Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekilas latar eksekutif wanita berpangkalan di S’pura intip CEO Nvidia untuk China
Sekilas latar eksekutif wanita berpangkalan di S’pura intip CEO Nvidia untuk China
WASHINGTON: Seorang eksekutif teknologi warga China yang pernah memegang jawatan kanan dalam syarikat pusat data berpangkalan di Singapura didakwa menjadi perisik Beijing dengan menjalin hubungan sulit bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Encik Jensen Huang, bagi mendapatkan maklumat sulit industri kecerdasan buatan (AI).
Wanita dikenali sebagai Cik Alice Huang, atau Huang Le, dilaporkan menjadi sasaran siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat selepas risikan negara itu mengesyaki beliau direkrut China untuk mengumpulkan maklumat mengenai ketua syarikat pengeluar cip AI paling bernilai di dunia tersebut.
Menurut laporan The New York Times dan The Wall Street Journal, pegawai Amerika membuat kesimpulan pada 2025 bahawa Cik Alice dipercayai cuba mengintip Encik Jensen melalui hubungan peribadi mereka.
Bagaimanapun, dakwaan pengintipan itu belum dibuktikan di mahkamah dan butiran mengenai wanita berkenaan masih terhad.
Cik Alice merupakan warga China yang fasih berbahasa Inggeris dan dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan tokoh penting dalam industri cip AI antarabangsa.
Walaupun berkongsi nama keluarga Huang, beliau tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Encik Jensen, 63 tahun, yang dilahirkan di Taiwan.
Hubungan Cik Alice dengan Encik Jensen mendapat perhatian selepas beberapa laporan media mendedahkan bahawa kedua-duanya pernah dilihat bersama dalam acara industri teknologi.
Pada 8 November, Encik Jensen dilaporkan memohon maaf kepada kakitangan Nvidia kerana berlaku curang terhadap isterinya.
“Saya benar-benar menyesal kerana tidak setia kepada isteri saya,” katanya.
Sekeping gambar yang dimuat naik ke LinkedIn menunjukkan Encik Jensen, yang terkenal dengan jaket kulit hitamnya, duduk bersebelahan seorang wanita dipercayai Cik Alice dalam sebuah majlis industri pada 2024.
Pada tahun berikutnya, kedua-duanya menghadiri jamuan makan malam yang dianjurkan Encik Jensen di sebuah restoran Cina di Taiwan sempena pameran teknologi Computex.
Rakaman siaran langsung media menunjukkan seorang wanita yang dikenal pasti sebagai Cik Alice, berpakaian merah jambu, bergaul dengan tetamu lain.
Dalam rakaman itu, Encik Jensen dilihat merangkul Cik Alice ketika wanita tersebut mencium pipi kanannya.
Kedua-duanya kemudian dilaporkan meninggalkan restoran menaiki kereta yang sama.
Bagaimanapun, rakaman dan gambar berkenaan tidak dengan sendirinya membuktikan dakwaan pengintipan.
Cik Alice dilaporkan pernah menjadi eksekutif kanan Megaspeed International, sebuah syarikat pusat data berpangkalan di Singapura.
Syarikat itu menyediakan perkhidmatan menyewakan kuasa pengkomputeran kepada perniagaan yang membangunkan dan mengendalikan sistem AI.
Menurut laman webnya, Megaspeed merupakan rakan perniagaan utama bagi perkhidmatan pengkomputeran awan Nvidia di rantau Asia Pasifik.
Maklumat LinkedIn syarikat itu menunjukkan Megaspeed mempunyai pejabat di Singapura, Malaysia dan Indonesia, dengan kira-kira dua hingga 10 pekerja serta 25 individu yang dikaitkan dengannya.
Rekod pemerintah Singapura menunjukkan syarikat tersebut sebelum ini dikenali sebagai 7Road International, sekali gus menimbulkan kemungkinan hubungan dengan syarikat permainan video China, 7Road.
Bagaimanapun, hubungan sebenar antara kedua-dua syarikat belum dapat dipastikan.
Apabila agensi berita AFP menghubungi nombor telefon yang tertera di laman web Megaspeed, individu yang menjawab panggilan berkata beliau tidak mengenali syarikat itu dan nombor tersebut merupakan talian kediaman.
Megaspeed turut mendapat perhatian pihak berkuasa kerana disyaki terbabit dalam usaha memindahkan cip Nvidia ke China, yang mungkin melanggar sekatan eksport Amerika Syarikat.
Washington mengenakan sekatan terhadap penjualan cip AI paling canggih Nvidia kepada China atas alasan keselamatan negara.
Sekatan itu juga bertujuan menghalang Beijing daripada memperoleh teknologi yang boleh digunakan untuk membangunkan sistem AI berkeupayaan tinggi, termasuk bagi tujuan ketenteraan.
Menurut The New York Times, pemerintah Amerika Syarikat mula menyiasat Megaspeed pada 2024 berhubung kemungkinan syarikat tersebut menyalurkan cip Nvidia kepada China.
Pihak berkuasa Singapura juga dilaporkan menjalankan siasatan terhadap syarikat berkenaan.
Cik Alice dikatakan pernah disoal siasat oleh pihak berkuasa Singapura pada 2025, menurut laporan media Amerika Syarikat.
AFP sudah menghubungi Pasukan Polis Singapura dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri bagi mendapatkan ulasan.
Pada 2025, Bloomberg News turut melaporkan bahawa Megaspeed menjadi subjek siasatan di Singapura berhubung dakwaan penyeludupan cip Nvidia ke China.
Bagaimanapun, Megaspeed menolak dakwaan tersebut.
Dalam kenyataan pada Disember 2025, syarikat itu berkata laporan Bloomberg mengandungi maklumat mengelirukan dan andaian tidak tepat, termasuk dakwaan bahawa Megaspeed mungkin terbabit dalam pemindahan cip secara haram.
Kes Cik Alice muncul ketika persaingan antara Amerika Syarikat dengan China untuk menguasai teknologi AI semakin sengit.
Nvidia memainkan peranan penting dalam persaingan itu kerana cip keluarannya digunakan secara meluas untuk melatih sistem AI canggih.
Teknologi tersebut mempunyai kepentingan besar bukan sahaja kepada sektor perniagaan, malah pertahanan dan keselamatan negara.
Sementara itu, carian dalam talian menemukan profil ringkas Alice dalam sebuah pangkalan data dana pelaburan China.
Profil itu menyenaraikan pengalaman kerjanya di bank HSBC serta sebagai wartawan bagi saluran televisyen China, CCTV dan Hunan TV.
Namun, AFP tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut atau mengenal pasti pihak yang menyediakan profil berkenaan.
Setakat ini, belum ada pengesahan terbuka bahawa Alice berjaya memperoleh maklumat sulit Nvidia atau menyerahkannya kepada pihak berkuasa China.
Kes itu bagaimanapun menimbulkan persoalan mengenai keselamatan maklumat dalam industri AI dan risiko pengintipan yang mungkin timbul melalui hubungan peribadi dengan pemimpin syarikat teknologi utama dunia. – Agensi berita