Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Latihan disiplin di berek tentera untuk dewasa ‘nakal’ di Jawa Barat

May 15, 2025 | 3:58 PM
Para pelajar berdiri dalam barisan pada 5 Mei 2025 di sebuah berek tentera sambil menjalani latihan intensif pembentukan watak dan disiplin di pusat pendidikan ketenteraan yang terletak di Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat. Ratusan pelajar dari pelbagai wilayah di seluruh Jawa Barat yang terlibat dalam pergaduhan jalanan, geng motosikal, atau ketagihan permainan dalam talian sedang menjalani latihan intensif yang dikendalikan oleh anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) selama sekurang-kurangnya 14 hari.
Para pelajar berdiri dalam barisan pada 5 Mei 2025 di sebuah berek tentera sambil menjalani latihan intensif pembentukan watak dan disiplin di pusat pendidikan ketenteraan yang terletak di Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat. Ratusan pelajar dari pelbagai wilayah di seluruh Jawa Barat yang terlibat dalam pergaduhan jalanan, geng motosikal, atau ketagihan permainan dalam talian sedang menjalani latihan intensif yang dikendalikan oleh anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) selama sekurang-kurangnya 14 hari. - Foto Instagram #barakmiliter#

BANDUNG: Pentadbiran Jawa Barat mencetuskan perdebatan awam apabila mengumumkan rancangan baru yang memperluaskan program latihan ala tentera untuk golongan dewasa yang diklasifikasikan sebagai “sukar dikawal”. Rancangan ini, yang sebelum ini hanya disasarkan kepada pelajar sekolah, kini bakal melibatkan individu dewasa yang dianggap mengganggu ketenteraman awam.

Gabenor Jawa Barat, Encik Dedi Mulyadi, memaklumkan bahawa program tersebut akan bermula pada bulan Jun, dan menyasarkan kumpulan seperti pemabuk, samseng jalanan, pemeras ugut, serta mereka yang dianggap merosakkan iklim pelaburan di rantau itu.

“Mereka yang melakukan jenayah akan dihadapkan ke mahkamah seperti biasa. Tetapi bagi yang tidak melanggar undang-undang, mereka akan dihantar ke barak tentera untuk menjalani latihan pembentukan watak,” katanya seperti dipetik dalam Kompas.

Untuk mengurangkan beban ekonomi keluarga peserta, pihak pentadbiran akan menugaskan peserta dengan pekerjaan seperti buruh binaan, petani, pemikul barang dan penanam pokok sepanjang program berlangsung.

Bayaran bagi pekerjaan ini akan disalurkan terus kepada keluarga mereka.
Setiausaha Badan Kesatuan Bangsa dan Politik Jawa Barat, Encik Sapta Yulianto Dasuki, berkata kemudahan dan senarai calon peserta sedang disediakan untuk pelaksanaan program itu.
“Kami sedang siapkan segalanya, termasuk menyusun senarai nama peserta yang berpotensi,” katanya.

Sejak 2 Mei lalu, beberapa daerah di Jawa Barat termasuk Kota Bandung dan Kabupaten Purwakarta telah memulakan latihan intensif selama sebulan di pos tentera tempatan. Program ini menyasarkan pelajar yang sukar dikawal, berisiko tinggi terlibat dengan jenayah, atau menunjukkan tingkah laku yang membimbangkan.

Penyertaan pelajar memerlukan kebenaran ibu bapa. Setakat 14 Mei, sekurang-kurangnya 274 pelajar telah mengikuti program tersebut.

Menurut Encik Dedi, program ini bertujuan membentuk disiplin dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar, selain membantu mereka keluar daripada tabiat berbahaya seperti ketagihan telefon bimbit, minum arak bawah umur, penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang lain.

Sepanjang latihan, pelajar dikejutkan seawal jam 4 pagi untuk solat, membersihkan bilik, serta mendengar ceramah agama mengikut agama masing-masing. Mereka kemudiannya menjalani senaman pagi, bersarapan dan menghadiri kelas seperti rutin sekolah biasa.

Selepas makan tengah hari, mereka menjalani satu lagi sesi fizikal, diikuti pengajian agama. Makan malam disediakan pada waktu petang, dan para pelajar dijadualkan tidur sebelum jam 10 malam.
“Ramai pelajar sebelum ini tidur lewat hingga jam 4 pagi untuk bermain permainan dalam talian, ponteng sekolah dan terlibat pergaduhan jalanan. Dengan jadual ketat ini, disiplin mereka bertambah baik,” ujar Encik Dedi.

Program ini mendapat sambutan positif di media sosial, dengan ramai ibu bapa menyokong pendekatan tegas tersebut dan melihatnya sebagai cara mendidik anak-anak agar lebih berdisiplin.

Namun, tidak semua bersetuju. Pengerusi Suruhanjaya Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM), Cik Atnike Nova Sigiro, menggesa agar pentadbiran negeri menilai semula program itu.
“Perlu dilihat semula badan mana yang berwenang untuk mendidik anak-anak yang terlibat dalam pergaduhan atau tingkah laku tidak selari dengan norma sosial,” katanya pada 12 Mei.

Beliau mencadangkan agar pihak berkuasa menggunakan saluran sosial, termasuk perkhidmatan sosial daerah, untuk menangani masalah kenakalan remaja dari akar umbi khususnya dalam konteks keluarga dan persekitaran sosial mereka.

Pakar pendidikan turut mempersoalkan keberkesanan program berorientasikan ketenteraan ini, khususnya dalam membentuk perubahan watak jangka panjang memandangkan pelajar akhirnya akan kembali ke persekitaran asal mereka selepas tamat program.
Walaupun dikritik, pentadbiran wilayah tetap mempertahankan inisiatif tersebut dan memaklumkan bahawa program ini sedang dipertimbangkan untuk diperluas ke peringkat nasional sebagai model pembentukan disiplin baru. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg