Sekitar 21 maut dalam insiden feri kayu karam di Sungai Nil, Sudan
Sekitar 21 maut dalam insiden feri kayu karam di Sungai Nil, Sudan
Sekitar 21 maut dalam insiden feri kayu karam di Sungai Nil, Sudan
KHARTOUM (Sudan): Sekurang-kurangnya 21 orang maut akibat lemas manakala beberapa lagi masih hilang selepas sebuah feri penumpang karam di Sungai Nil, di Negeri River Nile, utara Sudan, menurut pihak pertahanan awam pada Khamis, 12 Februari.
Majlis Kedaulatan Sudan dalam satu kenyataan rasmi menyatakan dukacita atas kematian 21 mangsa, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Kejadian itu berlaku pada petang 11 Februari ketika feri kayu berkenaan membawa antara 30 hingga 35 penumpang menyeberangi sungai antara kampung Tayba al-Khawad dengan Deim al-Qarai.
Penolong Ketua Pengarah Pertahanan Awam Sudan, Mejar Jeneral Qurashi Hussein, berkata enam atau tujuh penumpang berjaya diselamatkan setakat ini, manakala usaha mencari kira-kira 12 individu yang dipercayai masih hilang sedang diteruskan.
“Pasukan kami masih melakukan pencarian untuk menemukan mayat mangsa yang lemas di Sungai Nil,” katanya kepada Al Jazeera.
Menurut beliau, semua pasukan pertahanan awam di Wilayah Sungai Nil telah digerakkan, manakala bantuan tambahan dihantar dari Khartoum bagi mempercepat operasi mencari dan menyelamat.
Kenyataan kerajaan Wilayah Sungai Nil memaklumkan bahawa 21 mayat telah ditemui setakat ini, dan senarai nama mangsa telah dikenal pasti. Bagaimanapun, beberapa penumpang masih belum ditemui.
Punca sebenar kemalangan tidak dijelaskan oleh pihak berkuasa. Saksi yang ditemui AFP berkata bot tersebut membawa kira-kira 30 orang ketika kejadian.
Rangkaian Doktor Sudan, sebuah persatuan profesional perubatan, menyifatkan tragedi itu sebagai bukti kelemahan sistem pengangkutan sungai di negara berkenaan.
“Kejadian ini mendedahkan kerapuhan pengangkutan sungai serta ketiadaan keperluan keselamatan asas,” menurut kenyataan kumpulan itu di platform X.
Mereka turut mendakwa bahawa kelewatan tindak balas pihak berkuasa tempatan dan pasukan penyelamat dalam beberapa jam pertama selepas bot karam telah “memburukkan lagi skala bencana”.
“Kami menuntut tindakan segera bagi memastikan keselamatan pengangkutan sungai dan mencegah tragedi serupa yang meragut nyawa orang awam tidak berdosa,” katanya.
Tragedi terbaru ini bukan kejadian pertama di Wilayah Sungai Nil. Pada 2018, sekurang-kurangnya 23 orang, kebanyakannya kanak-kanak, maut selepas bot yang membawa mereka ke sekolah karam di Sungai Nil.
Ramai penduduk Sudan bergantung kepada pengangkutan sungai menggunakan bot kecil berenjin tunggal yang dikendalikan secara individu, terutama di kawasan luar bandar yang akses jalannya terhad.
Keadaan infrastruktur negara itu yang semakin merosot akibat konflik bersenjata hampir tiga tahun turut memburukkan risiko keselamatan.
Perang antara tentera Sudan dengan pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah memecahbelahkan negara, menyebabkan penutupan jalan, kemerosotan perkhidmatan awam serta sistem kesihatan dan pendidikan.
Seorang pegawai tempatan yang enggan dinamakan berkata cabaran logistik akibat perang menyukarkan usaha menyelamat dijalankan dengan cepat.
“Keupayaan tindak balas kecemasan kami terhad kerana kekurangan peralatan dan sumber,” katanya. – Agensi berita.

