Perang Iran turut heret negara Teluk
TEHERAN: Lebih tiga dekad lalu, ketika Perang Teluk memuncak pada Januari 1991, Saddam Hussein mengarahkan pelancaran peluru berpandu, Scud ke arah pusat penduduk Israel.
Dari sudut ketenteraan, langkah itu dilihat tidak masuk akal.
Israel tidak terlibat secara langsung dalam kempen pimpinan Amerika Syarikat untuk membebaskan Kuwait.
Namun, sasaran Saddam bukan kemenangan taktikal, sebaliknya kesan politik.
Beliau mahu memaksa negara Arab, khususnya monarki Teluk, berdepan dilema: Kekal dalam pakatan pimpinan Washington dan dilihat bersama Israel, atau berundur dan memberi kemenangan moral kepada Baghdad.
Ketika itu, tekanan Amerika berjaya menghalang Israel daripada membalas, sekali gus menyelamatkan negara Teluk daripada pilihan yang amat sukar.
Kini, lebih 30 tahun kemudian, keadaan seakan hampir berulang, namun, dengan pelaku berbeza.
Republik Islam Iran, musuh ketat Saddam, dilihat cuba memaksa negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke dalam dilema serupa dalam konteks perang Israel.
Doktrin Ketenteraan Baru Teheran
Berbeza dari 1991, kali ini Israel yang memulakan serangan ke atas Iran.
Negara Teluk pada awalnya berusaha mengekalkan jarak daripada konflik tersebut.
Namun, tindakan Teheran melancar serangan peluru berpandu dan dron ke arah beberapa negara GCC mengubah landskap.
Menurut pemerhati keselamatan serantau, jumlah peluru berpandu dan dron yang dilepaskan Iran ke arah negara Teluk melebihi yang diarahkan ke Israel pada peringkat awal konflik.
Strategi itu jelas bukan kebetulan.
Seorang penganalisis keselamatan serantau, Pengarah Program Timur Tengah dan Afrika Utara di Chatham House, Dr Sanam Vakil, menjelaskan bahawa pendekatan Iran kini berasas “doktrin kemusnahan bersama”, iaitu meningkatkan tahap kehancuran itu bagi memaksa campur tangan antarabangsa.
“Teheran sedar ia tidak memiliki kelebihan kualitatif seperti Israel. Maka, ia memilih memperluas zon konflik bagi mencetuskan tekanan politik yang lebih besar,” katanya.
Secara tradisi, Iran berpegang pada pendekatan yang dikenali sebagai ‘kesabaran strategik’, iaitu strategi mengekalkan konflik pada tahap terkawal dan berpanjangan dengan tujuan melemahkan musuh sedikit demi sedikit, sama ada dari segi ketenteraan, ekonomi mahupun ketahanan politik.
Namun, perubahan terkini menunjukkan anjakan paradigma.
Iran kini bersedia meningkatkan risiko demi mengelakkan ancaman kewujudan terhadap rejimnya.
Ironinya, pendekatan itu menyerupai apa yang dikenali sebagai “doktrin Dahiya” yang pernah digunakan Israel selepas perang 2006 di Lebanon.
Doktrin tersebut menekankan serangan ke atas prasarana dan kawasan awam bagi mewujudkan tekanan domestik dan mempercepat gencatan senjata.
Kini, strategi seumpama itu dilihat diguna pakai oleh Iran terhadap negara Teluk.
Walaupun Teheran mendakwa hanya menyasarkan pangkalan tentera Amerika, hakikat bahawa lapangan terbang antarabangsa di Kuwait; hotel mewah di Amiriah Arab Bersatu (UAE); dan kemudahan minyak di Arab Saudi turut terancam menimbulkan persoalan.
Seorang penganalisis politik Timur Tengah, Dr Abdulkhaleq Abdulla Profesor Sains Politik, Universiti Amiriah Arab Bersatu, berkata:
“Apabila prasarana awam menjadi sasaran, mesejnya jelas. Ia bukan sekadar serangan ketenteraan, tetapi usaha mencetuskan tekanan psikologi dan ekonomi.”
Strategi itu bertujuan mewujudkan kekacauan maksimum, dengan harapan negara Teluk yang dianggap lebih sensitif terhadap gangguan ekonomi akan mendesak gencatan senjata segera.
Dilema Strategik Negara Teluk
Negara GCC kini berdepan dilema yang amat kompleks.
Pertama, kehadiran pangkalan tentera Amerika di wilayah mereka bukanlah kebetulan.
Sejak sekian lama, negara Teluk bimbang terhadap cita-cita geopolitik Iran dan memilih untuk bekerjasama dengan Washington demi jaminan keselamatan.
Namun kini, kehadiran pangkalan tersebut dijadikan alasan oleh Teheran untuk melancarkan serangan ke atas wilayah mereka.
Dalam erti kata lain, keputusan strategik lampau kini membawa kesan baru.
Kedua, pendekatan dasar luar negara Teluk yang cuba mengekalkan keseimbangan antara Iran dengan Israel kini teruji.
Qatar dan Oman, misalnya, mengambil risiko politik dengan berusaha menjadi pengantara antara Teheran dengan Washington.
Namun, usaha tersebut tidak berjaya menghalang perang daripada tercetus.
Seorang ahli akademik keselamatan serantau, Dr Andreas Krieg, Pensyarah Kanan Pengajian Pertahanan di King’s College London, berkata:
“Negara Teluk cuba mempamerkan autonomi dan mengelakkan penglibatan langsung. Namun, apabila konflik meningkat, mereka dilihat seolah-olah bertindak reaktif, bukan proaktif.”
Lebih membimbangkan, serangan Iran yang menyasarkan semua negara GCC secara menyeluruh telah menyatukan mereka dalam cabaran bersama.
Jika sebelum ini terdapat perbezaan pandangan terhadap Iran dan Israel, kini ancaman yang dikongsi mendorong perpaduan lebih erat.
Tidak dapat dinafikan, negara Teluk telah melabur berbilion dolar untuk membina sistem pertahanan canggih, termasuk pemintas peluru berpandu.
Kadar kejayaan memintas projektil Iran dilaporkan tinggi.
Namun, pertahanan aktif mempunyai kos yang jauh lebih tinggi berbanding pembinaan peluru berpandu.
Dari sudut ekonomi, masa tidak memihak kepada negara Teluk jika konflik berlanjutan.
Di samping itu, tekanan awam semakin meningkat.
Setiap gangguan ekonomi, korban nyawa atau serangan terhadap prasarana awam meningkatkan tuntutan agar kerajaan bertindak balas.
Dr Abdulkhaleq Abdulla, menjelaskan:
“Pemimpin Teluk kini berdepan persoalan besar. Adakah mereka perlu mendesak gencatan senjata walaupun ia dilihat tunduk kepada tekanan Iran?
“Atau mereka harus menyelaraskan diri dengan Israel dan mengambil pendekatan ofensif?”
Ruang Tengah Kian Mengecil
Negara Teluk sebelum ini cuba berdiri di ruang tengah antara Israel dengan Iran.
Namun, tindakan Teheran yang memperluas konflik seolah-olah bertujuan memusnahkan ruang tersebut.
Cabaran utama kini adalah merumuskan tindak balas yang mengekalkan perpaduan GCC serta menunjukkan autonomi dasar luar, tanpa terjerumus sepenuhnya ke dalam perang Israel atau menyerahkan sepenuhnya rundingan kepada Amerika.
Pendekatan itu memerlukan gabungan komunikasi berterusan dengan Teheran bagi meredakan ketegangan, di samping memperkukuh pertahanan aktif dan diplomasi tegas.
Walaupun negara Teluk berusaha sedaya upaya mengelakkan penglibatan langsung, strategi Iran telah memaksa mereka membuat pilihan yang tidak diingini.
Seperti yang dirumuskan oleh Dr Abdulkhaleq Abdulla:
“Cabaran sebenar bukan sekadar bertindak balas, bahkan memastikan respons itu tidak mengorbankan kestabilan jangka panjang rantau ini.”
Rantau Teluk kini melangkah ke wilayah yang belum pernah diuji dalam sejarah moden konflik Asia Barat.
Setiap keputusan yang dibuat, sama ada memilih laluan diplomasi atau mengangkat pendekatan ketenteraan, bukan lagi sekadar tindak balas jangka pendek, tetapi bakal menentukan bentuk imbangan kuasa serantau untuk satu generasi akan datang.
Dalam suasana ketegangan yang semakin memuncak, kesilapan kecil mampu mencetuskan implikasi besar, dan pilihan yang dibuat hari ini akan menjadi garis pemisah antara kestabilan yang dipertahankan dengan krisis yang berpanjangan. – Agensi berita.

