Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekitar 550 anggota jemaah haji meninggal, ribuan dirawat dek tekanan haba

Jun 19, 2024 | 2:31 PM
Suhu mencecah 51.8 darjah Celsius di Masjidil Haram di Makkah pada 17 Jun, kata pusat meteorologi Arab Saudi.
Suhu mencecah 51.8 darjah Celsius di Masjidil Haram di Makkah pada 17 Jun, kata pusat meteorologi Arab Saudi. - Foto AFP

MAKKAH: Sekurang-kurangnya 550 anggota jemaah telah meninggal dunia semasa mengerjakan haji, dengan haji 2024 di Arab Saudi sekali lagi berlangsung di tengah-tengah suhu panas terik.

Sekurang-kurangnya 323 daripada mereka yang maut adalah warga Mesir, kebanyakannya meninggal dunia akibat penyakit berkaitan panas, kata dua diplomat Arab menjawab pertanyaan agensi berita AFP.

“Semua mereka (warga Mesir) itu meninggal kerana kepanasan kecuali seorang yang mengalami kecederaan maut semasa rempuhan orang ramai,’‘ kata salah seorang diplomat.

Sekurang-kurangnya 60 warga Jordan turut meninggal dunia, kata para diplomat itu, meningkat daripada jumlah rasmi 41 yang diberikan sebelum ini oleh Amman.

Menurut kajian Arab Saudi yang diterbitkan pada Mei, ibadah haji semakin terjejas akibat perubahan iklim.

Ia mengatakan, suhu di kawasan kegiatan ibadah haji dilakukan, meningkat 0.4 darjah Celsius setiap dekad.

Suhu mencecah 51.8 darjah Celsius di Masjidil Haram di Makkah pada 17 Jun, kata pusat meteorologi negara Saudi.

Terdahulu pada 18 Jun, Kementerian Luar Mesir berkata Kahirah bekerjasama dengan pihak berkuasa Saudi dalam operasi mencari warga Mesir yang hilang semasa menunaikan haji.

Walaupun kenyataan kementerian mengatakan “sebilangan kematian” telah berlaku, ia tidak menyatakan sama ada rakyat Mesir adalah antara mereka.

Pihak berkuasa Saudi telah melaporkan ia merawat lebih 2,000 anggota jemaah yang mengalami tekanan haba tetapi tidak mengemas kini angka itu sejak 16 Jun, dan tidak memberikan maklumat mengenai kematian.

Sekurang-kurangnya 240 anggota jemaah haji dilaporkan meninggal dunia oleh pelbagai negara pada 2023, kebanyakannya warga Indonesia.

Wartawan AFP di Mina, di luar Makkah, pada 17 Jun melihat jemaah menyiram air dari botol air ke atas kepala mereka ketika sukarelawan menghulurkan minuman sejuk dan aiskrim coklat yang cepat cair untuk membantu mereka kekal sejuk.

Pegawai Arab Saudi menasihatkan jemaah haji supaya menggunakan payung, minum banyak air dan mengelakkan pendedahan kepada matahari pada waktu paling panas.

Tetapi kebanyakan ibadah haji, termasuk solat di Arafat yang berlangsung pada 15 Jun, melibatkan jemaah berada di luar rumah selama berjam-jam pada siang hari.

Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, kira-kira 1.8 juta anggota jemaah haji melaksanakan ibadah haji 2024 dengan 1.6 juta daripadanya dari luar negara.

Setiap tahun, ribuan orang cuba menunaikan haji melalui saluran yang tidak teratur, kerana mereka tidak mampu membayar mengikut prosedur yang sering mahal untuk visa haji rasmi.

Ini mendedahkan mereka kepada risiko kerana mereka tidak dapat menggunakan kemudahan berhawa dingin yang disediakan oleh pihak berkuasa Saudi di sepanjang laluan haji. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg