Topik diikuti
Pergi ke BHkuTentera AS keluar dari Iraq, ISIS dikhuatiri bangkit semula
Wujud juga kebimbangan kumpulan bersenjata yang disokong Iran perluas pengaruh
Tentera AS keluar dari Iraq, ISIS dikhuatiri bangkit semula
BAGHDAD: Tentera Amerika Syarikat berundur dari pangkalan terakhir mereka di Iraq pada 30 September, menamatkan satu lagi fasa kehadiran ketenteraan lebih dua dekad di negara itu, namun mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan wujud kekosongan keselamatan yang boleh dimanfaatkan ISIS dan kumpulan bersenjata yang disokong Iran.
Pengunduran itu berlaku 23 tahun selepas tentera pimpinan Amerika menyerang Iraq dan menggulingkan Presiden Saddam Hussein pada 2003, yang disusuli pergolakan berpanjangan dan akhirnya kebangkitan ISIS.
Langkah tersebut dipersetujui pada 2024 semasa pentadbiran Presiden Joe Biden dan diteruskan di bawah Presiden Donald Trump, meskipun Washington kini terlibat dalam konflik dengan Iran.
Teheran, yang mempunyai pengaruh besar di Iraq menerusi kumpulan bersenjata sekutunya, menyifatkan pengunduran tentera Amerika sebagai kemenangan bagi pakatan kumpulan yang digelarnya “paksi penentangan”.
Walaupun pengunduran tentera asing secara umumnya mendapat sokongan rakyat Iraq, persoalan kini tertumpu kepada kemampuan pasukan keselamatan negara itu menangani ancaman tanpa sokongan ketenteraan langsung Amerika.
“Pengajaran daripada dua dekad lalu ialah kekosongan keselamatan boleh menjadi sangat berbahaya,” kata penganalisis Iraq yang turut menasihati pasukan keselamatan, Encik Jassim al-Bahadli.
Antara kebimbangan terbesar ialah kemungkinan ISIS mengambil kesempatan daripada pengunduran itu untuk menyusun semula kekuatannya.
Walaupun kumpulan militan itu kehilangan wilayah terakhir “khalifah” yang diisytiharkannya hampir sedekad lalu, ia masih mempunyai rangkaian sel ‘tidur’ di beberapa kawasan Iraq.
Pada kemuncak penguasaannya, ISIS menguasai kira-kira satu pertiga wilayah Iraq dan membunuh ribuan orang.
Tentera Amerika yang ditempatkan di Iraq selama ini menyediakan bantuan penting kepada pasukan keselamatan tempatan, termasuk risikan mengenai pergerakan anggota ISIS, pengawasan udara dan operasi peninjauan.
Mantan jeneral tentera Iraq, Encik Mohammed al-Jubouri, yang pernah mengetuai sebuah briged dalam perang menentang ISIS, berkata persoalan utama ialah sama ada Baghdad mempunyai rancangan alternatif selepas pengunduran tentera Amerika.
“Persoalan paling penting sekarang ialah sama ada institusi keselamatan Iraq sudah menyediakan Pelan B yang berdaya maju bagi fasa selepas pakatan,” katanya.
Menurut beliau, antara senario paling membimbangkan ialah sekiranya ISIS memperoleh dron bersenjata atau dron yang diubah suai untuk membawa bahan letupan, sedangkan Iraq masih kekurangan keupayaan pertahanan udara untuk menanganinya dengan berkesan.
Selain ancaman ISIS, pengunduran AS turut menimbulkan persoalan mengenai peningkatan pengaruh kumpulan bersenjata yang mempunyai hubungan dengan Iran.
Penganalisis politik yang berpangkalan di Baghdad, Encik Ahmed Younis, berkata kebimbangan utama bukan semata-mata kemungkinan campur tangan langsung Teheran.
Sebaliknya, kumpulan proksi Iran mungkin berasa semakin bebas untuk memperluas pengaruh selepas ketiadaan tentera Barat.
“Apa yang lebih membimbangkan bukan semestinya campur tangan langsung Iran, tetapi kemungkinan proksi Iran berasa semakin berkuasa tanpa kehadiran tentera Barat,” katanya.
Menurut beliau, kumpulan itu mungkin berusaha memainkan peranan lebih besar dalam menentukan dasar negara dan mengukuhkan kedudukan dalam institusi penting Iraq.
Pengunduran terbaru itu menutup satu lagi babak panjang dan berdarah hubungan ketenteraan AS dengan Iraq.
Tentera pimpinan Amerika menyerang Iraq pada 2003 dan menggulingkan Saddam sebelum menduduki negara itu serta berdepan pemberontakan yang pada awalnya melibatkan penyokong bekas pemerintah dan kemudian Al-Qaeda.
Tentera Amerika berundur pada penghujung 2011, tetapi kembali kurang tiga tahun kemudian selepas ISIS menawan wilayah luas di Iraq dan Syria.
Dengan sokongan Amerika dan pakatan antarabangsa, pasukan Iraq melancarkan kempen besar-besaran sehingga mengalahkan ISIS dari segi penguasaan wilayah pada 2017.
Lebih 4,500 anggota tentera Amerika terbunuh sepanjang lebih dua dekad konflik di Iraq.
Dalam konflik Amerika dengan Iran tahun ini pula, tujuh daripada 18 anggota tentera Amerika yang dilaporkan terkorban berada di Iraq.
Anggota terakhir ialah seorang sarjan tentera yang meninggal dunia ketika operasi terkawal memusnahkan sebuah dron di pangkalan berhampiran Erbil pada Julai.
Bagi Iran, pengunduran Amerika membawa makna strategik yang lebih luas.
Teheran sejak sekian lama menyatakan matlamatnya adalah menamatkan kehadiran tentera Amerika di seluruh Timur Tengah.
Namun bagi Iraq, pengunduran itu membawa cabaran berbeza – memastikan berakhirnya kehadiran tentera Amerika tidak sekali lagi membuka ruang kepada ketidakstabilan seperti yang berlaku selepas pengunduran Amerika pada 2011.
Selepas lebih dua dekad perang, persoalan utama kini bukan lagi bila tentera Amerika akan meninggalkan Iraq, tetapi sama ada pasukan keselamatan negara itu mampu mengisi ruang yang ditinggalkan dan menghalang ISIS serta kumpulan bersenjata lain daripada mengambil kesempatan. – Agensi berita.