TEHERAN: Barisan panjang kenderaan memenuhi stesen minyak di Teheran pada 25 Ogos selepas Amerika Syarikat mengumumkan sekatan ekonomi baharu terhadap Iran, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk bahawa tekanan Washington akan meningkatkan lagi kos sara hidup.

Amerika kini beralih kepada tekanan ekonomi selepas enam bulan perang dengan Iran menemui jalan buntu, sementara rundingan damai masih tersekat dan sebahagian besar laluan kapal melalui Selat Hormuz kekal terhalang.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, pada 24 Ogos mengumumkan rancangan untuk melakukan apa yang disifatkannya sebagai “menyesakkan ekonomi” Iran dengan menyekat sumber pendapatan dan rangkaian kewangan negara itu.

“Matlamatnya adalah untuk memutuskan setiap talian hayat ekonomi yang menyokong pemerintahan zalim ini,” katanya.

Walaupun pemimpin Iran memperkecilkan ancaman tersebut dengan menegaskan negara itu sudah berdekad-dekad berdepan sekatan Amerika, sebahagian penduduk Teheran bimbang mereka yang akhirnya akan menanggung kesannya.

Ejen hartanah, Encik Mehdi Yazdian, 55 tahun, berkata tekanan ekonomi kini dirasakan oleh hampir semua lapisan masyarakat dan menggesa pemerintah mengawal kenaikan harga.

“Orang ramai terjejas, sama ada mereka yang berada ataupun mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

“Ya, sekatan ini memberi kesan, tetapi sudah tentu rakyat kami mempunyai daya tahan.”

Iran sudah pun bergelut dengan kadar inflasi yang tinggi sebelum perang tercetus.

Tekanan ekonomi itu turut menyumbang kepada gelombang tunjuk perasaan antipemerintah yang memuncak pada Januari.

Pihak berkuasa bertindak keras terhadap tunjuk perasaan tersebut, dengan kumpulan hak asasi manusia asing mendakwa ribuan orang terbunuh.

Pemerintah Iran pula menyalahkan keganasan yang berlaku ketika itu terhadap apa yang disifatkannya sebagai “tindakan pengganas” yang didalangi Amerika dan Israel.

Seorang guru bahasa Inggeris, Encik Kia Farahani, 45 tahun, berkata tekanan ekonomi yang semakin berat boleh mencetuskan semula tunjuk perasaan.

Saya secara peribadi langsung tidak takut kepada perang kerana ini tanah air kami,” katanya.

“Tetapi saya fikir perang ini akan lebih berbentuk ekonomi dan menyebabkan rakyat menghadapi tekanan yang sangat besar, dan mungkin tunjuk perasaan akan berlaku lagi.”

Iran turut melaksanakan beberapa hukuman mati berkaitan tunjuk perasaan sebelum ini, mencetuskan kecaman Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

Kebimbangan mengenai bekalan petrol pula meningkat selepas Ketua Staf Presiden Iran, Encik Mohsen Haji-Mirzaei, mengumumkan bahawa kuota petrol negara itu akan dikaji semula.

Gambar AFP pada 25 Ogos menunjukkan barisan kenderaan yang panjang sehingga melimpah keluar dari beberapa stesen minyak di Teheran.

“Apa yang pasti ialah kuota akan dikurangkan tanpa mengubah harga, tetapi sesiapa yang mahu membeli petrol melebihi kuota perlu membayar harga lebih tinggi,” kata Encik Haji-Mirzaei kepada televisyen pemerintah.

Sekatan baharu Washington memperluaskan tekanan terhadap aset digital, teknologi, emas, penerbangan dan perkapalan Iran.

Encik Bessent memberi amaran bahawa negara yang enggan menyokong kempen ekonomi Amerika terhadap Teheran boleh turut berdepan pengasingan, dan beliau tidak menolak kemungkinan bank China turut menjadi sasaran.

China, antara pembeli utama minyak Iran, membantah tindakan itu dan berikrar mengambil “semua langkah yang perlu” bagi melindungi hak serta kepentingannya.

Teheran bagaimanapun menegaskan sekatan terbaru itu tidak akan berjaya dan meramalkan Washington akan mengalami “satu lagi kekalahan”.

Menteri Ekonomi Iran, Encik Ali Madanizadeh, berkata pemerintah sudah lama menjangkakan langkah tersebut dan telah menyediakan rancangan dua tahun bagi menguruskan kesannya.

Pakar ekonomi yang berpangkalan di Tehran, Encik Saeed Laylaz, berkata langkah terbaru itu selaras dengan dasar “tekanan maksimum” yang digunakan Encik Trump terhadap Iran sejak penggal pertamanya.

Menurutnya, setelah berdekad-dekad dikenakan sekatan dan terasing daripada sebahagian sistem ekonomi antarabangsa, ekonomi Iran menjadi lebih berdikari.

“Amerika Syarikat tidak mempunyai apa-apa lagi yang boleh dilakukannya yang belum pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Namun, beliau mempersoalkan kemampuan pemerintah Iran menguruskan ekonomi domestik, khususnya dalam mengambil langkah berkesan untuk mengawal inflasi.

Amerika telah mengenakan pelbagai bentuk sekatan terhadap Iran sejak Revolusi Islam 1979 dan krisis tebusan di Kedutaan Amerika di Tehran.

Tekanan ekonomi itu diperluaskan oleh beberapa pemerintahan Amerika selepas itu, termasuk sekatan terhadap perdagangan, industri minyak, sektor kewangan dan akses Iran kepada sistem kewangan antarabangsa.

Dalam perkembangan berasingan, harga minyak mentah susut untuk hari kedua pada 25 Ogos apabila pedagang menilai risiko serangan baharu terhadap Iran semakin berkurangan. Harga minyak Brent turun sekitar tiga peratus kepada bawah AS$90 (S$115) setong.

Harga minyak sebelum ini melonjak selepas Iran menyekat Selat Hormuz pada peringkat awal perang, menjejaskan laluan strategik yang penting kepada perdagangan tenaga dunia.

Di tengah-tengah tekanan ekonomi itu, usaha diplomatik bagi membuka semula laluan di Selat Hormuz diteruskan.

Menteri Luar Iran dan Oman bertemu di Teheran pada 25 Ogos dan membincangkan cadangan mewujudkan “koridor pelayaran sementara bersama” melalui Selat Hormuz.

Kedua-dua negara turut membincangkan pelaksanaan projek bersama bagi membersihkan periuk api di selat itu, satu langkah yang boleh membantu memulihkan pergerakan kapal melalui laluan perdagangan tenaga penting tersebut. - Agensi berita