Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibadah haji 2024 berakhir dalam suasana panas terik

Jun 18, 2024 | 1:19 PM
Pihak berkuasa Arab Saudi mencatatkan lebih 2,700 kes “keletihan haba” pada 16 Jun sahaja, menurut Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
Pihak berkuasa Arab Saudi mencatatkan lebih 2,700 kes “keletihan haba” pada 16 Jun sahaja, menurut Kementerian Kesihatan Arab Saudi. - Foto AFP

MINA: Kerajaan Arab Saudi pada 17 Jun memberi amaran mengenai peningkatan suhu di Makkah ketika jemaah Islam menamatkan ibadah haji dalam cuaca panas, dengan lebih sedozen kematian berkaitan haba disahkan.

Salah satu perhimpunan agama terbesar di dunia diadakan semasa musim panas, cuaca di Arab Saudi seperti ketuhar sekali lagi pada 2024, dan pihak berkuasa mencatatkan lebih daripada 2,700 kes “keletihan haba” pada 16 Jun sahaja, kata Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Pada 17 Jun, menurut perkhidmatan cuaca Arab Saudi, suhu mencecah 51.8 darjah Celsius di Masjidil Haram, di mana jemaah haji melakukan tawaf mengelilingi Kaabah.

Di Mina, menurut jurucakap perkhidmatan meteorologi negara, suhunya adalah 46 darjah Celsius, ketika para jemaah haji melakukan jamrat, yang merupakan langkah utama terakhir haji, di bawah terik matahari.

Kementerian Luar Jordan berkata pada 16 Jun bahawa 14 jemaah haji Jordan telah meninggal dunia “selepas mengalami strok haba akibat gelombang haba yang melampau” manakala 17 yang lain “hilang”.

Iran melaporkan kematian lima jemaah hajinya, tetapi tidak menyatakan punca, manakala Kementerian Luar Senegal berkata bahawa tiga jemaah telah meninggal dunia.

Seorang pegawai Kementerian Kesihatan Indonesia, yang kini berada di Arab Saudi, berkata pada 17 Jun bahawa 136 jemaah Indonesia telah meninggal dunia, semasa melaksana ibadah haji termasuk sekurang-kurangnya disebabkan tiga strok haba.

Encik Karwan Stoni, jurucakap rasmi jemaah haji dari wilayah autonomi Kurdistan, Iraq, memberitahu agensi berita AFP pada 17 Jun bahawa 13 jemaah haji telah meninggal dunia, termasuk 11 wanita.

Cuaca panas adalah “salah satu sebab utama” kematian, bersama-sama dengan serangan jantung, katanya sambil menambah bahawa 12 daripada yang maut tidak mempunyai permit haji rasmi dan tidak boleh mengakses ruang berhawa dingin yang disediakan oleh pihak berkuasa Saudi.

“Tapak suci hari ini merekodkan suhu tertinggi sejak permulaan haji... yang mungkin mencapai 49 darjah Celsius.

“Kami menasihatkan tetamu untuk tidak terdedah kepada matahari,” kata Kementerian Kesihatan Saudi, menurut siaran Al-Ekhbariya, sebuah saluran gabungan pemerintah.

Kementerian Kesihatan pada 16 Jun mencatatkan 2,764 kes keletihan haba akibat pendedahan matahari dan “tidak mematuhi garis panduan”, termasuk berlindung daripada matahari pada sebelah petang.

Ia berkata dalam satu kenyataan: “Pencegahan adalah yang paling penting, dan komitmen jemaah haji untuk tidak keluar pada waktu puncak kecuali apabila perlu, atau menggunakan payung, akan mengurangkan kejadian keletihan haba.

“Garis panduan kesihatan kami untuk hari-hari akan datang adalah jelas dan mudah: Bawa payung, minum air secara kerap dan elak berada di bawah matahari.”

Arab Saudi cuba membantu jemaah haji menghadapi cuaca panas dengan usaha menyediakan sistem penyembur kabus bagi menyejukkan persekitaran sehinggalah bahan penurap jalan raya yang memantulkan haba.

Bagaimanapun, bahang panas masih melampau dengan saintis mengingatkan bahawa perubahan iklim mungkin menggagalkan usaha untuk menyejukkan persekitaran itu.

Langkah mengurangkan haba yang dilaksana di Tanah Suci sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini mungkin juga ada kaitan dengan keadaan itu.

Berhampiran Kaabah di Masjidil Haram, ruang berhawa dingin baru membolehkan jemaah menyejukkan diri, dan laluan yang iklimnya dikawal kini menghubungkan bukit Safa dan Marwah, tempat jemaah haji melakukan sai, di dalam kawasan masjid itu.

Sejak 2023, jalan raya diturap dengan bahan penyejuk putih, yang kata pegawai Arab Saudi, dapat mengurangkan suhu permukaan sebanyak 20 peratus. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg