Topik diikuti
Pergi ke BHkuSaudi umum kalendar haji 1447H, wuquf di Arafah jatuh pada 26 Mei
Saudi umum kalendar haji 1447H, wuquf di Arafah jatuh pada 26 Mei
Arab Saudi buka semula visa umrah mulai 31 Mei; larang slogan politik di Makkah, Madinah
Saudi umum kalendar haji 1447H, wuquf di Arafah jatuh pada 26 Mei
RIYADH: Arab Saudi mengumumkan kalendar rasmi musim haji bagi tahun Islam 1447 Hijrah, termasuk tarikh penting berkaitan kemasukan jemaah, pengeluaran visa umrah serta langkah keselamatan yang akan dilaksanakan sepanjang musim ibadah itu.
Mahkamah Agung Arab Saudi pada 17 Mei mengesahkan bahawa Isnin, 18 Mei, adalah hari pertama Zulhijah selepas anak bulan berjaya dilihat di beberapa kawasan di negara itu.
Dalam kenyataannya yang disiarkan Agensi Berita Saudi (SPA), mahkamah itu berkata hari wuquf di Arafah yang menjadi kemuncak ibadah haji akan jatuh pada Selasa, 26 Mei bersamaan 9 Zulhijah, manakala Hari Raya Aidiladha pula disambut pada Rabu, 27 Mei.
Pengumuman dibuat ketika kerajaan Arab Saudi mempergiat persiapan menjelang musim haji 2026, termasuk pemantauan anak bulan Zulhijah bagi menentukan tarikh Hari Raya Aidiladha dan kemuncak ibadah haji di Padang Arafah.
“Keputusan ini dibuat selepas Jabatan Cerapan Anak Bulan Mahkamah Agung mengadakan sesi khas dan meneliti keterangan beberapa saksi mengenai kenampakan anak bulan Zulhijah,” jelas kenyataan itu.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pula memaklumkan bahawa 31 Mei akan menjadi tarikh permulaan pengeluaran visa umrah serta membenarkan jemaah memasuki negara itu bagi musim baharu.
Mulai 1 Jun, kemasukan ke Makkah dan pengeluaran permit umrah menerusi aplikasi Nusuk juga akan disambung semula.
Menurut kalendar yang diumumkan, 1 September 2026 ditetapkan sebagai tarikh akhir pengeluaran visa umrah bagi musim tersebut, manakala 23 September 2026 menjadi tarikh akhir kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi.
Jemaah umrah pula diwajibkan meninggalkan negara itu selewat-lewatnya pada 7 April 2027.
Dalam usaha memperkemas pengurusan jemaah antarabangsa, kerajaan Arab Saudi turut melancarkan beberapa perkhidmatan digital baharu pada Mei 2026.
Pada 11 Mei lalu, wadah dalam talian untuk ejen luar negara dan syarikat umrah mula dibuka bagi melengkapkan perjanjian elektronik berkaitan pengurusan jemaah.
Sehari kemudian, perkhidmatan kontrak elektronik antara syarikat umrah dengan penerima manfaat, termasuk perkhidmatan berkaitan golongan individu kurang upaya serta warisan, turut dilancarkan secara rasmi.
Pada masa sama, Mahkamah Agung Arab Saudi mendoakan agar Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman diberikan ganjaran terbaik atas usaha serta perkhidmatan mereka kepada para tetamu Allah.
Mahkamah itu turut mendoakan agar semua jemaah dapat menunaikan ibadah haji dengan mudah dan selesa.
“Semoga Allah menerima ibadah jemaah serta terus memelihara keselamatan, kestabilan dan kemakmuran Arab Saudi,” tambah kenyataan tersebut.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi turut mengumumkan beberapa peraturan baharu sempena musim haji 2026, termasuk larangan membawa bendera, slogan atau laungan berunsur politik dan mazhab di Makkah, Madinah dan kawasan Tanah Suci.
Menurut kementerian itu, larangan berkenaan meliputi Masjidil Haram di Makkah, Masjid Nabawi di Madinah, kawasan pekarangan kedua-dua masjid serta laluan menuju ke lokasi ibadah utama.
Langkah itu diambil ketika pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan dan pengurusan pergerakan jemaah bagi mengelakkan kesesakan sepanjang musim haji.
“Kami melarang sebarang tindakan membuka, menghalang atau melintasi sekatan keselamatan di kawasan Tanah Suci bagi memastikan pergerakan jemaah berjalan lancar dan terkawal,” tambah kenyataan kementerian.
Pihak berkuasa turut menegaskan bahawa setiap anggota jemaah wajib menunjukkan permit haji yang sah kepada anggota keselamatan bagi membolehkan mereka memasuki dan berada di Makkah serta kawasan Tanah Suci sepanjang musim haji.
Arab Saudi sejak beberapa tahun kebelakangan ini memperketat penguatkuasaan menjelang musim haji sebagai sebahagian usaha lebih besar untuk mengawal aliran jemaah, mengurangkan risiko kesesakan dan meningkatkan piawaian keselamatan.
Menurut kementerian itu lagi, anggota keselamatan telah ditempatkan di seluruh kawasan Masjidil Haram, pekarangannya serta lokasi ibadah utama bagi memastikan keselamatan jutaan anggota jemaah dari seluruh dunia.
“Jemaah diminta memberi kerjasama kepada anggota keselamatan dan mendapatkan bantuan sekiranya diperlukan,” katanya. – Agensi berita.
