RIYADH: Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Kesihatannya telah mengeluarkan peraturan baru mewajibkan semua jemaah yang mahu menunaikan umrah pada Ramadan 2025 agar mendapatkan vaksin meningitis.
Keputusan terkini mengubah pengumuman awal Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (Gaca) pada 6 Februari.
Ketika itu, pengawal selia sektor penerbangan awam Arab Saudi menyatakan vaksin meningitis tidak lagi diwajibkan bagi mereka yang ingin menunaikan umrah.
Dalam surat pekeliling awal itu, Gaca menyatakan syarat vaksinasi untuk jemaah umrah telah dikemas kini.
“Peraturan ini, yang membatalkan surat pekeliling sebelumnya, telah dihantar kepada semua syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang pemerintah termasuk pengangkutan swasta, untuk dipatuhi,” jelas laporan tersebut.
Namun dalam laporan Saudi Press Agency pada 24 Februari, kementerian menegaskan bahawa langkah terbaru kini adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan langkah kesihatan dan mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit.
Kementerian Kesihatan Saudi turut menekankan pentingnya mendapatkan vaksin sekurang-kurangnya 10 hari sebelum berangkat menunaikan umrah bagi memastikan imuniti yang diperlukan dicapai.
“Mereka yang telah divaksin dalam tempoh lima tahun lalu tidak perlu menerima dos penggalak kerana vaksin tersebut masih berkesan sepanjang tempoh itu,” kata kementerian tersebut dalam kenyataannya.
Pada Mac 2024, pihak berkuasa Saudi turut mewajibkan vaksin selesema untuk semua jemaah haji dan umrah sebelum perjalanan mereka.
Vaksin pneumokokus juga disyorkan bagi individu berusia 65 tahun dan ke atas serta mereka yang mempunyai penyakit kronik.
Penyakit meningitis adalah radang pada lapisan yang melindungi otak dan saraf tunjang. Ia boleh membawa maut jika tidak segera dirawat.
Penyakit itu biasanya disebabkan jangkitan bakteria dan boleh memberi kesan kepada individu dari pelbagai peringkat usia. Oleh itu, vaksinasi meningitis menjadi langkah pencegahan penting untuk mereka yang ingin menunaikan umrah.
Musim umrah Ramadan 2025 dijangka menjadi yang paling sibuk kerana Ramadan merupakan musim puncak bagi jemaah umrah yang datang dari seluruh dunia untuk beribadah di Masjidil Haram.
Pihak berkuasa Saudi telah mengambil langkah persediaan yang lebih ketat bagi mengurus lonjakan jumlah jemaah yang dijangka tiba.
“Ramadan adalah musim puncak umrah, dan kami telah menyediakan pelbagai kemudahan demi memastikan keselamatan dan kesihatan jemaah sepanjang musim ini.
“Keselamatan dan kesihatan jemaah menjadi keutamaan kami. Vaksinasi ini adalah langkah pencegahan yang penting bagi melindungi kesihatan semua jemaah,” ujar kementerian kesihatan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg