai pisau atau kecederaan tersebut.

Pejabat Perdana Menteri Israel berkata Encik Benjamin Netanyahu mengadakan rundingan berhubung kejadian itu dan keadaan kini “terkawal”.

Menurut kenyataan pejabatnya, usaha sedang dilakukan untuk membawa pulang penumpang Israel yang terkandas di Arab Saudi.

Situasi itu menjadi lebih rumit kerana Israel dan Arab Saudi tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, meskipun kedua-dua negara mempunyai hubungan tidak rasmi dalam beberapa bidang.

Flydubai mengendalikan penerbangan harian antara Dubai dengan Tel Aviv, laluan yang popular dalam kalangan warga Israel sejak UAE dan Israel menormalkan hubungan diplomatik pada 2020.

Ini bukan kali pertama pesawat dalam penerbangan antara UAE dengan Israel terpaksa mendarat di Arab Saudi.

Pada September 2025, sebuah lagi pesawat flydubai dari Dubai ke Tel Aviv dilaporkan melakukan pendaratan kecemasan di Riyadh selepas seorang penumpang mengalami masalah kesihatan.

Namun, insiden terbaru mendapat perhatian lebih besar kerana isyarat kecemasan yang pada awalnya menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan rampasan pesawat, sebelum pegawai Israel berkata ia sebenarnya berpunca daripada pergaduhan antara juruterbang. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti