Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sayur jadi cenderahati majlis perkahwinan di Indonesia

May 23, 2025 | 2:36 PM
Indonesia, majlis perkahwinan, cenderahati, sayur
Pengantin wanita, Tiara Ratnaningsih, menjelaskan bahawa beliau memilih konsep sayur sebagai cenderahati kerana mahukan sesuatu yang praktikal dan tidak klise atau membosankan. - Foto AGENSI BERITA

BANDUNG: Sebuah majlis perkahwinan di Bandung, Indonesia berjaya mencuri perhatian warga maya apabila pasangan pengantin memilih cenderahati yang cukup unik, iaitu menghadiahkan sayur-sayuran segar kepada tetamu yang hadir.

Konsep luar biasa ini dikongsikan menerusi akaun TikTok @syalalaye, yang turut memaparkan suasana majlis bertemakan tradisional serta dihiasi dekorasi ala hutan tropika yang menawan.

“Cenderahati 10/10, buat tetamu ibu-ibu senyum lebar. Photobooth (reruai foto) pun rasa macam ambil gambar dalam hutan. Tak buat ‘pre-wedding’, jadi ganti dengan petikan kata-kata cinta. Lorong masuk penuh pokok, sejuk mata memandang,” tulis pemilik akaun tersebut di ruangan kapsyen.

Difahamkan, pengantin wanita, Tiara Ratnaningsih, atau mesra disapa Ara, telah melangsungkan perkahwinannya dengan pasangannya, Sulthon, pada 20 April lalu di Gedung Graha Sanusi Hardjaditana, Universiti Padjadjaran, Bandung.

Ketika dihubungi portal Wolipop, Ara menjelaskan bahawa beliau memilih konsep sayur sebagai cenderahati kerana mahukan sesuatu yang praktikal dan tidak klise atau membosankan.

“Ada lapan jenis sayur seperti tomato, timun, kentang ‘baby’, cili merah, cili hijau besar, cili padi hijau, lobak merah dan labu siam.

“Setiap tetamu boleh pilih dua jenis sayur dan bawa balik dalam beg yang saya sediakan,” jelasnya.

Tambah Ara, ramai tetamu terutamanya golongan wanita kelihatan sangat teruja menerima cenderahati tersebut.

Ini kerana ia bukan sahaja berguna, malah dapat membantu menjimatkan perbelanjaan dapur mereka.

“Ramai yang cakap mereka suka sebab bermanfaat, tambahan pula dengan harga cili yang makin mahal sekarang.

“Ada juga yang anggap ini pengalaman baru iaitu ambil sayur segar di kenduri kahwin,” katanya sambil tertawa gembira.

Idea kreatif ini telah mendapat pujian meluas di media sosial, yang mana netizen menyifatkan pendekatan Ara sebagai mesra alam, praktikal dan semestinya menjimatkan kos.

“Bukan saja unik, tapi bijak dan berjiwa rakyat. Lepas ni kenduri kahwin boleh siap bungkus lauk terus bawa balik!” seloroh salah seorang netizen, menunjukkan sokongan dan rasa kagum mereka terhadap inovasi pasangan pengantin itu. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg