Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saudi tetapkan 15 tahun umur minimum tunai haji

Mar 13, 2025 | 10:01 AM
Kerajaan Arab Saudi pernah mengumumkan peraturan baru bagi musim haji 2025 dengan kanak-kanak tidak dibenarkan menyertai jemaah haji ke tanah suci dan kini menetapkan usia 15 tahun sebagai usia minimum.
Kerajaan Arab Saudi pernah mengumumkan peraturan baru bagi musim haji 2025 dengan kanak-kanak tidak dibenarkan menyertai jemaah haji ke tanah suci dan kini menetapkan usia 15 tahun sebagai usia minimum. - Foto INSTAGRAM HARAMAIN

JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi menetapkan umur minimum bagi jemaah haji 2025 ialah 15 tahun.

Ini sebagai langkah untuk menjamin keselamatan ketika musim haji yang dijangka bermula antara 4 dengan 6 Jun.

Ia dimaklumkan melalui sepucuk surat bertarikh 12 Mac yang dikeluarkan oleh Cawangan Haji-1 Kementerian Hal Ehwal Agama.

Jurucakap kementerian, Encik Abu Bakar Siddique, menjelaskan bahawa surat tersebut ditujukan kepada bakal jemaah haji, agensi pelancongan dan institusi kewangan yang berkaitan.

Menurut surat itu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memutuskan bahawa umur minimum jemaah yang dibenarkan menunaikan ibadah haji untuk musim 1446H (2025M) ialah 15 tahun, berdasarkan tarikh lahir yang tertera dalam pasport.

“Langkah ini diambil demi memastikan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak sepanjang tempoh ibadah haji berlangsung,” kata kenyataan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Sekiranya terdapat jemaah yang telah berdaftar tetapi tidak dapat menunaikan haji, kanak-kanak berumur 15 tahun atau penjaga mereka boleh menggantikan tempat tersebut, tertakluk kepada kelulusan.

Peraturan ini terpakai kepada jemaah haji yang berdaftar melalui saluran kerajaan dan juga sektor swasta.

Pada awal Februari, Arab Saudi telah mengumumkan langkah melarang penyertaan kanak-kanak dalam ibadah haji kerana kebimbangan terhadap kesesakan luar biasa yang boleh membahayakan nyawa.

Bagi meningkatkan keselamatan jemaah, pelbagai daya usaha telah diperkenal.

Antaranya ialah kempen kesedaran keselamatan, penggunaan sistem pintar untuk mengawal pergerakan jemaah di kawasan suci serta naik taraf kem dan laluan pejalan kaki.

Dalam masa yang sama, dasar visa turut dikemas kini.

Mulai 1 Februari, warganegara dari 14 negara – termasuk India, Indonesia dan Pakistan – hanya layak memohon visa kemasukan tunggal selama 30 hari.

Ini bagi mengelakkan individu menyalahgunakan visa pelbagai kemasukan untuk menunaikan haji tanpa pendaftaran sah.

Arab Saudi turut menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan haji yang gagal memenuhi standard akan dikenakan tindakan tegas.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Al Rabiah, berkata:

“Tiada toleransi terhadap kecuaian yang membahayakan kesejahteraan jemaah. Mana-mana pihak yang melanggar peraturan akan dikenakan denda berat atau lesen mereka dibatalkan.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg