Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Segerakan PRU-15: PM Ismail seru jangan Umno dilihat 'cuba ambil alih kuasa' Agong

Timbalan presiden parti gesa ambil pendirian jelas agar pilihan raya diadakan tahun ini
Mar 19, 2022 | 05:30 AM



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata isu menyegerakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) belum dibincang di peringkat Umno, dan ia perlu juga dibincangkan bersama Yang di-Pertuan Agong agar tidak dikatakan "cuba ambil alih kuasa baginda".



"Kita tunggu dulu. Kita dah kata dah. Ini semua perlu dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong.



"(Kalau) kita tetap tarikh kita sendiri, nanti Yang di-Pertuan Agong kata kita ambil alih kuasa baginda. Jadi jangan kita (dilihat) ambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong.



"Kita tunggu. Apa-apa pun kita akan bincang. Mula-mula kita bincang dalam parti dulu. Parti pun tak bincang lagi.



"Kita ada mesyuarat parti, selepas itu barulah kita adakan perbincangan dan sebagainya," katanya.



Beliau, yang juga naib presiden Umno, menambah bahawa ahli akar umbi dan pimpinan Umno perlu menunggu perbincangan parti serta proses sewajarnya berhubung pelaksanaan PRU-15.



Beliau berkata demikian ketika ditemui di sebuah acara sampingan Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur kelmarin.



Datuk Ismail diminta mengulas tentang desakan beberapa pihak dalam Umno yang menggesa PRU-15 disegerakan.



Desakan itu timbul selepas Barisan Nasional (BN) menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri.



Pada Rabu lalu, timbalan presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga pengarah pilihan raya BN, dilaporkan berkata Umno perlu mengambil pendirian jelas agar PRU-15 diadakan tahun ini, bukan tahun depan.



Gesaan itu, katanya, antara lain kerana pihak lawan kini dalam kedudukan lemah berdasarkan keputusan beberapa PRN baru-baru ini, selain persefahaman politik dalam kalangan pembangkang ketika ini sangat bercelaru.



Selain itu, beliau melihat isu jangkitan Covid-19 ketika PRU-15 tidak lagi berbangkit selepas kejayaan pelaksanaan beberapa PRN.



Sementara itu, presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga pengerusi BN, berkata BN akan memastikan semua calon yang bakal bertanding pada PRU-15 menandatangani perjanjian bagi mengelak mereka melompat parti.



BN, katanya, akan memastikan mana-mana calon yang melompat parti selepas memenangi pilihan raya akan membayar dengan harga tinggi.



Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2021 di WTC semalam.



"Itulah sebabnya kita proaktif mewujudkan perjanjian dengan semua calon yang bertanding dalam PRN Melaka dan Johor.



"Mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang melompat, kita pastikan mereka membayar dengan harga mahal. Kita tidak mahu siri lompat-melompat berterusan selepas ini.



"Kita akan melakukan perjanjian sama kepada semua calon yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.



"Jangan main-main, ini bukan soal wang ringgit tetapi soal maruah apabila menjadi calon BN, tidak ada istilah melompat selepas menang," katanya. - BHM.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >