RIYADH: Pegawai kanan Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) menegaskan semula hubungan rapat antara kedua-dua negara Teluk itu menerusi kenyataan hampir serentak di media sosial, selepas hubungan mereka dilaporkan tegang selama beberapa bulan.

Menteri Media Arab Saudi, Encik Salman Al-Dosary, dan Pengerusi Penguasa Media Nasional UAE, Sheikh Abdulla bin Mohammed Alhamed, memuat naik kenyataan masing-masing di wadah X pada 7 malam waktu Riyadh, 21 Julai.

Kedua-duanya menekankan bahawa hubungan Arab Saudi-UAE dibina atas sejarah bersama, ikatan persaudaraan yang kukuh dan kepemimpinan bijaksana.

“Hubungan Amiriah-Arab Saudi merupakan kesinambungan sejarah bersama dan ikatan persaudaraan yang berakar umbi antara dua rakyat bersaudara yang disatukan oleh satu nasib,” kata Sheikh Abdulla.

Encik Al-Dosary pula berkata hubungan antara Arab Saudi dengan UAE bukan sekadar hubungan antara dua kerajaan, tetapi melibatkan dua masyarakat yang berkongsi sejarah dan warisan.

“Hubungan antara kerajaan Arab Saudi dengan Amiriah ialah hubungan antara dua rakyat yang disatukan oleh sejarah, warisan bersama serta kepemimpinan bijaksana di kedua-dua negara,” katanya.

Kedua-dua pegawai turut menyeru media di negara masing-masing supaya menggambarkan hubungan itu secara bertanggungjawab dan mengelakkan laporan atau ulasan yang boleh menjejas ikatan dua hala.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai usaha meredakan ketegangan selepas perbezaan kepentingan antara dua kuasa utama Teluk itu semakin terbuka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Arab Saudi dan UAE sebelum ini bekerjasama rapat dalam pelbagai isu serantau.

Bagaimanapun, pendirian mereka mula berbeza dalam soal pengeluaran minyak, dasar ekonomi dan geopolitik.

Ketegangan menjadi semakin jelas pada penghujung 2025 apabila kedua-dua negara menyokong pihak yang bertentangan dalam perang Yaman.

Pertikaian itu memuncak selepas Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas satu penghantaran yang didakwanya mengandungi peralatan ketenteraan UAE untuk kumpulan Yaman yang disokong Abu Dhabi.

Sejak kejadian itu, akaun media sosial berpengaruh, penganalisis dan beberapa pertubuhan media di kedua-dua negara mula saling melontarkan kritikan secara terbuka, sesuatu yang jarang berlaku sebelum ini.

Pada Mac lalu, UAE turut menyekat akaun X milik saluran televisyen Arab Saudi, Al-Arabiya.

Perbezaan pandangan kedua-dua negara berterusan ketika perang Iran mengancam keselamatan rantau Teluk. Riyadh dan Abu Dhabi dilaporkan mempunyai pendekatan berbeza mengenai cara terbaik menangani konflik tersebut.

Pada Mei, UAE turut keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec), kumpulan pengeluar minyak yang secara tidak rasmi dipimpin Arab Saudi.

Walaupun berlaku beberapa perselisihan, penganalisis berpandangan hubungan kedua-dua negara tidak mengalami keretakan strategik yang berkekalan.

Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar Awam Dubai, Encik Mohammed Baharoon, berkata:

“Saya fikir apa yang kita saksikan hanyalah perkara kecil. Kita pernah melihat keadaan lebih buruk sebelum ini, tetapi ia tidak pernah menjadi masalah strategik,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua pihak mungkin telah menyesuaikan pendekatan masing-masing, tetapi kepentingan bersama masih jauh lebih besar daripada perbezaan yang wujud.

“Saya yakin terdapat penyesuaian oleh kedua-dua pihak, tetapi hakikatnya perkara yang menyatukan kami jauh mengatasi perbezaan,” katanya.

Kenyataan pegawai media itu muncul ketika negara Teluk menyeru perpaduan lebih kukuh dalam kalangan enam anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Seruan tersebut dibuat selepas serangan Iran di rantau itu serta ancaman terbaru kumpulan Houthi yang disokong Teheran terhadap kapal di Laut Merah.

Sejam sebelum kenyataan media itu disiarkan, Pengerusi Penguasa Hiburan Am Arab Saudi, Encik Turki Alalshikh, turut memuat naik sekeping gambar yang dikatakan diambil beberapa hari sebelumnya.

Gambar itu menunjukkan Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman, bersama Naib Presiden UAE, Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan, dengan tangan mereka diletakkan di bahu satu sama lain sambil tersenyum.

“Arab Saudi dan UAE: kisah hubungan persaudaraan dan perkongsian yang berakar umbi,” tulis Encik Turki.

Penasihat diplomatik kepada Presiden UAE, Encik Anwar Gargash, kemudian mengulas gambar itu dengan peribahasa yang membawa maksud kekuatan tercipta apabila semua pihak bersatu.

“Batang-batang lembing tidak akan mudah dipatahkan apabila disatukan, tetapi akan patah jika dipisahkan,” katanya.

Kenyataan dan gambar tersebut dianggap sebagai isyarat bahawa Riyadh dan Abu Dhabi mahu menghentikan pertelingkahan terbuka serta mengembalikan hubungan mereka ke landasan lebih stabil di tengah-tengah ancaman keselamatan yang semakin meningkat di rantau itu. – Agensi berita.