Topik diikuti
Pergi ke BHkuUAE hentikan semua dagang, urus niaga kewangan dengan Iran
Umum langkah selepas Iran dituduh lancar peluru berpandu ke arah wilayah UAE
ABU DHABI: Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan penghentian semua urusan perdagangan dan kewangan dengan Iran.
Ia sekali gus meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Teheran ketika pemerintahan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berusaha mengasingkan negara itu.
Keputusan itu diumumkan tidak lama selepas UAE menuduh Iran melancarkan peluru berpandu ke arah wilayahnya, sedang ketegangan serantau kembali meningkat.
Jurucakap Kementerian Luar UAE, Cik Afra Al Hameli, berkata langkah tersebut diambil berikutan “peningkatan ketegangan serantau yang menjejas keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa”.
Beliau berkata UAE turut “beriltizam sepenuhnya untuk melindungi integriti sistem kewangan antarabangsa”.
Langkah itu penting kerana UAE, yang terletak hanya kira-kira 80 kilometer dari Iran merentasi Teluk Parsi, mempunyai hubungan ekonomi dan budaya yang rapat dengan negara itu sejak berdekad lalu meskipun kedua-duanya sering berdepan ketegangan politik.
Nilai perdagangan Iran-UAE mencecah kira-kira AS$28 bilion ($35.9 bilion) pada 2024.
Pada tahun itu, UAE merupakan sumber import terbesar Iran, termasuk bagi barangan elektronik, logam berharga dan pelbagai barangan lain.
Dubai khususnya sejak sekian lama menjadi hab penting bagi perdagangan Iran.
Penganalisis berkata, Iran juga pernah menggunakan rangkaian perdagangan melalui bandar itu untuk mengurangkan kesan sekatan antarabangsa, sehingga menimbulkan tekanan daripada pihak berkuasa Amerika.
Pegawai UAE sebelum ini menegaskan mereka mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran sekatan apabila dikesan.
Keputusan terkini itu dibuat ketika pemerintahan Encik Trump meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Iran dalam usaha mencari jalan menamatkan perang yang berlarutan hampir enam bulan.
Konflik itu turut menyebabkan Iran mempunyai pengaruh besar terhadap pergerakan kapal di Selat Hormuz, laluan strategik yang menjadi antara nadi utama penghantaran minyak dan gas dunia.
Menteri Kewangan Amerika, Encik Scott Bessent, sebelum ini memberi amaran bahawa Washington bersedia mengenakan langkah ekonomi yang belum pernah digunakan sebelum ini untuk meningkatkan pengasingan Iran.
Belum jelas sama ada Amerika memainkan peranan langsung dalam keputusan UAE menghentikan urusan perdagangan dan kewangan dengan Iran.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Encik Trump mengadakan perbualan telefon dengan Presiden UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan.
Dalam satu lagi perbualan pada 18 Ogos, Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio; dan Penasihat Keselamatan Negara UAE, Sheikh Tahnoon bin Zayed Al Nahyan, membincangkan usaha untuk memastikan Iran bertanggungjawab atas serangan yang berterusan.
Bagaimanapun, tidak jelas sejauh manakah dan seberapa cepat UAE akan melaksanakan sepenuhnya penggantungan hubungan ekonomi tersebut.
Ketua Eksekutif Yayasan Bursa & Bazar, sebuah badan pemikir yang memberi tumpuan kepada ekonomi Iran, Encik Esfandyar Batmanghelidj, berkata pengumuman itu tidak semestinya menandakan perubahan menyeluruh dalam dasar UAE terhadap Iran.
Menurut beliau, ia mungkin merupakan langkah diplomasi awam bagi menunjukkan kepada Washington bahawa Abu Dhabi terus mengekalkan jarak dengan Teheran.
Pada hakikatnya, katanya, ekonomi Iran dan UAE masih saling bergantung.
Kesan perang sudah dirasakan peniaga di Dubai.
Di pasar rempah Dubai, berhampiran laluan air yang sejak berdekad digunakan bot kayu untuk membawa barangan dari dan ke Iran, peniaga berkata aliran barangan Iran semakin terjejas sejak perang bermula.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Mohammed berkata, beliau masih boleh membawa masuk safron dan buah-buahan kering dari Iran untuk dieksport semula ke China, India dan Arab Saudi.
Bagaimanapun, kosnya kini lebih tinggi dan proses penghantaran semakin sukar, dengan barangan turut berdepan pemeriksaan kastam yang lebih ketat.
Seorang lagi peniaga yang mengimport produk tenusu dan manisan berkata perniagaannya terjejas teruk sehingga jumlah pekerjanya terpaksa dikurangkan daripada lebih 100 orang sebelum perang kepada sekitar 35 orang.
Beliau berkata perniagaannya mula pulih ketika pertempuran reda sejak beberapa bulan lalu, tetapi syarikatnya boleh terjejas teruk jika larangan terbaharu dilaksanakan sepenuhnya.
Ketegangan UAE-Iran kembali meningkat selepas Abu Dhabi minggu lalu menuduh Iran menyerang sebuah kapal tangki minyak UAE yang melalui Selat Hormuz.
Pada 18 Ogos, Kementerian Pertahanan UAE turut mengeluarkan amaran mengenai serangan peluru berpandu sebelum berkata dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran menyasarkan laluan perkapalan, dengan satu daripadanya jatuh di perairan UAE.
Iran menafikan melakukan serangan tersebut.
Sebelum Amerika dan Israel menyerang Iran pada Februari, UAE mengamalkan pendekatan diplomasi dan hubungan ekonomi dengan Teheran dengan harapan dapat mengelakkan negara itu daripada terheret ke dalam konflik.
Strategi itu berubah selepas perang tercetus.
UAE, yang menempatkan pangkalan tentera utama Amerika, mendakwa menjadi sasaran lebih 2,700 serangan peluru berpandu balistik dan dron dari Iran pada peringkat awal konflik.
Pada Mac, UAE mengarahkan penutupan sebuah hospital Iran yang bersejarah di Dubai, sebuah kelab kebudayaan dan beberapa sekolah yang menurut pihak berkuasa mempunyai kaitan dengan pemerintah Iran.
Hubungan kedua-dua negara sempat bertambah baik selepas Amerika dan Iran mencapai gencatan senjata pada April dan persetujuan awal damai pada Jun, termasuk penyambungan semula penerbangan serta hubungan langsung antara pegawai kanan.
Namun, ketegangan kembali meningkat apabila gencatan senjata semakin rapuh.
UAE pada 16 Ogos menuduh Iran menggunakan serangan terhadap perkapalan di Selat Hormuz sebagai “alat paksaan atau ugutan ekonomi” yang menjadi ancaman langsung kepada kestabilan rantau itu.
Encik Batmanghelidj menjangkakan UAE masih akan cuba mengimbangi hubungannya dengan Amerika dan Iran berdasarkan kepentingan strategiknya sendiri.
Menurut beliau, walaupun UAE bergantung kepada Amerika dalam aspek keselamatan, negara itu sejak beberapa tahun lalu menunjukkan keupayaan untuk menentukan dasar luarnya secara lebih bebas.
“UAE bukan sebuah negara yang akan membenarkan kepentingan nasionalnya ditentukan oleh pilihan dasar yang dibuat di Washington,” katanya. – Agensi berita.
