Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekitar 2,200 anggota keluarga warga asing dikait ISIS masih ditahan di kem Syria
Penghuni termasuk warga Perancis, Turkey, Tunisia dan Maghribi; warga Russia bentuk kumpulan terbesar penghuni asing
Sekitar 2,200 anggota keluarga warga asing dikait ISIS masih ditahan di kem Syria
DAMSYIK: Pasukan Kurdi masih menahan kira-kira 2,200 anggota keluarga warga asing yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas ISIS di sebuah kem di timur laut Syria.
Ini meskipun Damsyik secara berperingkat mengambil alih institusi yang sebelum ini ditadbir pihak Kurdi.
Kem Roj di wilayah Hasakeh kini menjadi kem terakhir yang masih berada di bawah kawalan Kurdi dan menempatkan ratusan keluarga dari lebih 50 negara.
Pegawai kem, Cik Hakmieh Ibrahim, berkata seramai lebih 2,200 orang daripada 729 keluarga yang dikaitkan dengan ISIS masih ditempatkan di kem berkenaan.
“Tiada perubahan terhadap pentadbiran kem sehingga kini,” katanya kepada agensi berita, AFP pada 5 Oktober.
Menurutnya, warga Russia membentuk kumpulan terbesar penghuni asing di kem itu.
Turut berada di sana adalah warga Perancis, Turkey, Jerman, Tunisia, Maghribi dan beberapa negara lain.
Antara penghuni paling dikenali ialah Shamima Begum, yang meninggalkan Britain ketika remaja untuk ke Syria dan berkahwin dengan seorang anggota ISIS.
Kerajaan Britain kemudian menarik balik kewarganegaraannya.
Wartawan AFP yang melawat Kem Roj melihat wanita memakai purdah serta kanak-kanak dan remaja berada di dalam kawasan berkenaan, dengan sebahagian daripada mereka meminta supaya tidak dirakam.
Kem itu dikawal ketat pasukan keselamatan Kurdi.
Persoalan mengenai masa depan penghuninya kini semakin mendesak selepas pihak Kurdi dan Damsyik mencapai perjanjian pada Januari untuk menyatukan pasukan bersenjata serta institusi Kurdi ke dalam struktur pemerintah Syria.
Perjanjian itu dicapai selepas operasi ketenteraan pemerintah menyebabkan pihak Kurdi menyerahkan sebahagian wilayah yang dikuasai mereka ketika memerangi ISIS sepanjang perang saudara Syria.
Pada Ogos, Encik Mazloum Abdi, yang mengetuai Pasukan Demokratik Syria (SDF), mengumumkan pembubaran pasukan bersenjata pimpinan Kurdi itu.
Beliau kemudian dilantik sebagai penasihat kepada Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa.
Sejak itu, Damsyik secara berperingkat mengambil alih tanggungjawab terhadap institusi dan urusan yang sebelum ini dikendalikan pentadbiran Kurdi.
Namun, pengambilalihan Kem Roj dijangka lebih rumit kerana ia membabitkan ribuan warga asing dan memerlukan kerjasama negara asal mereka.
Seorang pegawai pemerintah Syria yang enggan namanya didedahkan berkata proses menyepadukan Kem Roj ke dalam pentadbiran Damsyik sudah bermula.
“Penyepaduan Kem Roj, seperti institusi lain, sedang dilaksanakan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pemindahan pentadbiran kem berkenaan tidak dapat dilakukan dengan segera.
“Peralihan pentadbiran akan mengambil masa,” tambahnya.
Menurut pegawai itu, isu tersebut mempunyai “dimensi kemanusiaan dan politik” yang rumit, selain melibatkan hubungan dengan pemerintah asing.
Secara khusus, ia membabitkan negara yang sehingga kini enggan membawa pulang rakyat mereka yang masih berada di kem berkenaan.
Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri Syria, yang turut meminta identitinya dirahsiakan, berkata Kem Roj merupakan sebahagian daripada keseluruhan isu yang sedang ditangani dalam proses penyepaduan antara Damsyik dengan pihak Kurdi.
Persoalan mengenai nasib warga asing yang dikaitkan dengan ISIS sudah lama menjadi cabaran kepada pihak berkuasa di Syria.
Sebahagian pemerintah asing keberatan membawa pulang rakyat mereka kerana kebimbangan mengenai keselamatan, kesukaran mendapatkan bukti bagi pendakwaan serta persoalan mengenai status wanita dan kanak-kanak yang tinggal di kem berkenaan.
Kem Roj kini satu-satunya kem seumpamanya yang masih dikawal pihak Kurdi selepas pasukannya berundur dari Kem Al-Hol, ketika operasi ketenteraan pemerintah Syria meningkat pada 2026.
Al-Hol sebelum ini menempatkan puluhan ribu orang, termasuk warga asing yang mempunyai hubungan keluarga dengan anggota ISIS.
Selepas pasukan Kurdi berundur, sebahagian besar penghuninya, termasuk warga asing, meninggalkan kem itu sebelum pihak berkuasa Syria menutupnya.
Perubahan itu berlaku ketika Damsyik berusaha menyatukan semula institusi keselamatan dan pentadbiran negara selepas bertahun-tahun wilayah timur laut Syria berada di bawah pentadbiran Kurdi.
Nasib anggota ISIS yang ditahan turut menjadi sebahagian daripada proses berkenaan.
Pada Februari, Amerika Syarikat memindahkan lebih 5,700 tahanan ISIS dari lebih 60 negara ke Iraq.
Mereka sebelum itu ditahan selama bertahun-tahun di beberapa penjara di Syria yang dikendalikan pihak Kurdi.
Namun, isu penghuni Kem Roj lebih rumit kerana sebahagian besar mereka bukan anggota kumpulan yang ditahan di medan perang, sebaliknya wanita dan kanak-kanak yang mempunyai hubungan keluarga dengan individu yang disyaki menyertai ISIS.
Selagi negara asal mereka tidak bersetuju menerima kepulangan masing-masing, ribuan penghuni itu berkemungkinan terus berada di Kem Roj walaupun kawalan pentadbiran di timur laut Syria secara beransur-ansur berpindah daripada pihak Kurdi kepada Damsyik. – AFP.