Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sejarah konflik Kashmir yang terus tegang

May 13, 2025 | 5:30 AM
Anggota sebahagian tentera India berkawal di sepanjang jalan di Srinagar pada 7 Mei 2025 susulan ketegangan di sempadan.
Anggota sebahagian tentera India berkawal di sepanjang jalan di Srinagar pada 7 Mei 2025 susulan ketegangan di sempadan. - Foto AFP

SRINAGAR: Konflik di wilayah Kashmir terus menjadi isu sensitif antara India dengan Pakistan, dua negara berjiran yang memiliki senjata nuklear dan sejarah permusuhan panjang.

Meskipun beberapa dekad telah berlalu sejak pembahagian India British pada 1947, persoalan mengenai status Kashmir masih belum diselesaikan.

Pertikaian politik, militan bersenjata, dan campur tangan ketenteraan menjadi sebahagian daripada realiti harian penduduk di kawasan itu.

Asal usul Konflik Kashmir

Akar kepada konflik Kashmir bermula daripada pembahagian India oleh British pada 1947, yang menyaksikan penubuhan dua negara berasingan – India yang majoritinya beragama Hindu dan Pakistan yang majoritinya Muslim.

Ketika itu, majoriti penduduk di wilayah Jammu dan Kashmir beragama Islam tetapi diperintah seorang raja Hindu.

Pada Oktober 1947, raja tersebut memutuskan untuk menyertai India, keputusan yang segera ditolak oleh Pakistan yang menuntut wilayah tersebut sebagai hak mereka.

Ketegangan itu mencetuskan peperangan pertama antara kedua-dua negara, dan akhirnya gencatan senjata yang ditaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1949, mewujudkan satu garis sempadan sementara dikenali sebagai Garisan Kawalan (LoC).

Selepas perang pada 1965 dan 1971, garis sempadan itu menjadi sempadan de facto dengan India menguasai kira-kira dua pertiga Kashmir, dan Pakistan selebihnya.

Namun, status muktamad wilayah itu tidak pernah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Wilayah Yang Sentiasa Bergolak

India dan Pakistan masih berpegang pada tuntutan masing-masing terhadap wilayah itu.

India menuduh Pakistan menyokong keganasan golongan pemisah, manakala Pakistan pula menuntut supaya satu referendum diadakan di bawah PBB bagi menentukan masa depan Kashmir oleh rakyatnya sendiri.

Konflik itu telah mencetuskan tiga peperangan besar antara India dengan Pakistan – iaitu pada 1947, 1965 dan 1971.

Beberapa kali hampir membawa kepada peperangan baru, termasuk kejadian besar pada 2019 apabila serangan berani mati di Kashmir yang ditadbir India membunuh sekurang-kurangnya 40 anggota tentera India.

Isu Autonomi dan Pemerintahan India

Pada 2019, Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, mengambil langkah drastik dengan memansuhkan Perkara 370 dalam Perlembagaan India yang memberikan status sebahagian autonomi kepada wilayah Jammu dan Kashmir.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda nasionalis Hindu oleh pemerintah India.

Pemerintah pusat mula mentadbir terus wilayah itu dari New Delhi, mengenakan kawalan ketat ke atas komunikasi dan pergerakan penduduk.

Ribuan individu termasuk pemimpin politik dan aktivis hak asasi telah dipenjarakan, manakala proses demokrasi digantung selama beberapa tahun.

Walaupun pilihan raya telah disambung semula pada 2024, rasa tidak puas hati terhadap kawalan ketat pemerintah Encik Modi masih membara.

Penglibatan Pakistan dalam Gerakan Pemisah

Kebangkitan gerakan pemisah di Kashmir yang ditadbir India bermula pada 1980-an, terutama selepas pilihan raya tempatan 1987 yang didakwa dicemari penipuan, sekali gus mengecewakan ramai pengundi Muslim.

Ketika itu, ramai aktivis politik Kashmir menyedari mereka tidak akan dapat mencapai tuntutan melalui peti undi.

Pemberontakan pada mulanya bersifat tempatan, namun kemudian disokong oleh kumpulan berpangkalan di Pakistan.

Pada 1990-an, beberapa kumpulan militan yang didukung Pakistan seperti Lashkar-e-Taiba dan Jaish-e-Muhammad menerima latihan dan sokongan logistik daripada pihak tentera Pakistan.

Mantan pemerintah tentera Pakistan, Encik Pervez Musharraf, pernah mengakui penglibatan itu secara terbuka.

Kekacauan pada era itu memaksa ribuan penduduk minoriti Hindu meninggalkan Kashmir.

Pemberontakan mula reda selepas 2002 apabila Pakistan mengharamkan beberapa kumpulan militan utama.

Gencatan senjata diumumkan dan rundingan damai dimulakan, yang dipercayai dipengaruhi tekanan Amerika Syarikat pasca serangan 11 September.

Namun proses damai itu runtuh selepas serangan di Mumbai pada 2008 yang membunuh 166 orang dan dikaitkan dengan Lashkar-e-Taiba.

Status Semasa Kashmir

Hingga kini, Kashmir kekal sebagai antara kawasan paling banyak kehadiran ketenteraan di dunia.

Kejadian tembak-menembak merentasi LoC, operasi keselamatan berskala besar, sekatan polis, serta serangan pengganas masih berlaku dengan kerap, sekali gus memberi kesan besar terhadap kehidupan seharian penduduk awam.

Walaupun India cuba menstabilkan wilayah yang ditadbirnya melalui kawalan langsung dan pilihan raya, rasa tidak puas hati terhadap kekangan yang dikenakan masih berleluasa. Di pihak Pakistan pula, demonstrasi dan ketegangan politik turut mencerminkan keresahan rakyat terhadap cara wilayah itu ditadbir.

Kashmir kekal sebagai luka terbuka dalam hubungan India-Pakistan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg