PARIS: Sehingga 500 sekolah menengah di seluruh Perancis akan ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya pada 5 Oktober selepas bantahan pelajar mengenai keadaan sistem pendidikan bertukar ganas dan mencetuskan pertempuran dengan polis anti-rusuhan.

Menteri Pendidikan Perancis, Encik Édouard Geffray, berkata antara 400 dengan 500 sekolah dijangka menggantung sesi pembelajaran kerana keadaan keselamatan masih belum mengizinkan kelas berjalan seperti biasa.

Beliau berkata 24 sekolah dibakar atau dirosakkan sejak bantahan bermula, manakala 78 kakitangan pendidikan cedera.

Jumlah sekolah yang terjejas pada 5 Oktober dijangka hampir sama dengan 2 Oktober lalu, tetapi pemerintah merancang untuk melaksanakan “pengembalian secara berperingkat dan sebahagian” kepada sesi pembelajaran apabila keadaan semakin selamat.

Bantahan yang bermula di sebuah sekolah di Paris pada 17 September itu kini merebak ke seluruh ibu kota dan bandar lain termasuk Montpellier, Nantes dan Marseille.

Ribuan pelajar turun ke jalan raya minggu lalu, mendirikan penghadang dan berdepan dengan polis anti-rusuhan bagi membantah apa yang mereka sifatkan sebagai pengabaian serta kekurangan pembiayaan terhadap sistem pendidikan negara itu.

Antara rungutan utama mereka ialah kekurangan guru, kelas terlalu sesak, bangunan sekolah yang semakin usang, gaji guru yang rendah serta ketidakhadiran kakitangan yang menyebabkan pembelajaran terganggu.

Sesetengah kelas dilaporkan mempunyai sehingga 40 pelajar, manakala pelajar turut mengadu mengenai keadaan sekolah yang buruk termasuk kebocoran, serangan lipas, siling runtuh dan bangunan yang tidak diselenggara dengan baik.

Mereka turut tidak berpuas hati dengan waktu persekolahan yang terlalu panjang dan sistem permohonan kemasukan universiti dalam talian yang dianggap rumit serta kurang telus.

Bantahan itu bertukar ganas di beberapa kawasan, dengan gambar penghadang dibakar dan polis menggunakan gas pemedih mata serta belantan untuk menyuraikan penunjuk perasaan tersebar luas.

Pertempuran sepanjang beberapa hari lalu menyebabkan ratusan orang cedera dan lebih 5,000 orang ditahan, kebanyakannya golongan bawah umur.

Menteri Dalam Negeri, Encik Laurent Nuñez, berkata seramai 1,747 orang ditahan pada 2 Oktober sahaja.

Menteri Kehakiman, Encik Gérald Darmanin, pula berkata 735 daripada kira-kira 3,700 sekolah di Perancis terjejas dalam pelbagai bentuk akibat bantahan ganas sehingga 2 Oktober.

Pemerintah mengakui terdapat rungutan sah mengenai keadaan sistem pendidikan tetapi menegaskan keganasan dan kemusnahan harta benda tidak boleh diterima.

Encik Geffray mendakwa kumpulan aktivis politik, khususnya daripada kelompok berhaluan kiri jauh, menyusup masuk ke dalam gerakan pelajar dan menggunakan bantahan itu untuk mencetuskan keganasan.

“Terdapat aktivis, khususnya daripada kumpulan kiri jauh, yang menyusup ke dalam gerakan pelajar sekolah menengah, mengambil alihnya daripada pelajar sendiri dan melakukan keganasan melampau,” katanya.

“Jelas sekali, keadaan ini menimbulkan risiko kepada kakitangan dan pelajar kami.”

Menurut beliau, sebahagian daripada 78 kakitangan pendidikan yang cedera dipercayai sengaja dijadikan sasaran, sesuatu yang disifatkannya sebagai keadaan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Dalam satu kejadian serius di La Ciotat, sebuah bandar di selatan Perancis antara Marseille dengan Toulon, polis pada 4 Oktober menahan seorang remaja berusia 16 tahun berhubung serangan terhadap seorang guru berusia 59 tahun.

Guru itu dilaporkan disimbah petrol dan dipukul ketika bantahan pada 2 Oktober.

Selepas keadaan agak reda sepanjang hujung minggu, penganjur menggesa pelajar kembali mengadakan demonstrasi pada 6 Oktober kerana mendakwa pemerintah masih gagal mengemukakan “langkah konkrit” bagi menyelesaikan masalah mereka.

Perdana Menteri Perancis, Encik Sebastien Lecornu, berkata pada 4 Oktober bahawa pemerintah sedang mengambil langkah tambahan untuk menangani masalah yang dihadapi pelajar sekolah menengah dan kakitangan pendidikan.

Antara langkah itu ialah memastikan kelas dapat diteruskan, memperbaiki kemudahan sekolah, menyusun waktu persekolahan dengan lebih baik serta menjadikan sistem permohonan kemasukan universiti lebih telus.

Encik Lecornu berkata pemerintah juga mempercepatkan penelitian rang undang-undang “vandal-pays”, yang bertujuan memastikan individu yang merosakkan harta benda menanggung sendiri kos kerosakan tersebut.

Krisis itu memberi tekanan baru kepada Presiden Emmanuel Macron selepas pemerintahannya dilihat terkejut dengan kepantasan bantahan pelajar merebak ke seluruh negara.

Pada masa sama, pemerintah turut berdepan tekanan daripada kesatuan sekerja yang mengadakan mogok minggu lalu bagi mendesak Encik Lecornu menilai semula pemotongan belanjawan dan mempertimbangkan cukai kekayaan terhadap golongan paling kaya.

Kesatuan sekerja CGT sudah menyeru pekerja supaya meneruskan tekanan menerusi demonstrasi minggu ini, sekali gus meningkatkan kemungkinan bantahan pelajar berkembang menjadi gelombang ketidakpuasan hati lebih luas terhadap pemerintah Perancis. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti